SEARCH

Eksklusif! JW Anderson UNIQLO Membawa STAIL.MY Previu Koleksi Ini Di London

Eksklusif! JW Anderson UNIQLO Membawa STAIL.MY Previu Koleksi Ini Di London

jw anderson uniqlo

Aduh sejak berita kolaborasi antara JW Anderson dan UNIQLO diumumkan kali pertama lewat Mac lalu, peminat fesyen dan pereka ini bagai tak senang duduk dibuatnya. Peminatnya banyak di seluruh dunia. Estetikanya disanjung dan nilai-nilai rekaan yang diketengahkan Anderson bersama jenama lain dan jenama dengan namanya sendiri menjadi kegilaan ramai. Jadi tentulah pabila dunia diberitahu akan perkhabaran kolaborasi ini, semua jadi teruja dan tidak sabar-sabar lagi mahu melihat hasilnya.

Apalagi dunia fesyen hari ini memang terarah kepada jenama asas asal Jepun, UNIQLO. Popularitinya di Malaysia sangat menular kerana helaiannya yang selesa, berkualiti tinggi dan dijual pada harga berpatutan dan mampu milik. Kolaborasi ini dianggap memadu sempurna kehebatan rekaan pereka British tetapi tentunya dipasarkan pada harga yang disenangi.

Pabila UNIQLO mengundang saya untuk previu koleksi ini di London lewat Julai, saya tidak dapat menyembunyikan keterujaan. Menjadi antara media yang pertama di dunia menyentuh dan mengamati koleksi ini. Bertemu pula dengan pereka yang disanjung, Jonathan Anderson serta dapat berbual bersamanya lebih lanjut tentang koleksi ini (nantikan artikel temu bual ini minggu hadapan pada hari pelancarannya di Malaysia 22 September). Menghayati koleksi ini di kota tempat asal Anderson tentunya menambah istimewa.

Muzium Tate Modern menjadi lokasi previu koleksi ini. Media seluruh dunia dikumpulkan dalam acara intimate bagi menyaksikan keindahannya. Sebelum Anderson keluar, saya membaca dulu kenyataan akhbar yang diberi kepada setiap media. Tertulis,  koleksi ini memaparkan nilai klasik British, menggabungkan antara estetika rekaan grafik dan signature berani JW Anderson dengan kecemerlangan fabrik UNIQLO, potongan dan fungsi. Penggayaan British yang tradisional dan moden memberi pilihan sempurna untuk gaya harian.

 

jw anderson uniqlo

jw anderson uniqlo

JONATHAN ANDERSON DIPERKENALKAN

Media yang hadir sudah pun nampak kelibat Anderson di tepi pentas di balik pembahagi ruang besar di aras enam Tate Modern. Dia seperti anak kecil bersembunyi di balik pembahagi. Menyarung kemeja T putih dengan lorekan garisan membentuk rupa manusia daripada koleksi JW Anderson dan UNIQLO. Di bahunya tersangkut sweater, gaya preppy British yang amat biasa kita lihat. Anderson kelihatan malu-malu di atas pentas setelah diperkenalkan Presiden Jenama Kreatif Fast Retailing.

Mendapat tepukan gemuruh media antara kata-kata Anderson yang saya ingat ialah, “Bagi saya, sebab terjadinya kolaborasi ini ialah kerana saya percaya pada demokrasi dalam fesyen. Harapan saya ialah semua aras demografik dan usia dapat membeli sesuatu dalam koleksi ini. Bekerjasama dengan UNIQLO sangat menarik. Ia bermakna kamu menghasilkan helaian yang universal dan quirky.”

Sambungnya lagi, “Persamaan antara UNIQLO dan JW Anderson ialah idea kami dalam melahirkan produk baru. Ini sering mengujakan. Idea mengurangkan sesuatu menjadi minimal sangat rapat dengan budaya Jepun. Dari segi budaya, tekstil atau pun siluet semuanya tentang mengurangkan sesuatu agar dapat rekaan paling memberi impak.” Kata Yuki Tatsuya, Naib Presiden Kanan Fast Retailing dan Ketua Kajian & Rekaan UNIQLO pula ketika ditemui selepas Anderson diperkenalkan, “Kreativiti, tenaga dan sentuhan tradisional JW Anderson kami padukan dengan potongan, fabrik dan fungsi UNIQLO seraya mencipta helaian essential yang sangat menggoda.”

jw anderson uniqlo

jw anderson uniqlo

MELIHAT SENDIRI KOLEKSI JW ANDERSON & UNIQLO

Dinding pembahagi dibuka mempamerkan model-model berdiri di atas platform memakai helaian-helaian daripada koleksi JW Anderson dan UNIQLO. Mata saya menangkap warna-warna terang helaian yang disarung kebanyakan model. Satu look menampilkan model wanita menyarung all red daripada kot hingga ke turtleneck dan skirt nya. Skarf panjang tebal pancawarna menghiasi leher model lelaki yang memakai kemeja T putih yang sama dengan Anderson tadi. Seorang lagi model lelaki menyarung kot rona camel bersama kemeja putih dan jean. Sleek tetapi masih menampil kuat elemen British.

Penggayaan kesemua model yang berdiri di ruang pertunjukan sangat on point. Permainan warna dan corak grafik yang tidak melampau tetapi sangat jelas sifat Britishnya. Corak tartan digunakan pada down jacket dan beg galas juga tote. Helaian-helaian essential UNIQLO seperti quilt jacket dan kot trench. Seorang model wanita memakai jean pinggang tinggi, kemeja jalur biru lembut dan kot trench berlining tartan. Ini look kegemaran saya. Bukan sahaja ia terlihat sangat Anderson, ia juga membawa penggayaan yang sangat NOW.

Penggunaan model aneka bangsa juga menunjukkan betapa Anderson dan UNIQLO mahukan koleksi ini menampilkan kepelbagaian. Rupa model yang pelbagai memaparkan bangsa dunia mungkin juga melambangkan harapan Anderson agar koleksi ini diterima dan dipakai semua bangsa di dunia. Penggayaan pada model juga dengan mudah menunjukkan bahawa helaian-helaian koleksi ini tidak betah dipakai oleh bangsa apa sekalipun. Justeru saya yakin bakal juga menggoda seluruh dunia pabila ia menemui kita 22 September nanti!

jw anderson uniqlo

jw anderson uniqlo

jw anderson uniqlo

 

JW ANDERSON & UNIQLO PILIHAN STAIL.MY SERTA HARGA LENGKAP

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE