SEARCH

I Work Really Hard… What Does It Even Mean?

I Work Really Hard… What Does It Even Mean?

#STAILISHROOMS berlangsung lagi untuk tahun kedua. Berakhir hujung Jun, selama 10 hari ini tempoh paling sibuk buat warga kerja STAIL.MY. Ini tidak mengambil kira lagi dari waktu perancangan, WIP (work in progress) enam bulan sebelum, majlis makan tengah hari bersama influencers dan sepanjang 10 hari pameran bilik-bilik stailish ini berlangsung. Aduh… tak menang tangan. Di antara waktu menguruskan #STAILISHROOMS itu pula, perlu merakam video-video untuk kandungan online bagi mempromosikan bilik-bilik ini. Ya rabbi… rasa bagai 24 jam sehari itu tidak cukup sama sekali.

Tapi saya langsung tak kisah jika harus bekerja kuat sebegini. Dari kecil babah dan mama memang mengajar saya untuk bekerja. Pesan mereka selalu pada saya, “Duit tak jatuh dari pokok tau. Kalau nak duit, kamu kena kerja. Lagi banyak duit yang kamu nak, lagi kuatlah kamu kena kerja. Ingat… duit bukan boleh petik macam daun.” Selama-lamanya pesanan itu saya pegang sampai bila-bila. Sejak dari lepas SPM lagi, saya sudah mula pandai cari kerja. Mama takkan sesenangnya menghulur duit pada saya.

Pertama kerja dengan mama di tadikanya. Itu pun tak mudah ya. Kena jaga budak-budak tadika, kena sapu lantai seluruh tadika (tiga kali sehari), sapu daun di halaman dua kali sehari dan mandikan budak, basuh berak budak. Bila difikir semula, saya pun tak pasti macam mana saya sanggup buat semua itu. Lama juga saya kerja dengan mama. Hampir tiga bulan dan setiap kali cuti, saya kerja lagi. Mama bayar saya RM250. Bayangkan, kerja macam nak gila lima hari seminggu, sebulan dibayar banyak itu? Saya pasti budak-budak hari ini, tak ada satu pun yang akan sanggup buat kerja macam tu.

Bagaimana pula dengan pelacur yang sudah 30 tahun menghambakan diri kepada pelanggannya demi melangsungkan hidupnya?”

Kedua, kerja yang saya ingat saya buat ialah dengan Kyros Kebab di Kuantan. Waktu itu Kyros Kebab antara jenama fast food yang terkenal di bandar kecil saya. Itu pun sebab saya tak setuju dengan bayaran yang mama bagi. Saya mahu duit lebih. Pun tak banyak lah lebihnya. Gaji di Kyros Kebab RM450, lapan jam sehari. Hiris daging kebab dan menyediakannya. Kadang-kadang kena jaga kaunter. Bila kena buat opening aduhhhh… kena keluarkan semua perkakas, susun dan panaskan daging kebab. Tapi itu tak sesusah kalau kena buat closing. Simpan semua pekakas dan bahan buat kebab, lap minyak yang meleleh dari daging kebab, mop semua lantai dan simpan kerusi meja.

Malah waktu saya mula kerja dalam bidang penerbitan pun, sama sahaja situasinya. Saya bermula sebagai Pembantu Editorial, gaji RM1400 walaupun saya pemegang ijazah. Saya setuju sahaja kerana saya tahu untuk hidup kena ada gaji. Sekurang-kurangnya saya pujuk hati, “Saya suka kerja ni.” Editor saya menyuruh saya buat semuanya. Kata dia saya perlu belajar buat semua kalau betul mahu bekerja dan berjaya dalam bidang ini. Saya kemas biliknya, saya tulis rencana, saya perlu baca dan edit artikel semua penulis di majalah waktu itu, jaga color sep dan sesekali menghadiri majlis pelancaran. Tak menang tangan rasanya. Dan saya ambil serius semua tanggungjawab saya. Tak sekali pun saya pulang tanpa menyelesaikan semua tugasan saya dalam sehari.

Ada sekali saya ditinggalkan keseorangan menutup majalah kerana seluruh sidang redaksi ke Jakarta untuk membuat kandungan isu istimewa ‘Helo Jakarta’. Terkial-kial saya seorang diri. Tak seorang pun memberi briefing tentang apa yang perlu saya buat. Air mata saya mengalir perlahan-lahan melihat van yang membawa mereka semua ke lapangan terbang dari pejabat. Saya mintalah tolong Amy (pengasas bersama STAIL.MY juga Pengarah Kreatif, kami sepejabat). Dialah yang mengajar saya satu persatu apa yang perlu saya buat.

Haiii… mengenang kembali semua yang saya perlu lalui dengan gaji yang dibayar memang saya boleh kata tak berbaloi. Tapi kalau difikirkan juga, tidak sekali pun saya complaint kerja banyak atau letih sebab saya memang suka kerja. Jadi saya tak rasa pun yang saya bekerja. Apalagi terlalu memikirkan gaji yang tak setimpal dengan kerja yang perlu saya buat. Tidak sehari pun saya liat bangun tidur untuk ke tempat kerja kerana setiap hari saya memang tak sabar ke pejabat.

Ini kerana saya bekerja secara ikhlas. Pabila keikhlasan menunjangi perbuatan, percayalah perbuatan itu tidak akan terasa. Dan jika kamu ikhlas membuat pekerjaan, apa sebabnya kamu mesti complaint? Tiada sebab juga kamu akan membanding-bandingkan andai kata kerja kamu lebih banyak daripada teman sekerja kamu. Tidak sekali pun kamu akan sibuk nak tahu berapa banyak gaji teman sekerja kamu untuk membandingkan apakah setimpal dengan kerja yang kamu lakukan.

Saya bermula sebagai Pembantu Editorial, gaji RM1400 walaupun saya pemegang ijazah. Saya setuju sahaja kerana saya tahu untuk hidup saya kena ada gaji.”

Kerja adalah tanggungjawab. Kerja juga satu amanah. Jika kamu memiliki moral yang tinggi, bila mana namanya tanggungjawab atau amanah, kamu harus memikulnya atau menyempurnakannya melainkan kamu mati dalam sedang melaksanakannya. Itu lain cerita. Tetapi wajib jika kamu diberi satu-satu amanah, kamu harus memegang dan menyiapkannya. Tiada sebab untuk kamu complaint tentang tanggungjawab atau amanah yang kamu sendiri memilih untuk memikulnya. Tak masuk akal bukan? Seperti waktu saya diamanahkan menutup majalah waktu seluruh sidang redaksi pergi ke Jakarta, saya tidak complaint sama sekali. Biarpun air mata menitis perlahan di pipi, saya tahu saya harus menyempurnakan tanggungjawab yang diberi.

Manisnya apabila kamu dapat melengkapkan tanggungjawab dan amanah yang diberi itu, saya tidak tahu tentang kamu tapi bagi saya sungguh berbaloi. Ia umpama satu pencapaian peribadi. Biarlah orang tidak nampak atau perasan akan usaha kamu itu tetapi kamu boleh mendabik dada, menepuk bahu sendiri dan berkata, “Hey you did it man!” Itu lebih penting berbanding pujian dan pengiktirafan yang diberi oleh orang lain.

Jadi bagi saya, “I work really hard…” itu perlu bermula sejak kamu memutuskan menerima sesuatu pekerjaan itu. Kamu harus menganggap bahawa kerja kamu itu adalah tanggungjawab dan amanah yang diberi kepada kamu. Kamu perlu ikhlas dalam melaksanakannya. Kemudian disertai pula usaha yang tiada tara untuk kamu menyempurnakannya. Nah bagi saya ini baru dinamakan KERJA KERAS. Baru kamu boleh kata pada diri kamu dan pada orang lain, “I work really hard.” Barulah lengkap maksud kata-kata itu.

Ohhh dan kamu fikir ia berakhir di situ? Tidak… Kerja keras juga tidak mengenal erti putus asa. Andai kata kamu berhenti setengah jalan walaupun kamu sudah memenuhi semua kriteria kerja keras seperti yang saya sebut tadi… ohhh maaf dik… itu bukan kerja keras. Itu namanya melepaskan batuk di tangga. Kamu akan berusaha dan terus berusaha tanpa mengenal erti penat demi menyempurnakan tugasan atau mencapai impian, itu baru kerja keras.

Kerja adalah tanggungjawab. Kerja juga satu amanah. Jika kamu memiliki moral yang tinggi, bila mana namanya tanggungjawab atau amanah, kamu harus memikulnya atau menyempurnakannya melainkan kamu mati…”

Oleh itu, fikir kembali sebelum kamu berani berkata, “I work really hard…” kerana pastikan kamu benar-benar tahu apa maksudnya, baru kamu dibenarkan mengeluarkan kenyataan itu. Kerana dalam kenyataan empat perkataan itu, terkandung makna yang amat berat. Ada pelbagai kriteria yang perlu kamu penuhi dan lengkapi sebelum kamu boleh mengaku yang kamu sudah bekerja keras.

Apalah pendapat makcik-makcik pembuat keropok lekor di Terengganu yang sudah menggulung keropok 25 tahun lamanya tentang kerja keras kamu? Bagaimana pula dengan pelacur yang sudah 30 tahun menghambakan diri kepada pelanggannya demi melangsungkan hidupnya? Ada juga pegawai kerajaan yang selama hidupnya berkhidmat di jabatannya? Malu bukan jika kamu membandingkan kerja keras kamu dengan mereka ini? Atau mungkin jika kita fikir kembali, kita sebenarnya tidak layak pun mengutarakan kenyataan “I work really hard…” ini.

i work really hard

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE