SEARCH

Kerana Beg Tangan, Sanggup Berhutang Keliling Pinggang

Kerana Beg Tangan, Sanggup Berhutang Keliling Pinggang

Wanita dan beg tangan memang dua perkara yang terkait rapat dan saling tak terpisahkan. Tak sempurnalah penampilan seseorang wanita itu jika tidak dilengkapi dengan tas tangan yang bersesuaian. Tapi lain orang lain seleranya. Ada yang selesa menggayakan beg tangan tidak berjenama, ada pula yang sanggup berhabisan sehingga ratusan ribu ringgit hanya untuk sebuah beg tangan jenama mewah. Bahkan, bag tangan sekecil-kecil alam yang hanya mampu memuatkan beberapa keping duit syiling sahaja seperti beg mini Jacquemus Le Chiquito pun habis terjual, menunjukkan bertapa gilanya kita semua kepada sebuah beg tangan yang kini sudah dianggap sebagai salah satu aksesori penting bagi melengkapi keseluruhan gaya.

Pada saya terserahlah kepada si pemakai jenis tas tangan apa pun yang mahu dibelinya, kerana pada penghujungnya duit yang mereka gunakan adalah hasil daripada titik peluh mereka sendiri. Jadi terpulang kepada si pembeli jenis beg tangan bagaiman yang menjadi pilihan hati, yang kecil atau besar, mahal atau murah semuanya terserah si pemakai. Tapi yang tak seronoknya bila ada yang sanggup berhutang keliling pinggang hanya untuk memiliki beg tangan mewah, semata-mata kerana mahu menunjuk-nunjuk dan berlawan-lawan tentang siapa lebih up-to-date dan siapa lebih kaya.

Kisahnya, Mariana seorang pengusaha produk kecantikan. Orangnya biasa-biasa sahaja, datangnya juga bukanlah daripada golongan berada cuma dia bijak membawa diri dan bergaul dengan orang berduit. Bila semua teman-teman rapatnya mula rancak ada perniagaan sendiri Mariana pun sibuk mahu meniaga juga. Impian Mariana mahu ada empayarnya sendiri. Dia berangan konon satu hari nanti produk kecantikan yang dia usahakan mampu berdiri setanding jenama antarabangsa. Memang tinggi betul cita-cita Mariana, tapi tak apalah tak salah memasang impian. Yang salahnya bila dia mengusahakan barangan kecantikan timbang kilo tanpa mengambil kira aspek keselamatan si pemakai, entah apa-apa bahan toksik yang dicampurkan Mariana sendiri tidak tahu kerana dia sendiri tidak pernah mencuba produk keluaran syarikatnya.

Hermes, Dior, LV semuanya cukup dalam koleksi Mariana. Satu design sampai dua-tiga colour. Setiap kali ke majlis dia tak pernah ulang tayang baju atau beg tangan yang sama. Sentiasa bertukar, macam isteri menteri saja lagaknya.”

Apa yang dia tahu, dia hanya perlu mengupah mana-mana perempuan berwajah mulus untuk dijadikan model. Tak cukup dengan itu, dia keluarkan pula testimoni palsu bagi meyakinkan orang ramai tentang keberkesanan set penjagaan wajah yang dia jual. Perniagaan Mariana tidaklah maju mana, suam-suam kuku sahaja. Walaupun dah bermacam-macam rangka promosi dia jalankan, tapi masih sahaja perniagaan Mariana tidak semaju perniagaan rakan-rakannya yang lain. Saya kira punca perniagaan Mariana agak perlahan adalah kerana orang ramai sudah pandai membezakan antara produk yang berkualiti dan sampah. Rata-rata pengguna hari ini lebih bijak dalam menilai baik-buruk sesuatu produk berdasarkan kandungan dan teknologi yang diguna pakai dalam penghasilan sesebuah produk itu.

Dek kerana business Mariana tidak semaju teman-teman yang lain, dia tidak dapat lari daripada perasaan insecure yang sering menghantui diri. Dia sering dirundung perasaan tidak cukup bagus dan rasa ketinggalan berbanding rakan-rakan sekelompok yang mampu menjana pendapatan lumayan setiap bulan hasil perniagaan masing-masing. Jadi dia hias dirinya dengan helaian daripada jenama fesyen terkenal, tas tangan yang dijinjit juga haruslah daripada jenama mewah agar dia tidak nampak ketinggalan berbanding teman-temannya. Fikir Mariana biar dia kalah dari segi perniagaan sahaja, hal bergaya dia tidak boleh kalah sama sekali. Kalau tidak habislah reputasinya akan terjejas.

Kata Lola, teman rapat Mariana kepada saya “Dia tak boleh tengok ada yang lebih daripada dia. Mariana akan pastikan dia sentiasa ada apa yang orang lain ada. Hermes, Dior, LV semuanya cukup dalam koleksi Mariana. Satu design sampai dua-tiga colour. Dia tak pernah ulang tayang baju atau beg tangan yang sama. Sentiasa bertukar, macam isteri menteri saja lagaknya.”

Satu hari tembelang Mariana mulai pecah. Rakan-rakan Mariana mula membawa mulut barang-barang Mariana semuanya imitation belaka. Mariana jadi tak senang duduk, macam manalah rahsia yang dia simpan kemas bertahun-tahun boleh terbongkar pula? Barangan tiruan yang dia beli selama ini semuanya bergred tinggi seakan tak ada beza lansung daripada yang asli. Dia juga sudah cuba sehabis baik untuk tidak ke mana-mana butik mewah bersama rakan-rakan kerana takut tertangkap membawa barangan tiruan. Tapi dalam pada dia berhati-hati pun masih sahaja ada yang tahu. Ahhhh Setan! Jerit hati Mariana penuh geram. Meskipun teman-teman Mariana tidak pernah bertanyakan dia secara langsung tapi dia tahu mereka sering bercakap hal barang-barang palsu yang dia miliki di belakangnya.

Tak lama selepas itu dia mula dikejar peminta hutang, terakhir I dengar Mariana tutup business dia kemudian berpindah ke rumah lain, rumah lamanya dijual untuk dibuat bayar hutang.”

Mariana tak keruan, dia tak keluar rumah sampai berbulan lamanya. Bila ada teman-teman yang menjemput ke majlis atau keluar minum Mariana akan menolak dengan pelbagai alasan. Hakikatnya dia malu, kalau keluar nanti sudah tak ada lagi pakaian atau beg tangan mewah yang boleh diperagakan. Semuanya sudah diketahui orang palsu belaka. Mariana mula merungut pada suaminya minta dibelikan beg tangan mewah yang asli. Padahal suaminya si Hadi itu bukanlah berduit sangat orangnya, cuma bekerja biasa-biasa sahaja. Mariana pula mahukan tas tangan yang mencecah harga puluhan ribu. Pening kepala Hadi dibuatnya.

Mahu tak mahu Mariana terpaksa juga buat sesuatu, nak harapkan Hadi sampai ke sudah dia tak akan merasa mempunyai bag tangan mahal. Jadi Mariana bertekad untuk membuat pinjaman peribadi. Tak cukup dengan pinjaman dari Bank, Mariana berhutang pula dengan keluarga terdekat. Semuanya gara-gara mahu membeli beg tangan mewah. Hasil pinjaman Mariana itu dapatlah dia membeli dua-tiga beg tangan asli. Puaslah hati Mariana bila dia dapat memuat naik harga barangan beliannya di media sosial. Habis segala resit hendak ditunjuknya, membuktikan yang dia pun mampu beli beg tangan ribuan ringgit.

Tapi bahagia Mariana tidak berpanjangan. “Tak lama selepas itu dia mula dikejar peminta hutang, terakhir I dengar Mariana tutup business dia kemudian berpindah ke rumah lain, rumah lamanya dijual untuk dibuat bayar hutang.” Ujar Lola. Sejak Mariana berpindah dia sudah tidak lagi dapat menghubungi Mariana, entah apalah agaknya nasib dia sekarang.

Dari kisah Mariana ini, sukalah untuk saya ingatkan bahawa penting untuk kita mengukur baju di badan sendiri. Berbelanjalah mengikut apa yang kita mampu sahaja, tak usahlah kamu berasa tercabar atau dengki dengan apa yang orang lain ada. Kerana setiap orang ada rezekinya masing-masing. Ada yang diberkati dengan harta yang banyak, ada pula yang direzekikan dengan tubuh badan yang sihat. Janganlah sampai kamu berasa terbeban hanya kerana tidak mampu mengikut cara hidup orang di sekeliling kamu. Jadi lah diri sendiri dan hiduplah mengikut taraf kemampuan kamu.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE