SEARCH

Datin Mengamuk Datuk Mahu Beraya Di Rumah Isteri Muda

Datin Mengamuk Datuk Mahu Beraya Di Rumah Isteri Muda

You jangan mimpi dapat beraya dengan bini muda you tahun ini!” Jerit Datin Farah. Suasana yang aman damai tadinya tiba-tiba bertukar tegang. Bola mata Datin Farah tajam menikam anak mata Datuk Sulaiman. Sudu garfu di tangan dihempasnya ke atas pinggan makan. Sudah hilang selera Datin Farah mahu menjamah lauk berbukanya hari itu. Dia bertekad walau apa pun terjadi suaminya itu perlu beraya bersama dia dan anak-anaknya di kampung Datin Farah.

Sementara Kaisara, anak dara pasangan itu langsung bangun dan meninggalkan meja makan. Sudah lali benar dia dengan perangai ibu bapanya yang masing-masing tidak mahu mengalah, ada sahaja benda yang mahu digaduhkan. Saat seperti inilah membuatkan Kaisara selalu cemburu pada abangnya yang sedang belajar di luar negara, sekurang-kurangnya si teruna itu tak perlu mendengar ibu bapa mereka bertikam lidah di rumah.

Semenjak Datuk Sulaiman kahwin isteri baru enam bulan lalu, boleh dikatakan hampir setiap hari pasangan itu berselisih faham. Kadang-kadang tidak ada apa-apa pun perkara yang serius sehingga perlu digaduhkan tapi Datin Farah seolah-olah tidak boleh hidup tenang kalau tidak bergaduh dalam sehari. Ada sahaja salah Datuk Sulaiman dicarinya. Dan kali ini bila Datuk Sulaiman menyatakan hasratnya mahu pulang beraya di rumah isteri muda maka api kemarahan Datin Farah pada Datuk Sulaiman semakin membara. Wajah Aida, si isteri muda Datuk Sulaiman bergentayangan dalam fikiranya, kalau diikutkan hati Datin Farah, mahu sahaja dia ke rumah betina itu dan bahasakan dia, dasar perempuan tidak tahu sedar diri. Sudahlah berani ambil suami orang, sekarang dengan tak malunya mahu beraya bersama pula.

Aida orangnya boleh dikatakan agak ‘kampung’ baik dari segi berpakaian mahupun cara dia membawa diri semuanya jauh berbeza dengan Datin Farah. Walaupun Datin Farah sudah lanjut usia tapi dia lebih hot berbanding Aida yang hampir seusia dengan Kaisara. Entah apalah Datuk Sulaiman pandang pada Aida sehingga dialah satu-satunya perempuan simpanan Datuk Sulaiman yang berjaya di ‘upgrade’ untuk dijadikan isteri. Aida pula sama sekali tidak peduli sama ada isteri pertama Datuk Sulaiman setuju atau tidak dengan perkahwinan mereka ini, yang penting dia merasa jadi isteri kepada lelaki berpangkat dan berkedudukan.

Kecohlah Aida pada sedara-mara, keluarga dan teman-temannya yang dia bersuamikan seorang Datuk. Tanpa segan silu dia juga mahu menggunakan title ‘Datin’. Padahal rakan-rakan rapat Aida tahu yang dia sebenarnya hanyalah isteri kedua, tapi disebabkan mahu menjaga hati Aida yang rajin menabur duit membelanja teman-teman baiknya barangan dari jenama mewah maka mereka turuti jugalah kehendak Aida yang mahu digelar sebagai ‘Datin Aida’.

Cuma keluarga Aida yang masih tidak tahu-menahu perihal dia berkahwin dengan suami orang. Sangka mereka Aida bernasib baik kerana berjaya menambat hati duda kaya. Jadi bila Aida dapat tahu Datin Farah tidak membenarkan Datuk Sulaiman pulang beraya bersamanya maka menggilalah si isteri muda itu. Berhari-hari dia pujuk Datuk Sulaiman supaya pulang juga ke rumah keluarganya. Dia tidak mahu keluarganya curiga kalau dia pulang seorang diri tanpa bersuami. Lagipun inilah masa untuk dia ‘tayang’ suami Datuknya kepada semua mak cik, pak cik dan sepupu-sepupunya. Dia mahu mereka semua makan hati, cemburukan dia yang hidup senang-lenang bersuamikan orang berada.

Disebabkan marah sudah menguasai diri Aida, tanpa berfikir panjang dia menyerang Datin Farah. Dia geram dengan sikap madunya itu yang langsung tidak mahu bertoleransi dengannya. Aida tahu hari itu, Datin Farah akan ke pusat membeli-belah untuk membuat persiapan raya. Jadi dia segera ke sana juga. Maka bergaduh sakanlah dua orang isteri Datuk Sulaiman di khalayak ramai. Sampai bertarik-tarik rambut dan bertamparan, seakan-akan sudah tidak malu pada orang lain yang melihatnya. Segala jenis carutan keluar dari mulut Aida, berbakul-bakul sumpah-seranah dia hadiahkan buat Datin Farah. Kedua-dua mereka seperti sudah dirasuk setan saling bercakaran dan bertengkar tanpa menghiraukan orang sekeliling.

Berita pergaduhan Datin Farah dan Aida menjadi bahan bualan hangat di kalangan orang yang mengenali mereka. Datin Farah dan Aida juga masih belum reda marahnya, setiap kali Datuk Sulaiman pulang ke rumah ada sahaja benda yang mahu dibahaskan, sehingga dia naik rimas. Lalu empat hari sebelum menjelang Aidilfitri Datuk Sulaiman mengambil keputusan untuk membawa diri ke lokasi yang dirahsiakan. Katanya dia mahu bersendirian, mahu tenangkan fikiran akibat malu isteri-isterinya bergaduh sesama sendiri di tempat awam. Dia segan pada teman-temannya yang menyindir dia tidak reti menjaga isteri-isterinya.

Tapi dengar-dengarnya dia bukanlah membawa diri sekadar untuk menenangkan fikiran, Datuk Sulaiman sebenarnya mahu berjumpa kekasih barunya, seorang model berbangsa asing. Mereka menghabiskan masa bersama di kepulauan Maldives bagaikan pasangan baru berkahwin yang sedang sakan ber honeymoon tanpa mengira Ramadhan ataupun Aidilfitri, yang Datuk Sulaiman tahu dia hanya mahu  bergembira. Pertelingkahan Datin Farah dan isteri mudanya tempoh hari dianggap sebagai satu rahmat oleh Datuk Sulaiman kerana dapatlah dia jadikan alasan ini sebagai tiket bagi dia melarikan diri untuk bermadu asmara bersama kekasih barunya.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE