SEARCH

Generasi Milenial Malaysia Masa Kini: Peranakan, Manja & Individual?

Generasi Milenial Malaysia Masa Kini: Peranakan, Manja & Individual?

Sewaktu merancang dan melaksanakan rencana Fresh Faces 2016, kami sendiri tidak perasan sebenarnya akan kepelbagaian wajah dan raut anak-anak muda yang dipilih memenuhi senarai ini. Dalam minda kami, hanya wajah yang segar, yang baru, yang bervisi, yang ber substance dan beraspirasi layak dipaparkan sebagai Fresh Faces STAIL.MY. Tidak terlintas langsung di kepala bahawa mereka ini semua memiliki raut unik yang bagi saya, melambangkan generasi baru (milennial) Malaysia. Hanya setelah dibariskan dan dikolajkan baru kami perasan, oh anak Malaysia hari ini sebenarnya sungguh majmuk – memiliki raut beberapa kaum dalam satu raut. Dan ini menarik minat saya untuk menulis ruangan ini. Kerana banyak antara kita yang tidak perasan akan kemajmukan generasi milenial Malaysia kini.

“Dek kerana isu-isu remeh yang sering memenuhi dada akhbar hari ini, rata-rata antara kita lupa bahawa kemajmukan generasi baru ini yang harus digunapakai untuk membangunkan masyarakat kita.”

Pada saya ia seharusnya dijadikan kelebihan dan keistimewaan untuk memberi pulangan dan faedah kepada kita. Kemajmukan dan kepelbagaian keturunan ini selalunya akan menjadikan individu itu lebih bijak, lebih membangun, lebih kreatif, lebih berinovasi dan lebih ke depan saya kira. Ini kerana perkahwinan campur memang terbukti menghasilkan anak-anak yang lebih membangun otak dan mindanya. Menurut kefahaman saya daripada tulisan Farish A. Noor dalam bukunya, What Your Teacher Didn’t Tell You: The Annexe Lecture (Vol.1), masyarakat Malaysia selepas kemasukan imigran zaman penaklukan British dahulu kebanyakannya dikenali sebagai peranakan. Ini kerana tidak ada satu lagi kaum mono yang dapat ditakrifkan secara khusus. Kerana kebanyakannya sudah bercampur baur. Ada Cina yang dilahirkan di Malaysia. Ada yang sudah bercampur keturunan melalui perkahwinan. Ada pula pelbagai sub-kaum di bawah nama kaum Melayu seperti Batak, Jawa, Minangkabau, Jambi atau Boyan misalnya.

Jadi sebenarnya masyarakat Malaysia hari ini tidak lagi boleh dikategorikan dengan kaum-kaum yang ‘sempit’ seperti Melayu, Cina dan India misalnya. Kerana sudah terlalu banyak antara kita yang sudah bercampur-campur darah dan keturunan. Seperti Fahad Iman yang pabila saya tanya padanya, “Kamu keturunan apa?” “Hmmm… Melayu, Arab dan ini, dan itu dan ini…” Sampai saya sendiri tidak tahu meletakkan satu kategori lagi untuk Fahad. Daripada perbualan ini membuat saya tersedar tentang kemajmukan generasi milenial Malaysia hari ini. Merenung pula pada gambar-gambar Fresh Faces yang disusun dalam satu frame, lebih lagi terbuka mata saya akan kemajmukan ini kerana tiada seorang pun antara mereka sebenarnya yang boleh saya kategorikan rautnya dengan satu-satu kaum tertentu. Setiap mereka menyerlah dengan keunikan raut tersendiri – individual. Kemajmukan ini juga yang saya rasa harus kita manipulasikan untuk menyatukan masyarakat kita hari ini yang semakin merata rawa. Kepelbagaian ini yang seharusnya kita gunakan untuk membentuk satu sahaja kaum yakni kaum MALAYSIA.

Kerap pula dalam perbincangan saya sesama teman yang rata-rata memiliki staf di kalangan milenial, satu ciri yang sering timbul setiap kali sebagai topic perbualan ialah generasi milenial yang MANJA. “Mereka manja…” kata seorang teman. Seorang lagi berpendapat, “Ya mereka semua hanya suka di’suap’ sahaja. Semua perlu diberitahu dan disuruh. Baru mereka tahu dan mahu mengusahakan. Kalau tak… Duduk sahajalah menunggu arahan. Macam pahat, diketuk baru berbunyi.” Ada pula yang kata,

“Milenial ni sensitif. Salah cakap mencebik, merajuk dan senang sahaja memutuskan berhenti kerja. Mereka bukan macam generasi baby boomers atau generasi X yang ‘die die’ (mati, mati) akan bekerja dan berusaha sampai jaya. Walau dimarahi ketua, disuruh bekerja sampai pagi jam tiga atau perlu memerah otak menjayakan kertas kerja – mereka pasti buat.”

 

Kerana niat mereka hanya mahu bekerja, berusaha mencari rezeki dan belajar, belajar dan terus belajar. Kerana pada mereka hanya dengan cara ini mereka boleh menjadi all-rounder. Dan boleh menjayakan apa pun biar diletak dalam situasi apa sekali pun.” Jadi ini semua tidak ada pada generasi milenial. Seperti yang disebut tadi, milenial hari ini manja. Mereka mudah berputus asa dan tak kuat berusaha, malas dan tak tetap hati. Kadang-kadang mahu yang ini, kadang-kadang mahu yang itu. Pabila dah memutuskan yang ini, tiba-tiba tengah-tengah jalan, berubah fikiran dan mahu yang itu pula. Sebagai generasi lebih senior kami perlu memahami dan mendalami, belajar lebih terperinci, mengkaji dan menyelami hati dan personaliti diri si milenial. Ini penting bagi melangsungkan pekerjaan, membangunkan potensi mereka dan memastikan mereka bisa berkembang dan menjana syarikat dan perusahaan. Saya akui ini bukan perkara mudah. Tetapi saya dan teman-teman menganggap ini juga sebagai salah satu cabaran buat generasi kami. Dan saya fikir jika tidak kami menanganinya sebegini, akan terhapuslah bakat-bakat baru ini, akan tersia-sialah kebijaksanaan mereka dan baka baik yang dihasilkan daripada generasi peranakan ini.

Pun begitu dalam banyak ciri-ciri milenial ini yang saya anggap sebagai cabaran, ada juga yang baiknya. Saya juga perasan bahawa milenial ini sangat individual. Masing-masing memiliki pendapat sendiri dan pendapat mereka itu begitu kuat hingga terkadang-kadang menepis pandangan dan pendapat orang lain. Mereka bahkan tidak dapat menerima langsung cara orang lain yang mereka rasakan bukanlah yang terbaik. Ini bagus kerana ini menunjukkan kamu ada jati diri dan falsafah yang kuat tetapi ia juga menolak tepi kebolehan kamu beradaptasi dengan situasi berbeza-beza. Mempamerkan yang kamu tidak ada fleksibiliti. Tetapi bersikap individual dan kuat jati diri memang penting cuma perlu diimbangi dengan persekitaran dan tergantung keadaan. Jika kamu dapat menguasai yang ini, percayalah kebolehan si milenial akan lebih terkembang bahkan tak mustahil bisa menandingi dan menjadi jauh lebih baik daripada generasi sebelumnya.

“Dunia hari ini dikuasai milenial. Ini fenomena yang tidak dapat ditolak atau dielak lagi. Jadi nasihat saya juga pada generasi baby bommers dan X, kita juga harus bijak beradaptasi dan mewarisi fleksibiliti.”

Agar kita dapat sama-sama memajukan diri, mengembangkan potensi dan belajar menguasai – pertama diri sendiri, famili, komuniti dan country seterusnya globally. Jadi sebenarnya, it’s all good, “Life is good,” seperti yang suka disebut Cristina (Suzanne). Sememangnya zaman diatur akan berubah dan berevolusi dengan cara ini. Cuma tergantung kamu dan diri sendiri cara untuk beradaptasi.

.

stailmyfreshface2_stailMY

2016-02-19-01.55.52

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE