SEARCH

Tragedi Orlando & Turki: Apakah Manusia Sudah Menjadi Binatang?

Tragedi Orlando & Turki: Apakah Manusia Sudah Menjadi Binatang?

Heal the world
Make it a better place
For you and for me
And the entire human race
There are people dying
If you care enough
For a living
Make a better place
For you and for me

Lagu ini ditulis mendiang Michael Jackson pada 1991. Biarpun masih awal untuk saya memahami mesej dalam lagu itu sewaktu ia keluar, tetapi liriknya itu sentiasa menjadi peneman manusia seluruh dunia sampai hari ini. Semakin saya matang, mesej dalam lagu ini semakin jelas. Saya bahkan mahu berpegang padanya dan mahu memperjuangkannya apalagi dalam dunia yang semakin ‘gila’ lagi buas hari ini. Dan entah mengapa setiap kali ada bencana atau tragedi di dunia, lagu ini pasti terngiang-ngiang di telinga. Kerana bagi saya ia membawa sinar harapan kepada perkara malang yang terjadi untuk melihat dunia ini kembali harmoni dan saling mencintai.

Menurut Jackson dalam satu sesi sembangnya dengan peminat-peminatnya pada 2001, dia menyebut bahawa lagu ini adalah ciptaannya yang paling dibanggakan. Dia juga mengasaskan Heal the World Foundation, organisasi amal yang direka untuk memajukan kehidupan kanak-kanak. Organisasi ini juga bertujuan untuk mengajar kanak-kanak membantu sesama sendiri. Konsep dunia lebih sempurna ini juga menjadi centerpiece konsert jelajah Dangerous World Tour Jackson. Membuktikan betapa kuatnya keinginan Jackson mengubati dunia. Bayangkan dia sudah memperjuangkan tema ini pada 1991. Putar masa ke 25 tahun selepas itu, maaf Jackson, dunia hari ini tidaklah semakin pulih sebaliknya semakin tenat.

Baru-baru ini, tragedi tembakan di kelab gay Pulse di Orlando mengejutkan dunia. Diikuti pula beberapa lagi siri musibah seperti pengeboman misalnya terkini di Lapangan Terbang Turki. Tragedi Orlando mengorbankan 49 orang dan mencederakan 53 orang. Manakala pengeboman di Turki 44 terbunuh dan 230 cedera. Menolak ke tepi kebarangkalian pembabitan ISIS atau apa sahaja komplot dan strategi kotor di sebalik kesemua tragedi ini, saya terfikir jika kita membawanya kepada logik akal paling ringkas, apakah manusia hari ini sudah hilang kemanusiannya?

“Saya sampai mempersoalkan, apakah manusia hari ini sudah berubah menjadi binatang? Atau mungkin lebih teruk lagi daripada binatang kerana mereka pun masih saling menyayangi malah anjing pun dikatakan sangat manja, sayang dan setia dengan tuannya (tonton sahaja filem Hachiko).”

KataPengarang1_stailMYPatutlah juga seniman agung P.Ramlee pernah mencipta dialog dalam filem Ibu Mertuaku berbunyi, “Mengapa engkau dilahirkan sebagai manusia, kan lebih baik engkau dilahirkan menjadi binatang.” Ini yang disebutkan Kassim Selamat kepada ibu mertuanya yang zalim dan kejam. Kerana memang itulah yang selayaknya gelaran yang wajar diberikan kepada mereka. Walaupun saya rasa binatang pun tidak kejam dan zalim. Ya saya tahu dunia ini dipenuhi anasir jahat dan manusia kejam. Ini hakikat yang setiap daripada kita wajib terima. Tetapi yang saya tidak boleh terima ialah mengapa manusia tidak cuba memperbaiki dan lebih banyak memperjuangkan kebaikan dan bukan kejahatan? Saya sedar hari ini manusia tidak mencuba langsung untuk menjadi baik. Malah ada yang tidak faham konsep berbaik-baik dan menyayangi sesama manusia. Garisan kemanusiaan semakin menipis dan tidak mustahil langsung hilang suatu hari nanti. Banyak pula yang saya tahu dizalimi dan dianiaya memutuskan untuk membalas semula dalam bentuk kezaliman dan penganiayaan. Sampai bila putaran kezaliman dan penganiayaan ini akan berterusan? Apakah maknanya ia akan berulang sampai bila-bila? Ini akan lebih memporak-perandakan lagi dunia, no?

Sebaliknya jika kebaikan yang diperjuangkan, bayangkan betapa bahagianya dunia ini dan betapa harmoninya hubungan sesama manusia. Tiada hasad dengki atau iri. Tiada benci dan rasa mahu menyakiti. Aduh sungguh saya dambakan dunia sebegini. Ibu bapa saya selalu berpesan dahulu, “Biarlah orang buat kita, tapi kita jangan sesekali buat orang.” “Jangan dengki khianat pada orang.” “Berbuat baiklah sesama kita. Tiada salahnya jika berbuat baik dengan orang.” Kata-kata inilah yang saya pegang sampai kini dan saya rasa kata-kata ini jugalah yang harus disampaikan oleh semua ibu bapa di dunia kepada anak-anak mereka. Malah tiada agama pun di dunia yang mengajar penganutnya berjahat-jahatan sebaliknya semua memperjuangkan kasih sayang dan kebaikan.

Dalam laporan tentang penembak Omar Mateen dalam tragedi Orlando, dia dikatakan sakit mental, bipolar disorder dan dilihat memiliki banyak konflik dalam diri. Dia mempunyai sejarah memukul bekas isterinya. Kemudian dia juga dikatakan ada beberapa akaun aplikasi gay dan pernah menghubungi beberapa orang melalui aplikasi ini. Saya mengagak Omar adalah closeted gay yang sukar mendapat pasangan. Bukan kerana apa tapi lebih kerana konflik dalam dirinya. Jelas dia sendiri belum dapat menerima dirinya. Jika tidak mengapa dia berkahwin dan bercerai tak lama selepas itu. Tidak mustahil juga segala ketidakpuasan hati dan konflik dalam dirinya ini menyumbang kepada tindakannya. Dia saya lihat bertindak membalas dendam kepada golongan LGBT kerana dia tidak dapat menerima status seksual dirinya sendiri. Omar juga mungkin membesar dengan kurang kasih sayang dan galakan daripada keluarga. Kerana individu yang rasa disayangi dan benar-benar mendapat dorongan keluarga serta bisa pula menjadi dirinya sendiri tidak mungkin akan bertindak persis binatang seperti ini. Seperti tiada langsung peri kemanusiaan dan tiada langsung perasaan belas kasihan serta kasih sayang dalam diri Omar.

“Kata orang langkah pertama untuk saling menyayangi ialah dengan menyayangi diri sendiri. Hanya jika kamu faham cara menyayangi diri sendiri baru kamu akan faham konsep menyayangi insan lainnya.”

Omar jelas tidak menyayangi diri sendiri hingga malah tidak dapat pun menerima sexual preference dirinya. Tentu sekali sukar untuk dia disayangi dan mampu bertindak crazy. Begitu juga dengan kes pengebom di Turki. Dilaporkan ada tiga kesemuanya. Jika setiap seorang daripada mereka faham akan makna menyayangi diri sendiri, tentu mereka tidak sanggup mengorbankan diri sendiri untuk membunuh pula berapa ramai yang lainnya. Bagi saya ini bukan lagi tindakan berani atau jihad sebaliknya terdorong anasir jahat dan tak berperikemanusiaan. Kerana ia mengorbankan banyak insan lain yang tidak tahu hujung pangkal bahkan tidak bersalah. Saya diajar sedari kecil untuk tidak berbuat jahat pada orang maka sampai hari ini saya memang tidak dapat menerima perbuatan manusia menyakiti dan mengorbankan orang lain. Kepercayaan saya ialah pabila kamu menyakiti atau menganiaya orang lain nescaya kamu juga akan menerima layanan yang sama. Hanya cepat atau lambat sahaja. Dan kita tidak mahu kepincangan sebegini yang looping dan berulang dalam dunia bukan?

Jadi apakah langkah pertama kita sebagai individu untuk mendapat dunia lebih sempurna? Saranan saya ialah seperti yang saya sebut tadi, sayangi diri kamu dahulu. Sayangi diri kamu hingga kamu mampu menyayangi insan lainnya. Dan tidak sampai hati menyakiti orang lain apalagi menganiaya dan menzalimi orang lain. Jauhkan perasaan dengki dan iri dalam diri. Beri sokongan dan dorongan pada kemahuan dan keinginan insan lain. Lebih mengerjakan apa yang boleh membuat kamu gambira. Jauhkan perasaan bersedih-sedih dan sayu serta benci daripada bersarang dalam diri. Mungkin dengan semua langkah-langkah ini dunia akan lebih zen dan harmoni. Lebih banyak manusia akan lebih menyayangi dan our world will eventually be healed. Here, here… mulakan dengan Aidilfitri ini untuk saling bermaafan dan melupakan. Semai dan cambahkan kasih sayang. Bumbui ia dengan cinta dan kesetiaan. Semoga mesej dalam lagu Michael Jackson yang saya tulis di awal rencana ini akan terlaksana akhirnya.

2016-02-19-01.55.52

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE