SEARCH

Tak Bolehkah Kerajaan Atau Institusi DiRaja Selesaikan Isu Jerebu?

Tak Bolehkah Kerajaan Atau Institusi DiRaja Selesaikan Isu Jerebu?

Isu jerebu ini sesungguhnya memeningkan kepala. Abang kepada teman saya meninggal dunia pada 1998 di usia 30 tahun kerana serangan asma yang disebabkan oleh jerebu teruk pada tahun tersebut. Bermakna sudah 21 tahun masalah jerebu ini melanda negara kita. Ia bukan lagi masalah ringan sebaliknya mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada Malaysia terutama kita sebagai rakyat. Masalah kesihatan yang melanda kesan jerebu ini tidak boleh dipandang ringan lagi.

Banyak antara kita yang menderita sakit tekak, batuk dan sukar bernafas dek kerana terpaksa menghirup asap yang bertebaran di udara. Ada juga yang sakit kulit dan mendapat rengsaan kulit kerana jerebu ini. Nah sampai begitu sekali kesan jerebu bermakna juga ia adalah masalah serius yang perlu diselesaikan segera. Once and for all. Memandangkan ia sudah terjadi sejak 21 tahun lalu saban tahun, takkan kita nak membiarkan ia berterusan untuk 21 tahun lagi. Takkan nak menunggu sampai rakyat jatuh seorang demi seorang seperti nyamuk disembur aerosol baru ada tindakan yang nak diambil?

Siapa yang wajar bertanggungjawab terhadap isu ini? Tentulah kerajaan Malaysia kerana ini melibatkan kebajikan rakyat. Bagaimana negara boleh menjadi produktif jika kebanyakan rakyat terganggu dek masalah kesihatan yang berpunca daripada jerebu? Bayangkan kalau seluruh negara mogok dan tidak pergi kerja kerana tidak mahu kesihatan kita dipertaruhkan, apakah negara kita akan berfungsi? Mungkinkah waktu itu baru kerajaan akan berbuat sesuatu?

Saya membaca beberapa laporan oleh Straits Times Singapura tentang isu jerebu ini. Dalam beberapa artikel hanya melaporkan tentang kerajaan Malaysia dan Indonesia yang saling meyalahkan sesama sendiri sahaja. Apakah melalui permainan menyalahkan sesama sendiri ini akan menyelesaikan masalah jerebu ini? Tindakan perlu diambil. Satu artikel Straits Times menerangkan kerajaan Indonesia mengambil tindakan menutup ladang-ladang di Sumatera dan Kalimantan yang melakukan pembakaran terbuka.

Antara syarikat-syarikat ini termasuklah Sime Indo Agro (unit di bawah Sime Darby Plantation), Sukses Karya Sawit (unit di bawah IOI Corporation) dan Rafi Kamajaya Abadi (unit di bawah TDM Bhd). Terakhir, beroperasi di Riau ialah Adei Plantation and Industry (unit di bawah Kuala Lumpur Kepong Group). Empat daripada ladang ini adalah milik warga Malaysia. Apa sudah gila agaknya pemilik syarikat-syarikat ini? Tindakan kamu membakar ladang ini boleh membunuh rakyat negara kamu sendiri!!! Ke mana hilangnya perikemanusiaan kamu? Tidak terlintas langsung dalam fikiran kamu akan kesan buruk tindakan kamu ini ke? Apakah kamu tidak mempunyai kata hati yang melarang kamu daripada melakukan khianat dan jenayah ini?

Mungkin pemilik-pemilik ini tidak pun menginap di Malaysia. Entah-entah mereka hidup di Eropah atau di negara-negara lain di dunia. Maka mereka tidak merasai sendiri derita berdepan dengan jerebu ini. Lebihlah tidak adil dan keparat jika benar ini terjadi. Ingat! Karma is a bitch!

Nah sekarang kita sudah tahu puncanya berlaku jerebu ini. Ia dilakukan oleh ladang-ladang yang dimiliki warga Malaysia. Bukankah sepatutnya kerajaan Malaysia boleh mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat ini? Bukan hanya menuding jari kepada menteri alam sekitar Indonesia untuk mengambil tindakan. Saya tahu tidak semudah itu tindakan boleh diambil tapi saya pasti ada tindakan boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

Begitu juga dengan institusi diRaja negara kita. Apakah mereka tidak boleh menggunakan kuasa yang ada di tangan mereka untuk berbuat sesuatu tentang isu ini? Sungguhlah jentera perhubungan awam Agong dan Raja Permaisuri Agong sekarang ini memang agresif dalam menyusun aktiviti untuk mempamerkan tugas-tugas yang dilakukan oleh institusi diRaja ini bersama rakyat. Apa kata masukkan isu jerebu ini dalam agenda perhubungan awam mereka?

Memandangkan ini isu yang lebih penting perlu diselesaikan buat masa ini. Dan seelok-eloknya isu ini diselesaikan kali ini dan tidak akan berbangkit lagi untuk tahun-tahun mendatang. Saya pasti dengan hanya satu surat daripada istana bakal membuat syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang ini menghentikan aktiviti pembakaran mereka bukan sahaja untuk tahun ini malah tidak berani melakukannya lagi sampai bila-bila.

Seorang teman saya terbang ke Langkawi hujung minggu lalu hanya untuk berlatih berlari sebelum menyertai maraton di Melbourne Oktober nanti. Ini kerana bacaan udara di Langkawi adalah jauh lebih baik berbanding di Kuala Lumpur. Sampai begitu sekali kesannya jerebu ini kepada aktiviti rakyat. Bagi saya tidak berbaloi sama sekali. Dan sampai bila kerajaan akan terus-terusan membekalkan topeng N95 kepada rakyat setiap kali jerebu melanda? Sampai habis topeng N95 di pasaran. Atau apakah ini juga strategi pemasaran untuk melakukan topeng tersebut kerana syarikat pembekal topeng ini ada kena mengena dengan kerajaan juga?

Daripada rakyat terus-terusan berteka-teki dan membuat andaian palsu sendiri-sendiri seperti ini, baiklah isu ini diselesaikan. Tidak sukar pun untuk menyelesaikannya saya kira. Jalannya sudah nampak. Tergantung sama ada mahu melewati jalan tersebut atau tidak sahaja. Janganlah sampai rakyat Malaysia jatuh seorang demi seorang di atas jalan seperti nyamuk disembur aerosol baru mahu ambil tindakan, dah terlambat lah maknanya. Malaysia sudah sampai ke penghujungnya jika ini dibiarkan terjadi.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE