SEARCH

Aloha Cycle Club Menyebar Cinta Sepanjang Seminggu Pride Week

Aloha Cycle Club Menyebar Cinta Sepanjang Seminggu Pride Week

Aloha Cycle Club

Workout yang menjadi kegilaan masa ini, indoor cycling cukup popular di kalangan masyarakat kota. Saya antara yang tak mahu ketinggalan mencubanya. Bukan semata-mata kerana mahu dianggap ‘in’ tetapi kerana saya tahu peri pentingnya workout dalam gaya hidup kita hari ini. Indoor cycling pula adalah pilihan terbaru. Tak salah mencuba kan? Aloha Cycle Club antara pusat indoor cycling yang menawarkan workout ini. Sejak memulakan operasi penghujung tahun lalu, Aloha Cycle Club menjadi antara pusat indoor cycling yang menjadi pilihan masyarakat kota. Bercantum dengan kafe uber cool dan santai Rubberduck, tempat ini ibarat pusat sehenti lengkap dengan aktiviti ‘in’ masa kini.

Latihan di Aloha Cycle Club bukan sekadar berbasikal biasa. Sebaliknya ia adalah gabungan antara senaman kardiovaskular bertenaga tinggi, latihan untuk otot perut dan bahagian atas tubuh menggunakan weight, muzik terancang supaya kamu boleh berkayuh mengikut rentak dan sesi meditasi bagi mengembalikan semula pernafasan normal. Bagi saya, ia adalah latihan yang sangat menyeronokkan, apalagi jika senarai lagu yang dipilih instructor sesuai dengan jiwa dan minat kamu.

Minggu ketiga Jun lalu, Aloha Cycle Club mengambil tema pride untuk semua latihan indoor cycling mereka sepanjang minggu itu. Ya ia bersempena dengan bulan pride yang berlangsung sepanjang Jun. Tentunya tema ini menjadikan sesi latihan berbasikal lebih seronok. Kerana lagu, pergerakan dan bentuk latihan akan perlu lebih terarah kepada suasana sambutan pride di seluruh dunia. Hiasan warna-warni, aksesori seperti feather boa, sekuin dan leotard juga swimsuit menjadi pilihan bukan sahaja instructor tetapi juga pengunjung yang menyertai kelas latihan.

Menurut Katrina Taib, co-founder Aloha Cycle Club ketika ditanya tentang minggu pride ini, “Kami mahu meraikan cinta, kepelbagaian, penerimaan, toleransi dan kesaksamaan. Mesej kami supaya jangan mendiskriminasi sesiapa pun tak kira asal mereka, pekerjaan, siapa mereka cinta, kaum, umur, agama atau gender. Kami menerima semua di Aloha. Kami sukakan kepelbagaian dan individualiti rider kami. Pelbagai rencam orang datang ke sini dan kami meraikan karakter pelbagai orang yang berkunjung ke sini. Kami bertuah. Banyak permulaan baru di negara kita, dunia dan di kalangan orang kita.”

Aloha Cycle Club

“Minggu pride ialah peringatan untuk kita melayan orang dengan rasa hormat, kebaikan dan penuh rasa kemanusiaan. selain untuk kamu berseronok, memecahkan kepompong diri dan meraikan diri kamu yang sebenar.” katrina taib

Kelas-kelas biasa di Aloha Cycle Club seperti Aloha Ride, Ala Ride dan Intro Ride diprogramkan mengikut tema pride. Lampu bola disko dipasang buat sementara dalam kelas. Berasa seperti dalam kelab malam pun ada juga. Saya menyertai kelas yang diajar instructor Amy Ghani. The playlist was soooooo good. Tentunya Amy memang faham benar dengan tema pride, kebanyakan movement yang dibuat lebih terarah kepada pergerakan tarian-tarian kabaret dan broadway. Dan ada satu ketika di mana Amy meminta saya dan seorang lagi rider untuk turun daripada basikal dan menari gaya bebas di depan kelas.

Pada saya, tema ini tidaklah terlalu membawa perbezaan yang besar kepada kelas berbanding hari biasa. Cuma keseronokan yang saya rasai menjalani latihan berbasikal bertema pride ini lebih berbanding hari biasa saya melakukannya. Mungkin kerana vibe positif yang berkitar dalam kelas dan seluruh Aloha Cycle Club sepanjang minggu ini yang sedikit ekstra berbanding minggu biasa. Pride itu juga adalah tentang menjadi diri sendiri, bebas meluahkan apa pun yang ada diri, menyebar cinta dan kegembiraan, membantu sesama sendiri, menyokong dan memberi galakan sesama rider. Basically semua semangat dan elemen yang perlu ada dalam apa juga bentuk sukan yang disertai.

Saya juga mengambil kesempatan ini melaram memakai swimsuit Coca Cola bersama seluar pendek bersenam yang mungkin hanya sesuai dipakai untuk workout dalam kelas pride Aloha Cycle Club sahaja. Ya, kerana saya berasa bebas memakai apa pun dan tiada siapa pun dalam kelas itu yang menghukum sebaliknya banyak pula yang menyokong dan mengatakan ia cantik dan sempurna tersarung di atas badan saya. Apa pun… I definitely had the best workout and time of my life… walaupun hampir sejam kami workout hari itu berbanding sesi biasa 45 hingga 50 minit maksimum sahaja.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE