SEARCH

Mimpi VS Fantasi: Harus Bijak Membezakan Agar Tak Memakan Diri

Mimpi VS Fantasi: Harus Bijak Membezakan Agar Tak Memakan Diri

There are some people who live in a dream world, and there are some who face reality, and then there are those who turn one into the other – Douglas H.Everett

Dan itulah yang bahaya pabila ada sesetengah daripada kita turn one into the other, menjalani kehidupan berupa mimpi kerana pada saat itulah kehidupan kita ini akan menjadi fantasi. Tak salah bermimpi kerana kata orang disebabkan mimpi atau impian lah yang akan memacu kita dalam menjadikannya realiti. Sewaktu saya mengimpikan tertubuhnya STAIL.MY, saya tidak sama sekali terbayangkan bahawa ia akan berada di tahap dan kedudukannya hari ini. Dalam bayangan saya hanyalah visual dan pelbagai kemungkinan yang boleh saya realisasikan melalui portal ini. Saya akui bersama masa dan tuah serta kerja keras, semua mimpi saya itu tadi akhirnya hari ini menjadi realiti.

Tetapi topik saya hari ini bukanlah sangat tentang mimpi yang menjadi realiti. Sebaliknya disebabkan pengalaman, saya bertemu dengan beberapa individu yang saya rasakan dek kerana terlalu mengejar mimpi hinggakan menjadikannya sebagai realiti mereka dan hiduplah mereka dalam dunia fantasi. Kerana mereka ini bukanlah mengejar mimpi mereka itu sampai menjadi realiti tetapi hanyalah berangan-angan hidup dalam mimpi tersebut mencipta belon fantasi mereka sendiri dalam kehidupan sebenar. Dan ini tentunya tak sama dengan sekiranya kamu bekerja keras disertai usaha bagi merealisasikan mimpi kamu itu.

Emma salah seorang teman yang saya rasa hidup dalam dunia fantasinya sendiri. Kawan-kawan Emma semuanya bekerja dalam lapangan glamor dan berkaitan media. Emma juga sama cuma tidaklah secara langsung. Dia mengimpikan kehidupan yang sama dengan beberapa teman-temannya namun kenyataannya Emma tak mampu dan tidak boleh pun menyamakan kehidupannya dengan teman-teman kerana secara semula jadinya memang sikap dan personalitinya tidak membenarkan. Melihat temannya memandu kereta bagus buatan Jerman berbanding dia memandu kereta buatan tempatan, dia mengimpikan berkemampuan membeli kereta Jerman juga. Melihat temannya berkawan-kawan dengan insan-insan glamor dan InstaFamous, dia juga mencuba-cuba membuat kawan dengan kelompok yang sama.

Dalam pada dia cuba menjalani mimpinya itu, secara tak sedar Emma sudahpun menjadikannya belon fantasinya. Bermula dengan berusaha mencari jawatan lain yang dirasakan lebih glamor berbanding jawatannya yang sebelum. Yang menawarkan gaji lebih tinggi agar dapat dia menjalani kehidupan lebih mewah dan glamor. Biarpun jawatan itu sebenarnya bukanlah posisi yang dia biasa dan tahu nature of work nya. Setelah menerima jawatan itu, tuntutan demi tuntutan kerja tak mampu dipenuhinya. Emma menerima tawaran kerja itu memikirkan gaji semata-mata dan perubahan gaya hidup yang bakal dilaluinya dengan gaji barunya itu tanpa memikir panjang apakah dia mampu melaksanakan tanggungjawab di tempat baru?

Apabila keadaan mental tak stabil dan terlalu memikirkan sangat tentang tuntutan kerjaya yang tidak boleh dipenuhi, Emma jatuh sakit. Bukan sakit yang boleh didiagnos tetapi sakit dek tekanan dan mental yang terganggu memikirkan tanggungjawab kerja yang tak boleh dipenuhi. Sakit stres kerana terlalu mahu hidup dalam dunia fantasinya tanpa benar-benar memikirkan cara terbaik dalam melangsungkan kehidupannya. Dia tidak mahu memikirkan cara terbaik untuk memperbaiki kekurangannya dalam melaksanakan kerjanya. Sebaliknya Emma hanya memikirkan mahu menjalani kehidupan fantasinya semata-mata berbanding mengejar mimpi memiliki kehidupan yang dimahukan.

Bagi saya individu sebegini akan selamanya kekal begitu selagi dia tidak mahu memperbaiki dirinya. Selagi dia tidak sedar bahawa caranya itu salah. Sebaliknya jika ditukar cara berfikir Emma itu tadi, mengimpikan kehidupan yang dimahukan kemudian berusaha dalam cara yang sahih untuk mencapai impiannya itu sudah tentu dia tidak akan dilanda masalah-masalah seperti stres kerana terlalu mengejar sesuatu yang tak pasti.

Define success on your own terms, achieve it by your own rules, and build a life you’re proud to live – Anne Sweeney

Banyak individu hari ini yang solah-olahnya tertekan dengan ‘expectation’ orang lain hingga sanggup mengetepikan kebolehan dan kemampuan diri sendiri. Memang salahlah cara ini kerana pertamanya jika kamu hidup atas jangkaan orang lain, selamanyalah kamu akan hidup dalam serba kekurangan. Serba tak cukup kerana selamanya jangkaan orang takkan pernah cukup seperti yang kamu harapkan.

Seperti kata Anne Sweeney juga, mencapai kejayaan juga perlu hanya berasaskan peraturan yang ditetapkan diri sendiri. Sebaliknya banyak orang hari ini suka menurut peraturan orang lain. Kerana itulah ia boleh mendatangkan penyakit yang tak sepatutnya seperti stres. Segala yang diingini tidak lagi mengikut kemampuan sendiri. Dan inilah yang akan mendatangkan pelbagai masalah.

Ada kata yang menyebut, “When you don’t attach you happiness to anyone or anything, you become free.” Ada juga kata lagi yang berbunyi, “You are rich, when you are content and happy with what you have.”

Jadi nasihat saya janganlah terlalu obses mengimpikan kehidupan atau kejayaan yang di luar batas kemampuan diri kamu hingga sanggup merubah mimpi yang seharusnya kamu usahakan dan jayakan sebaliknya mencipta fantasi yang kamu hidupi hingga memakan diri. Ingat mimpi takkan bermakna lagi pabila ia diubah menjadi fantasi yang akhirnya memakan diri.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE