SEARCH

Berbasikal dan Berlari… What Have I Got Myself Into?

Berbasikal dan Berlari… What Have I Got Myself Into?

Makanya dua Sabtu yang lalu menjadi hari bersejarah bagi saya sebagai individu kerana buat kali pertama dalam hidup, saya menyertai larian Asics Relay Malaysia. Pengalaman berlari saya sungguh tidak menyenangkan sebenarnya sebelum ini. Waktu di Kolej Melayu Kuala Kangsar, semua pelajar wajib menyertai larian rentas desa sejauh 25km ya. Setiap pelajar akan mendapat merit untuk aktiviti ini. Tentulah saya tak pernah layak mendapat merit ini kerana saya sering menghabiskan larian selepas masa kelayakan tamat. Sejak itu saya benci berlari. Kerana pengalaman berlari pertama saya sungguh tidak memberi inspirasi dan menyakitkan hati.

Sejak itu saya memutuskan yang berlari itu bukanlah untuk saya. Walaupun hype komuniti berlari semakin meningkat lewat beberapa tahun kebelakangan ini, saya tidak peduli. Begitu banyak larian yang dianjurkan di ibu kota dan banyak juga antara teman saya yang tersedut ke dalam kancah berlari ini. Saya hanya menyokong dari jauh. Tidak terdetik pun di hati saya mahu mencuba. Tapi kehidupan ini seringnya berubah dan tidak selamanya kita harus kekal dan berkeras dengan sesuatu falsafah atau ideologi. Barulah mudah untuk kita berkembang sebagai individu.

Suatu hari, teman saya Amri bertanya sama ada saya mahu menyertainya dalam Asics Relay Run. Waktu itu tinggal dua bulan sebelum larian berlangsung. Tentulah reaksi pertama saya, “Hmmmm… No, thanks.” Kerana larian ini memerlukan empat orang dalam satu kumpulan menghabiskan 21km (setengah maraton), ada lagi dua teman yang sudah bersetuju – Teng dan Rubin. Amri sudah tahu saya takkan menyertai, tetapi Rubin masih memujuk. Dia sanggup membayarkan yuran larian ini kerana mahu saya sekurang-kurangnya mencuba.

Memikirkan yang seronok juga dapat bersama-sama teman, berlatih dan menyertai larian ini – bayangannya sungguh menyeronokkan jadi saya pun bersetuju. Why not? Kata saya di hati. Pasti ada yang pertama untuk setiap sesuatu di dunia ini. Berlari maraton ini akan menjadi yang pertama buat saya. Setelah bersetuju menyertai Asics Relay Run tentulah saya perlu mula berlatih kerana memang falsafah saya untuk tidak melakukan sesuatu hanya sekadar bagai melepaskan batuk di tangga. Bagi meningkatkan stamina, saya aktif menyertai Aloha Cycle, kelas berbasikal yang lebih bertumpu kepada latihan kardiovaskular dan weight untuk upper body.

I just need to increase my stamina level so that I can finish that 5.2km run under 45 minutes.”

Untuk saya yang hanya pernah melakukan yoga sahaja sebelum ini, tentulah latihan ekstensif seperti ini sedikit sukar dan menyesakkan. Namun kerana komitmen yang telah saya buat untuk menyertai larian ini, saya harungi juga segala kepayahan latihan. Dalam hati dan fikiran saya hanyalah, “I just need to increase my stamina level so that I can finish that 5.2km run under 45 minutes.” Kerana inilah masa yang ditetapkan Amri untuk setiap daripada kami. Such pressure. Dalam masa sama, purata seminggu sekali saya juga akan berlari untuk membiasakan diri.

Kali pertama berlari 5km di sekitar Lake Garden kami menghabiskan dalam masa 45 minit. Ini pun saya tidak berlari seluruh masa. Ada masanya saya berjalan kerana penat. “Not bad,” kata Amri setelah kami habis berlari. Kemudian dalam kiriman Whatsapp, katanya, “Kudos sista… U were good just now. Keep it up!” Awalnya memanglah tidak mudah. Membuat sesuatu yang kamu tidak suka. Tetapi sekiranya kamu tidak mencuba langsung, bagaimana kamu tahu sekiranya selamanya kamu tidak akan suka dengannya? Saya juga menganggap berbasikal dan berlari ini lebih kepada usaha saya untuk keep fit.

Memelihara kesihatan dan juga tentunya paling penting untuk bentuk tubuh saya terjaga supaya mudah memakai helaian kegemaran. Saya menganggap ini sebagai motivasi untuk melakukan perkara yang tak pernah saya fikir saya akan buat. Dan kita semua perlukan ini untuk memberi makna kepada apa pun perkara yang kita lakukan. Tidaklah ia menjadi kosong langsung tidak memberi hasil kepada usaha itu. Larian Asics Relay, 5.2km saya habiskan dalam masa 34 minit. “Very good for a first timer pok…” kata Amri pada saya. Walaupun saya rasa saya berjaya melakukannya lebih kerana saya takut dengan dia sebenarnya. Bimbang dia kecewa saya melambatkan seluruh pasukan. Tetap ia menjadi motivasi kepada larian saya.

Daripada Amri saya banyak belajar tentang cara betul work out dan bagaimana pemakanan yang betul untuk menjaga kesihatan. Dia yang mula mementingkan ini semua sejak di diagnos diabetik sejak tahun lalu menjadi sumber inspirasi. Jika kamu kenal dia sebelum ini, pasti tahu dia dahulu memiliki berat melebihi 100kg. Tetapi sejak menghidap diabetes, dia mula mengambil berat tentang kesihatan dan pemakanan. Sehingga hari ini, dia berjaya mengekalkan berat badan sekitar 70kg. Ini suatu pencapaian dan kejayaan saya kira. Mengubah cara hidup dan bentuk pemakanan bukanlah sesuatu yang mudah apalagi setelah hampir 20 tahun mengamalkannya. Jika banyak orang sudah berjaya melakukannya mengapa tidak kita bukan?

Awalnya memanglah tidak mudah. Membuat sesuatu yang kamu tidak suka. Tetapi sekiranya kamu tidak mencuba langsung, bagaimana kamu tahu sekiranya selamanya kamu tidak akan suka dengannya?

Lebih-lebih lagi jika kita belum lagi menghidap apa-apa penyakit dan tubuh masih sihat. Doktor sendiri banyak yang menyebut, mencegah lebih mudah daripada merawat. Daripada teman saya Fendi pula saya belajar, menjaga kesihatan juga banyak bergantung pada pemahaman kita terhadap apa yang berlaku dalam tubuh kita. Kita adalah pemilik kepada tubuh kita. Setelah bertahun-tahun hidup dengannya, mustahil kita tak dapat mengesan sekiranya ada sesuatu yang tak kena dengan tubuh kita. Sakit di bahagian mana pun, pasti kita tahu dan belajar lah serta fahamkanlah mengapa ia terjadi. Semuanya pasti ada kena-mengena dengan cara kita menggunakannya.

Semuanya harus seimbang. Jangan gunakan tubuh sampai ia penat dan tidak mampu. Kereta atau mesin pun kalau kita asyik menggunakannya tanpa rehat, pasti usianya tak lama. Every now and then, mesti dibawa servis dan diberi rehat yang diperlukan. Makan terlalu banyak juga tidak elok, kalau tidak cukup makan juga akan memudaratkan. Terlalu banyak tidur dan rehat tanpa bekerja dan melatihnya juga tubuh akan memberontak dan jatuh sakit. Jadi, kita perlu selalu ingat untuk sentiasa mengimbangi semua perkara yang kita lakukan pada tubuh kita. Sekurang-kuranya begitulah yang diajarkan oleh Fendi kepada saya. Dan begitulah yang saya amalkan setakat ini. Syukur kerana setakat ini ia berkesan untuk saya.

Berbalik kepada berbasikal dan berlari yang mula saya lakukan secara aktif dan serius sejak dua bulan lalu, jujurnya saya sudah jatuh cinta dengan kedua-duanya. Jadi buat masa ini, saya akan terus melakukannya sebagai sebahagian daripada gaya hidup saya. Bagus juga kerana ia dapat mengimbangi gaya hidup sedia ada saya yang sarat dengan kerja dan parti. Sekurang-kurangnya saya tahu ada yin dan yang dalam gaya hidup saya. Tidak pula saya mengharapkan mahu jadi terlalu fit seperti ahli bina badan atau abang-abang gim yang ekstrem di luar sana. Cukuplah sekadar untuk memberi peluang saya muat dan nampak cantik dalam helaian yang saya idamkan dan miliki. Boleh bergaya dan menjadi penyangkut baju terbaik yang saya boleh jadi sesuai dengan kerjaya.

Dan paling penting dalam hal menjaga tubuh dan workout ini, lakukannya untuk diri sendiri bukan kerana orang lain. Bukan kerana orang lain melakukan, kamu juga mahu turut serta. Dipaksa orang membuatnya, kamu juga biarkan diri melakukan tanpa pemahaman dan tiada asas. Kerana percayalah, apa pun yang kamu lakukan tanpa kedua-dua ini dan kerana orang lain, akan menjadi usaha yang sia-sia. Walau sekuat mana pun kamu mengusahakan, hanya sakit dan pembaziran yang akan menjadi teman kamu pada akhirnya.

berbasikal dan berlari

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE