SEARCH

NAK CANTIK? PERLU KERJA KERAS, MATA YANG TAJAM & ILMU

NAK CANTIK? PERLU KERJA KERAS, MATA YANG TAJAM & ILMU

KataPengarang(inside)_stailMY
Hitam hitam si tampuk manggis, bunga kemuning luruh di hulu. Hitam hitam kupandang manis, putih kuning tinggal dahulu. Kerana itu juga pabila mahu mengetengahkan tema cantik kali ini saya memilih satu-satunya bintang soprano tanah air, Ning Baizura yang saya rasakan sangat cantik feature nya, rahang yang tajam dan berhidung tinggi. Pada saya kulit sawo matang dan raut eksotiknya melambangkan kecantikan Melayu asli. Ya, cantik itu bukan hanya pada yang berkulit kuning langsat. Cantik sebenarnya bukanlah tergantung pada warna kulit. Sekurang-kurangnya pada pandangan saya. Satu yang sangat kagum dengan Ning ialah pada usianya yang sudah melewati garis 40, kecantikannya masih seperti waktu dia anak dara dahulu. Kulitnya bersih mulus. Rambut berjaga rapi dan dia hari ini amat mementingkan pengambilan makanan yang sihat lagi berkhasiat demi menjaga kesihatan dan bentuk tubuh sempurna. Ning juga hari ini duta kepada Sweat Spa, pusat rawatan tempat dia menjaga kesihatan tubuh badannya.

Ya begitulah kalau mahu kekal cantik. Tiada siapa yang patut kata mahu cantik tak perlu buat apa-apa. Atau cantik sebab keturunan. Merepek. Siapa yang boleh cantik tanpa buat apa-apa, saya janji akan kerat jari sendiri kalau ada. Kerana walaupun kamu cantik sebab keturunan tapi kalau tak dijaga kulit itu, dirawat setiap hari dan malam sebelum tidur – nescaya darah keturunan kamu pun tak dapat nak menolong kamu kekal cantik. Kalau dimakan sembarang-sembarang tanpa dihitung kalori dan diketahui asal-usul bahannya pasti akan mengundang penyakit dan menggalakkan lemak bertandang. Kerana itu pepatah Inggeris menyebut, beauty is pain. Sakit itu bukan kerana dicucuk jarum filler atau botoks atau pisau surgeri tetapi maksud pain itu ialah rutin dan amalan yang perlu diamalkan setiap hari untuk cantik itu boleh jadi menyakitkan dan renyah pada sesetengah orang. Tapi nak buat macam mana kalau mahu cantik wajib sebegitu. Kalau tidak jangan mimpilah nak berkulit halus semulus telur baru dikupas. Dan kerana itu jugalah lahir kata-kata beauty is pain.

Begitu juga adakalanya kita suka sangat pada sepatu yang satu itu tetapi ia bukanlah sepatu paling selesa di dunia. Namun kerana sepatu itu cantik rekaannya dan membuat kita rasa cantik pula memakainya, kita pakai juga walaupun sebenarnya tulang temulang kaki kita itu bengkok-bengkok kerana ketidakselesaannya. Begitulah juga maksudnya beauty is pain bukan? Ziana (Zain) pernah memberi petua hilang berat badan selepas melahirkan, “Saya makan sesudu nasi sahaja sehari” demi mendapat kembali bentuk badannya sebelum mengandung. Bukan kah menyakitkan tu? Kita yang mendengarnya pun berasa ngilunya tak dapat menjamah nasi yang sekian lama menjadi makanan ruji kita.

Tetapi mahu cantik sebenarnya tak cukup dengan kerja keras sahaja. Nak cantik juga perlukan mata yang tajam dan ilmu bagi menyempurnakan kerja keras kamu itu. Mata perlu tahu apa yang boleh membuatkan kamu nampak cantik. Mata perlu tajam mengetahui helaian apa yang mencantikkan penampilan. Kasut yang mana akan sepadan dengan penampilan yang mana dan gaya apa yang sesuai dengan acara yang mana. Ini penting untuk menyempurnakan kecantikan kamu. Saya kenal beberapa wanita yang berwajah cantik tapi tiada mata dalam memilih gaya yang bersesuaian dengan personaliti diri – tak menjadi juga sudahnya. Takkan menyerlah kecantikan kamu itu kalau kamu tiada mata melihat yang cantik-cantik untuk diri kamu.

Satu lagi ilmu. Ini juga penting kalau kamu mahu tampil cantik. Tanpa ilmu, percayalah berapa lama pun kamu berusaha tak akan ke mana. Pengetahun tentang produk dan kandungan yang mana elok kamu gunakan pasti akan memberi perbezaan pada usaha keras kamu menjaga kecantikan. Mengetahui produk mana yang sesuai dengan kulit dan tubuh kamu agar dapat memberi kesan maksimum selepas digunakan – ini bagi saya ialah ilmu untuk kamu memiliki kecantikan yang diingini. Ilmu untuk mengetahui vitamin apa yang patut diambil dan makanan apa yang sesuai dengan darah dan keperluan tubuh misalnya akan memberi perbezaan besar dalam usaha menjaga kecantikan dan kesihatan. Ilmu mengetahui mekap yang mana akan bisa menyerlahkan kecantikan asli kamu – ini juga dipanggil ilmu.

Saya juga setuju dengan nasihat Ning untuk cantik. “Saya percaya dengan kecantikan dari dalam. Hati yang bersih dan ikhlas pasti akan menyerlahkan personaliti dan kecantikan asli kita.” Itu yang disebut Ning pada saya. Ya kerana pada akhirnya saya juga percaya biar sekeras mana sekali pun usaha kamu, setajam mana pun mata kamu dan sedalam mana pun ilmu kamu tentang kecantikan tapi kalau daging yang seketul dalam diri kamu itu berbalut dengki dan iri juga kepalsuan, percayalah dengan kata-kata saya ini, pasti akan terlihat pada wajah kamu. Walau tak cepat kelihatan kebusukan itu, lambat laun akan terserlah jua biar sesihat mana sekalipun makanan yang diambil, berbotol-botol vitamin ditelan setiap hari dan berbekas-bekas krim kecantikan yang disapu pada kulit, nescaya tidak akan bisa menutup kehodohan dalaman kamu itu.

2016-02-19 01.55.52

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE