SEARCH

KLFW 2019: Apakah Ia Menyemarakkan Industri & Mencapai Objektif Sebuah Minggu Fesyen?

KLFW 2019: Apakah Ia Menyemarakkan Industri & Mencapai Objektif Sebuah Minggu Fesyen?

KLFW 2019

Rancaklah di mana-mana orang menyebut tentang Kuala Lumpur Fashion Week 2019. Menghampiri minggu KLFW ini semua sudah kecut perut memikirkan helaian mana yang mahu disarung dan pertunjukan fesyen yang mana kah mahu dihadiri? Berlangsung dari 21 Ogos sampai 26 Ogos 2019, ini satu-satunya minggu fesyen yang dianggap relevan di Malaysia. Namanya itu sendiri ibarat penjenamaan buat ibu kota kita. Ia seharusnya dianggap sama tarafnya dengan minggu-minggu fesyen dunia yang seperti Paris Fashion Week, Milan Fashion Week atau New York Fashion Week.

Jadi tak salah lah kalau banyak anak-anak muda bahkan pereka-pereka yang menyertai senak perut kerana teruja untuk minggu KLFW. Saya sempat menghadiri tiga pertunjukan tahun ini. Bermula dengan Wynka, jenama dari Kuching yang baru pertama kali menyertai KLFW, Ezzati Amira pada petang hari sama dan InnaiRed pada hari terakhir. Ketiga-tiga jenama ini yang perekanya sudah menjadi teman. Wynka yang diasaskan oleh Karen baru sahaja mengambil pereka Hayden Koh sebagai Pengarah Kreatifnya. Koleksi KLFW mereka memaparkan tema 80-an dari segi siluet dan penggayaan. Fabrik bercorak menjadi taruhan selain menggunakan aksesori daripada jenama Borneo juga, Sereni & Shentel.

Ezzati pula merubah hala tuju rekaannya kali ini kepada helaian-helaian yang lebih wearable dan klasik. Pantsuit putih, rekaan bertema pajama daripada fabrik bercetak selain skirt-skirt full daripada kain warna khaki dan biru gelap yang datang bersama tali pinggang berpoket antara helaian yang mencuri perhatian saya. Katanya dia mahu helaian-helaiannya mempunyai appeal sama dengan Zara di mana pelanggannya mudah membeli kerana senang memakai pada bila-bila masa sesuai semua acara. Strategi yang bagus.

InnaiRed juga menukar perekanya bermula koleksi KLFW ini. Rebirth nama koleksi ini menerangkan tentang arah tuju baru yang dikemukakan oleh InnaiRed terutamanya dalam koleksi ini yang memaparkan helaian-helaian resort wear yang saya rasa lebih sesuai dengan cuaca di Malaysia. Helaian-helaiannya yang menggunakan kain renda putih dalam ajnas rekaan seperti top, dress dan pada ceraian skirt nya amat saya gemari. Mengingatkan saya kepada waktu canda di tepian pantai atau percutian di resort mewah. Nampak mahal dan classy sekali. Tentunya InnaiRed juga tidak akan mengecewakan pelanggan-pelanggan setianya pabila masih mengetengah rekaan-rekaan signature jenama ini.

Apakah ini dapat tercapai melalui penganjur yang lebih mementingkan keuntungan berbanding matlamat asal dan pereka yang malas serta menghasilkan koleksi sambil lewa?

Nah begitulah rumusan ringkas tentang pertunjukan tiga jenama yang saya hadiri. Pun begitu yang lebih penting perlu saya laporkan di sini ialah tentang penganjuran KLFW itu sendiri. Setelah beberapa tahun lamanya KLFW ini berlangsung, banyak juga teman-teman yang tahu saya menghadiri bertanya tentang keberkesanannya dan matlamat penganjurannya. Tentulah kadang-kadang untuk kita yang sememangnya berada dalam industri ini, kita tidak berapa ambil pusing lagi tentang hal ini. Tetapi bagi saya wajar juga untuk kita disedarkan sekali-sekala tentang matlamat utama penganjuran sesuatu majlis itu, merenung kembali akan keperluannya dan apakah ia mencapai matlamat yang ditetapkan? Dan kadang-kadang memang kita memerlukan orang yang luar dari industri untuk menyedarkan kita.

Jawab saya pada seorang teman yang bertanya, “Sebenarnya minggu fesyen ini adalah sebagai satu platform untuk membantu pereka-pereka fesyen tempatan. Ia seharusnya mengumpulkan buyers dan media dari luar negara bagi membuka mata mereka untuk melihat bakat-bakat yang ada di negara kita.” “Jadi ada banyaklah buyers dan media luar negara yang datang hari tu?” Tanya teman saya lagi. Saya terdiam. “Tak ada,” jawab saya setelah mengingat kembali apakah ada buyers dan media luar negara yang menghadiri. Kerana saya cuma nampak wajah-wajah yang biasa saya lihat dalam industri tempatan sahaja yang ada. Langsung ia membuat saya berfikir sejenak, apakah tujuannya minggu fesyen ini dianjurkan kalau ia tidak mampu mengembangkan lagi sayap jenama-jenama fesyen tempatan.

Bukanlah saya menidakkan kuasa atau keupayaan buyers dan media tempatan. Cuma maksud saya jenama-jenama tempatan ini sudah pun dikenali di sini. Jadi dalam usaha untuk membantu mereka berkembang, pengenalan kepada dunia luar adalah apa yang pereka-pereka kita perlukan. Hanya dengan cara ini untung mereka akan berlipat ganda dan lebih banyak pihak akan menawarkan peluang. Tapi sayangnya penganjur tidak langsung bertindak sebagai platform yang sepatutnya kepada pereka yang menyertai. Jalan itu sudah pun diterokai apalagi dengan Pavilion Kuala Lumpur sebagai penaja lokasi, seharusnya jalan ini digunakan untuk benar-benar membantu pereka-pereka kita daripada hanya sekadar untuk syok sendiri.

Sebagai satu-satunya minggu fesyen di Kuala Lumpur ia sebenarnya satu platform yang bagus untuk penganjur mengetengahkan pereka-pereka fesyen tempatan dan mengembangkan bakat tempatan kepada dunia luar. Tapi saya kira penganjurannya hari ini adalah semata-mata berlandaskan niat penganjur untuk membuat duit. Dengan jumlah penaja yang disenaraikan dibandingkan dengan usaha dan setup yang minimal, tentu sahaja banyak yang bertanya ke mana perginya wang tajaan yang diperoleh?

Rebirth nama koleksi ini menerangkan tentang arah tuju baru yang dikemukakan oleh InnaiRed terutamanya dalam koleksi ini yang memaparkan helaian-helaian resort wear

Dan bertahun-tahun lamanya juga, kisah model-model yang berjalan untuk KLFW tidak dibayar berlegar di kalangan pemain-pemain industri. Tentulah kita yang berada dalam industri yang mendengar ini tidak seronok kerana kebanyakan daripada model-model ini sudah menjadi teman. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Begitulah ibaratnya situasi ini.

Pertunjukan-pertunjukan yang berlangsung juga tidak menarik perhatian. Entahlah. Bagi saya pertunjukan fesyen itu haruslah menjadi satu ‘pertunjukan’. Fashion show has to be a show. Bermula dengan model kepada konsep kepada tema kepada rekaan dan helaian yang dipersembahkan sehinggalah kepada persembahan itu sendiri. Benarlah sekarang ini trend model hanya memakai baju dan keluar berjalan tanpa perasaan atau koreografi di atas pentas. Tapi kalau sudah ada berpuluh show sehari di atas pentas sama menggunakan model sama dan berpuluh-puluh pula pereka – tidak salah kot kalau setiap satu pereka memberi persembahan yang ‘sesuatu’ dan bukan yang sekadar mengikut template. Yang memberi impak kepada tetamu dan meninggalkan kesan.

Penganjur juga haruslah menggalakkan persembahan yang lain daripada yang lain serta membenarkan idea-idea baru dari segi persembahan di atas pentas. Di sinilah penganjur seharusnya memainkan peranan untuk menjadikan minggu fesyen ini happening dan diperkatakan. Tidaklah sama sahaja malah lebih lesu berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimana Pula Dengan Pereka-pereka Kita?

Biar apa pun yang terjadi di pihak penganjur, saya merasakan pereka-pereka kita yang mengambil bahagian tidak boleh ambil mudah akan peluang yang datang ini. Biar sebesar mana atau sekecil mana sekalipun platform yang disediakan, sekiranya kamu sebagai pereka sudah memutuskan untuk mementaskan koleksi kamu di KLFW, kamu harus memandang serius akan peluang yang ada ini. KLFW seharusnya menjadi lapangan kamu untuk dialiri ilham dan terinspirasi lantas menghasilkan koleksi yang meninggalkan impak. Janganlah hanya menganggap ia sebagai melepaskan batuk di tangga.

Seperti yang saya sebut tadi, satu-satu pertunjukan fesyen itu seharusnya bermula dengan tema atau konsep terlebih dahulu. Apakah yang memberi ilham kepada koleksi kamu itu? Daripada situ, kamu bina koleksi kamu bersama permainan fabrik, perincian, kolaborasi, aksesori, kasut dan styling selain solekan untuk melengkapkan koleksi itu. Seterusnya pemilihan model. Sama ada mahu mengekalkan model lama yang sudah bertapak atau mahu memperkenalkan wajah-wajah baru yang memberi inspirasi kepada kamu. Setiap koleksi yang dipersembahkan wajib ada cerita atau kisah di sebaliknya. Ini yang perlu kamu jual kepada penonton dan tetamu atau buyers yang menghadiri. Agar mereka yakin dan memahami konsep seluruh koleksi kamu.

Dengan jumlah penaja yang disenaraikan dibandingkan dengan usaha dan setup yang minimal, tentu sahaja banyak yang bertanya ke mana perginya wang tajaan yang diperoleh?

Saya menghadiri pertunjukan fesyen untuk dialiri inspirasi, melihat konsep-konsep baru dalam seni rekaan, mengenali model-model baru yang mungkin saya tidak perasan. Dansaya juga mahu mendedahkan diri dengan industri fesyen agar saya lebih peka dan sedar dengan perubahan yang berlaku di dalamnya. Maka inilah yang saya harapkan daripada pereka-pereka tempatan kita. Namun sayang ada sesetengahnya yang sudah mendapat platform dan peluang ini tetapi disia-siakan dengan mempersembahkan koleksi yang blerghhhhhh dan tiada makna. Maka pengalaman menghadiri pertunjukan fesyen itupun akan menjadi tiada makna, membuang masa dan sia-sia.

Apakah dengan cara ini kita dapat mengharapkan industri fesyen negara terus berkembang dan terkenal seantero dunia? Apakah ini dapat tercapai melalui penganjur yang lebih mementingkan keuntungan berbanding matlamat asal dan pereka yang malas serta menghasilkan koleksi sambil lewa? Jangankan 10 tahun, 20 tahun lagi pun percayalah takuk industri fesyen kita akan masih berada di tahap yang sama sahaja.

Jadi seperti tajuk rencana ini, jika kamu bertanya pada saya soalan yang sama – jawapan saya ialah menyemarakkan itu tidaklah tetapi sekurang-kurangnya ada. Mencapai objektif sebuah minggu fesyen, pada saya tersasar jauh daripada matlamat sebenar. Mujur ada beberapa pereka yang masih sedar akan kepentingan dan objektif menjadi seorang pereka dan mementaskan koleksi mereka bukan sekadar hanya untuk melepaskan batuk di tangga. Sekurang-kurangnya tiga yang saya hadiri.

klfw 2019

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE