SEARCH

Konon Mahu Membantu Tapi Sebenarnya Datuk Penipu Besar

Konon Mahu Membantu Tapi Sebenarnya Datuk Penipu Besar

Gambar : Pinterest

Zaman sekarang ini memanglah sudah tak ada apa lagi yang murah, semua benda mahal-mahal belaka malah hendak ke tandas juga sudah dikenakan bayaran. Ayat ini dengarnya seperti sangat klise kan? Tapi itulah hakitkatnya, hampir semua benda yang hendak dilakukan di atas muka bumi ini memerlukan duit.

Ramai yang terkesan dengan kos sara hidup yang kian tinggi saban tahun ini, sehingga ada seorang teman saya terpaksa melakukan 2-3 kerja untuk menampung perbelanjaan hariannya. Siang Ahmad bekerja di pejabat, malam menjual burger, pada hujung minggu pula dia gigih membuat servis penghantaran makanan dari siang sehinggalah ke larut malam namun tak pernah sekali pun Ahmad merungut tentang keadaan hidupnya. Cuma kadang-kadang itu adalah juga dia mengadu penat, tapi siapa sahaja yang tidak penat bekerja bagaikan orang gila tanpa sehari pun cuti?

Ahmad anak tunggal, orang tuanya bukanlah orang senang. Dia dibesarkan dengan hasil menjual kuih ibu-bapanya. Ibu Ahmad akan mula membuat kuih seawal jam 3 pagi sebelum bapa Ahmad keluar untuk menjual kuih di pasar berhampiran rumah mereka. Begitulah kehidupan harian mereka sekeluarga sehingga Ahmad meningkat dewasa dan mula bekerja. Sebagai anak yang bertanggungjawab dia tidak lagi membenarkan ibu bapanya bersusah payah untuk menjual kuih, dia mahu orang tuanya berehat di rumah tanpa perlu berpening kepala memikirkan cara untuk mencari wang. Jadi mahu tak mahu Ahmad terpaksa melakukan segala yang dia terdaya untuk kelangsungan hidup keluarganya.

“Aku kena tipu,” jawab Ahmad tanpa selindung. Bila Ahmad kata dia ditipu saya yakin hal ini melibatkan wang.

Satu hari Ahmad datang berjumpa saya di sebuah kedai makan. Saya kira Ahmad pasti mahu meluahkan perasaan kerana penat bekerja seperti tapi hari itu Ahmad datang dengan mata yang sembab seperti baru lepas menangis sakan. Ahh sudah, baru putus cinta barangkali? Bisik hati saya saat Ahmad duduk di hadapan saya. “Kenapa?” hanya itu yang terkeluar dari mulut saya, masih terkejut melihat Ahmad yang bukan main kental jiwanya sanggup bekerja siang malam tanpa mengenal erti lelah tiba-tiba sahaja ‘berhati tisu’ hari ini. “Aku kena tipu,” jawab Ahmad tanpa selindung. Bila Ahmad kata dia ditipu saya yakin hal ini melibatkan wang. Ahmad orangnya jarang hendak bersedih tidak bertempat tapi kalau hasil titik peluhnya ‘dirompak’ memang wajarlah dia berasa sedih dan marah.

“Kau tahu kan aku memang nak sangat bina sebuah rumah yang selesa untuk mak ayah aku, aku sedih tengok mak ayah tinggal dalam rumah usang sebab itu aku kerja hari-hari sampai tak ada cuti untuk kumpul duit,” Ahmad masih sugul, nada suaranya jelas kedengaran sedih. Saya diam memberikan Ahmad laluan untuk bercerita. Terang Ahmad saat dia sedang sibuk mengumpul duit untuk membina rumah yang lebih selesa dia terlihat sebuah iklan di TV menawarkan projek perumahan mampu milik. Harga yang ditawarkan bermula serendah 50 ribu ringgit untuk sebuah rumah dengan rekaan mewah ala banglo.

Syaratnya, si pemohon perlu memiliki tanah sendiri. Jadi rumah tersebut akan dibina atas tanah milik si pemohon tadi. Mujur tanah yang Ahmad dan ibu bapanya duduki sekarang adalah tanah mereka sendiri jadi Ahmad yakin bolehlah dia bina rumah baru diatas tanah yang sedia ada ini. Lantas Ahmad pun terus berminat dengan tawaran tersebut. Tanpa sedikit pun ragu-ragu dia hubungi nombor telefon yang dipaparkan dalam iklan TV itu. Duga Ahmad kalau sudah sampai keluar televisyen tak mungkinlah perkara seperti ini satu bentuk scam.

Jadi dia bersama mangsa yang lain sepakat untuk membawa hal ini ke muka pengadilan bagi menuntut semula hak mereka, namun sayangnya sehingga ke hari ini Datuk itu masih bebas.

“Aku jumpa sendiri dengan Datuk yang uruskan projek ni. Aku jadi lagi yakin bila dia sendiri yang turun padang untuk jumpa aku, lagipun boleh kata dia ni orangnya terkenal juga jadi aku memang seratus peratus percaya dengan apa yang Datuk ni tawarkan. Katanya dia hanya nak membantu orang macam aku yang kurang berkemampuan ni merasa hidup dalam rumah besar.” Sambung Ahmad lagi, Datuk tersebut tidak habis-habis yakinkan dia untuk membuat pembayaran deposit pada hari yang sama juga kerana kuota untuk projek rumah mampu milik ini sudah tidak banyak. Jadi dengan naifnya Ahmad berjanji untuk serahkan wang tersebut pada keesokan hari kerana dia tak punya wang tunai sehingga sehingga ribuan ringgit di tangan pada masa itu.

Semuanya berjalan lancar selepas Ahmad menyerahkan wang pendahuluan tersebut, dia sendiri berpeluang untuk lihat satu demi satu rumah orang lain yang turut menggunakan khidmat kontraktor yang sama siap tepat pada waktunya seperti yang dijanjikan. Ahmad jadi tidak sabar mahu duduk di banglo baru bersama ibu dan ayahnya tidak lama lagi. Tapi impian indah Ahmad bertukar menjadi mimpi ngeri apabila tidak lama kemudian pemohon-pemohon lain di bawah projek perumahan yang sama mula mengamuk ekoran rumah mereka yang masih tidak siap-siap walapun sudah melepasi tarikh jangka siap yang ditetapkan. Dari satu tahun meningkat ke dua tahun sampailah ke tahun ketiga jangankan rumah malah kelibat kontraktor bekerja juga tidak kelihatan.

Masa itu, Ahmad sedar dia sebenarnya adalah mangsa penipuan manusia tak bertanggungjawab yang berajakan nafsu sehingga tidak peduli lagi tentang hal halal haram. Jadi dia bersama mangsa yang lain sepakat untuk membawa hal ini ke muka pengadilan bagi menuntut semula hak mereka, namun sayangnya sehingga ke hari ini Datuk itu masih bebas. Malah jika tidak silap saya sekarang dia sudah mula mengasaskan skim piramid pula. Entah berapa ramai lagilah orang yang akan jadi mangsa kerakusan Datuk tak berhati perut yang satu ini.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE