SEARCH

#pinkoctober: Kanser Payudara, Saya Seru Agar Semua Wanita Sedar & Berjaga-jaga

#pinkoctober: Kanser Payudara, Saya Seru Agar Semua Wanita Sedar & Berjaga-jaga

Kalau diturutkan kata hati, saya ingin membuat tajuk Kata Pengarang saya ini sebagai ‘Saya Benci Kanser Payudara’. Tapi tidak adil dan kedengaran seperti terlalu emosional saya kira. Kerana penyakit dan ujian ke atas individu itu semua datang dari Allah dan telah tertulis sebagai takdir. Kita manusia biasa wajib redha menerima dan belajar daripadanya. Arwah mama meninggal bulan tiga tahun ini kerana kanser payudara. Hati saya masih sebak dan sedih sampai hari ini walaupun saya sudah menerima dan redha dengan pemergiannya. Saya tahu perasaan ini takkan hilang sampai bila-bila. Tapi jauh di sudut hati, saya berjanji dalam diri – jika ada mana-mana peluang yang boleh saya perjuangkan demi kesedaran wanita-wanita di Malaysia tentang peri penting mendalami dan sedar akan bahaya penyakit ini saya akan gunakan sebaik-baiknya.

Jadi lewat penghujung bulan lalu, saya menghantar whatsapp kepada Pengarah Kreatif saya, Amy (Merrissa Emilda) berbincang tentang cara sokongan kami dalam memberi kesedaran tentang penyakit ini bersama pembaca-pembaca kami. Pertama sekali, kami menukar latar portal STAIL.MY (hanya untuk sepanjang bulan ini sahaja) kepada warna merah jambu. Logo STAIL.MY juga berubah warna sepanjang Oktober kepada warna sama sebagai tanda sokongan kami. Pos-pos kami di Instagram akan sebolehnya berkisar warna-warna ini juga. Beberapa artikel tentang kanser payudara akan kami terbitkan sepanjang bulan ini. Semuanya kami anggap sebagai usaha (kecil kami) bagi memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pembaca tentang penyakit ini.

Bukan apa, saya kira kesedaran tentang penyakit ini masih kurang di Malaysia. Sewaktu saya menjaga mama dari awal sel kanser dikesan ada dalam payudaranya saya sedar bahawa pengetahuan tentang penyakit ini masih kurang. Mujur kami sesama adik-beradik sering berbincang mengenainya. Apa sahaja bentuk informasi yang kami perolehi kami bincangkan bersama demi memahami lebih mendalam tentang penyakit ini. Semakin dalam pengetahuan dan pemahaman kita tentang apa jua isu atau penyakit, semakin mudah kita mencegah dan melawannya. Tetapi mungkin bukan semua keluarga di Malaysia memiliki sikap yang sama. Saya tahu ada sesetengahnya masih malu-malu berbincang mengenainya. Ada yang malu mengaku menghidap penyakit ini. Ada pula yang enggan mendalami dan memahami penyakit ini. Sikap sebegini tidak akan bisa membantu sesiapapun baik yang menghidapi dan yang tidak. Ilmu itu penting bagi kita ketahui kerana hanya dengan ilmu dan kesedaran kita bisa menguasai dan mencegah sesetengah keadaan daripada berlaku. Kerana itu penting bagi saya untuk pembaca STAIL.MY memahami lebih lanjut tentang ‘musuh’ dalam diam ini.

Berdasarkan pengalaman dan perbualan dengan beberapa individu, ada antara mereka yang mengatakan bahawa setiap daripada manusia bisa mengaktifkan sel kanser dalam tubuh mereka. Ini kerana kata Jennifer Loros, Ph.D, profesor biokimia dan genetik Dartmouth Medical School, “Setiap daripada kita memiiliki sel yang mengandungi protein mutan daripada kerosakan DNA, tapi ia bukan kanser. Kitaran sel ada checkpoints di mana ia menentukan sama ada ia masih sihat atau perlu dipecahkan dan dipulihkan atau membunuh dirinya sendiri. Sel kanser boleh teraktif apabila checkpoints normal ini terganggu kitarannya dan sel yang tidak elok mula membahagi.” Ada juga sesetengah individu doktor yang menyebut bahawa stres dan gangguang psikologi bisa merangsang sel berubah kanser.

Daripada informasi ini, saya beritahu pada diri untuk tidak lagi terlalu memikirkan secara mendalam tentang sesuatu perkara hingga mengganggu emosi dan minda saya. Kerana ini adalah punca stres dan saya tahu ia tidak bagus untuk kesihatan bukan sahaja bisa menyebabkan penyakit kanser tetapi juga penyakit-penyakit lain. Saya cuba untuk bersikap positif dan bersyukur serta bergembira dengan semua yang saya miliki. Kerana daripada perasaan rakus dan tidak cukup juga akan bisa membuat kita jadi agresif dan terdorong menjadi stres yang saya tahu tidak bagus untuk kesihatan.

Mungkin ini langkah pencegahan awal untuk penyakit kanser payudara yang semua wanita di luar sana boleh cuba. Tentunya ini perlu disertai pemakanan sihat, bersenam dan memahami langkah-langkah mengesan seperti pemeriksaan sendiri pada bahagian payudara diikuti mamogram dan seterusnya. Dan walaupun kamu sudah disahkan menghidap kanser payudara, hari ada banyak cara melawan dan menghapuskannya. Berjanjilah pada saya untuk jangan putus asa daripada terus melawannya. Kerana sekalipun kamu disahkan menghidapi bukan bermakna tiada harapan untuk kamu survive dan sihat kembali. Mungkin masa mama saya bertemu dengan pencipta-Nya sudah tiba, tapi mungkin masa kamu belum tiba. Jadi jangan sesekali putus asa ya, JANJI?

Well pepatah menyebut hidup terlalu singkat untuk membimbangi sesuatu perkara. Hidup terlalu singkat untuk bersengketa. Hidup terlalu singkat untuk kita membiarkan stres mendiami minda dan merosakkan kesihatan. Jadi mengapa tidak kita mulakan dengan berfikiran positif dan menanam rasa gembira dan yang bahagia-bahagia sahaja dalam diri untuk menangkis sebarang bentuk kesulitan dalam diri?

Nasihat saya juga pada wanita di luar sana, kita sebagai manusia amat kenal tubuh kita sebenarnya. Dari kita lahir sama berapa pun usia kamu waktu ini, percayalah kita sebenarnya tahu jika ada sebarang bentuk ketidakbiasaan sedang berlaku dalam tubuh. Jadi jika merasakan sebarang bentuk perubahan tidak normal dalam tubuh apalagi pada payudara, cepat-cepatlah membuat pemeriksaan dan berjumpa doktor. Tolong diri kamu sendiri melainkan kamu sendiri yang tidak mahu lagi. Tubuh kita ini adaah kurniaan dan pinjaman Tuhan untuk kita jaga. Jadi apa kata berjanji pada diri mulai hari ini untuk sentiasa menjaganya dan memastikan ia bebas daripada (harapnya) bukan sahaja penyakit-penyakit biasa seperti demam dan selesema apalagi membiarkan daripada sel kanser menginap di dalamnya.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE