SEARCH

Datin Tak Rela Diceraikan Meskipun Sudah Tidak Tidur Sebilik Dengan Suami

Datin Tak Rela Diceraikan Meskipun Sudah Tidak Tidur Sebilik Dengan Suami

Hujung minggu tiba, saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk hari ini. Cadangnya hanya mahu bersantai-santai di rumah sambil menonton Netflix. Ala kata orang ‘Netflx and chill’. Iya itulah dua perkara yang saya perlukan ketika ini Netlix dan chilling, sudah penat bekerja saya perlukan sedikit hiburan dan masa untuk bersantai-santai sendiri. Sedang saya leka menonton filem tiba-tiba telefon pintar saya berdering, tanpa melihat nama si pemanggil saya terus menjawab panggilan tersebut.

“Hello?” Sapa saya secara malas, siapalah yang sibuk nak mengganggu hidup aku di hari cuti yang indah ini. “Jom lepak?” ajak si pemanggil, saya kenal suara di hujung talian itu. Saya yakin itu Anis, teman saya ketika menuntut di kolej dulu. “Aku stres!!…” Jerit Anis dengan tak semena-mena, spontan tangan saya menjauhkan sedikit telefon dari telinga, bingit! “Datanglah rumah aku Anis, nanti kau ceritakanlah apa sebab yang kau stres sangat tu” Ajak saya, sebenarnya saya malas hendak keluar lepak ke mana-mana cafe atau pusat membeli-belah, maklumlah hari cuti pasti semua tempat penuh dengan orang ramai.

Tak sampai setengah jam Anis pun tiba di rumah saya. Laju sahaja dia masuk sendiri, “Aku nak berhenti kerja! Tak tahan lah kalau asyik kena maki je, hari-hari tau aku kena marah even aku tak buat salah pun, apa dia ingat dia bos dia selalu betul ke?” Tanpa sebarang salam atau bertanya khabar Anis terus membuka cerita, saya teka ini perihal majikannya, Datuk Azlan. “Eh kau baru mula kerja sebulan Anis, sabarlah. Takkan sampai nak berhenti kerja,” kata saya sekadar cuba mahu menenangkang Anis yang sudah seperti separuh gila rupanya. Mata sembab, bercakap pun menjerit-jerit sudah itu tiba-tiba menangis pula. Ya Allah kenapa lah kau ni Anis. “Seksa sangat ke kerja kau itu?” tanya saya, selalu saya dengar Datuk Azlan itu orangnya baik tak pernah lokek dalam memberi sumbangan malah dia sering terlihat menghadiri acara-acara amal.

Anis mengangguk laju, kali ini sudah berhenti menangis. Katanya Datuk Azlan tidak pernah kisah tentang kebajikan pekerjanya. Semua orang di pejabatnya dilayan seperti tiada harga diri. Kalau sedang marah segala carutan dihamburkan ke muka pekerjanya tanpa sedikit pun rasa bersalah. Tambah Anis lagi, kadang-kadang dia bukan marah kerana hal kerja, entah kerana hal peribadi atau apa-apa lah hal lain dia akan lampiaskan kemarahanya itu pada orang-orang di office.

“Bukan ke dia orang baik-baik Anis? aku selalu tengok dia bagi sumbangan sana sini nampak macam pakcik-pakcik penyayang je,” tanya saya lagi. “Itu semua coverina!” Bentak Anis, marah betul nampaknya. “Tiap malam ke kelab malam, perempuan simpanan pulak entah berapa banyak.” Jelas Anis lagi. Saya tak tahu mahu terkejut atau tidak, sebenarnya tak pelik kalau orangp-orang kaya berperangai begitu, ala jangankan orang kaya rakyat marhaen juga ada ramai yang di luarnya nampak baik, tapi dalamnya Tuhan saja yang tahu.

“Isteri dia tahu ke dia ada perempuan simpanan?” wajah Datin Salmah tiba-tiba bermain di fikiran saya. Datin Salmah dari cara pembawakan diri memang sudah nampak seperti sedikit riak. Berbeza dengan Datuk Azlan yang sering memperlihatkan sisi baiknya. “Tahu, tapi apa dia boleh buat? Nak marah pun dia tak berani takut kena cerai,” jawab Anis.

Saya faham kenapa Datin Salmah takut, semua belanjanya ditanggung penuh oleh Datuk Azlan, Semua tas tangan berjenama, kereta mewah dan barang perhiasan dibeli dengan duit suaminya. Jadi kalau dia mula mempersoalkan segala tindak-tanduk Datuk Azlan, pasti dia akan dimarahi. Itu kalau cuma dimarahi, buatnya diceraikan? Pasti satu sen pun duit Datuk Azlan dia tak akan dapat, nanti sudah tak merasalah dia hendak memakai barangan mewah. Dia bukan ada sumber kewangan lain. Meniaga tak ada, rumah sewa tak ada. Senang kata memang dia hidup seratus peratus dengan duit Datuk Azlan sahaja.

“Jadi Datin Salmah tu buat tak tahu sahajalah hal suami dia?” Saja saya bertanya lagi, mana tahu ada lagi teh yang hendak ditumpahkan Anis. “Iya, dia biar je apa laki dia nak buat. Dia pun dah tak tidur sebilik dengan Datuk, masing-masing tidur bilik lain-lain. Kalau aku ke rumah Datuk atas urusan kerja pun, jarang aku tengok dia laki bini bertegur. Datin buat hal sendiri, Datuk pun dengan hal sendiri, macam dua orang asing yang terpaksa tinggal bawah satu bumbung.”

Kesian pula saya pada Datin Salmah mendengarkan kisahnya itu, yelah pada zahirnya Datin Salmah mungkin kelihatan bahagia, ada keluarga yang kaya-raya, pandai berhias malah sering dibaluti dengan perhiasan yang mahal-mahal. Tapi siapa sangka di sebalik wajah riaknya itu, dia sebenarnya kurang kasih sayang dari suaminya sendiri. Benarlah kata orang duit tak mampu membeli segalanya, mungkin Datin Salmah ada segala-galanya yang orang lain impikan tapi yang dia kurang adalah kebahagian dan kasih sayang, dua perkara yang tak mampu dibeli dengan wang ringgit.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE