SEARCH

New Forms Follow Function: Dari Sudut Pandangan Rebekka Bay

New Forms Follow Function: Dari Sudut Pandangan Rebekka Bay

Ini kali pertama Rebekka Bay bersetuju memberi temubual kepada teman media. Bertuahlah saya kerana menjadi antara yang pertama dapat bertemu dan bersua muka dengan Pengarah Kreatif Global Innovation Center UNIQLO pada lawatan saya ke pameran Lifewear  UNIQLO di Somerset House, London bulan lalu. Rebekka nampak agak tegas di awal pertemuan. Dia memperkenalkan dirinya di atas pentas untuk sesi bual mesra di sidang akhbar pameran The Art of Science & Lifewear: New Forms Follow Function. Mungkin kerana perlu berdepan dengan banyak tetamu dan semua mata pula memandangnya.

Namun pabila kami diperkenalkan di dalam bilik temubual bersama beberapa lagi teman media lain dari beberapa negara berbeza, nyata Rebekka murah senyuman. Dia juga ramah orangnya menjemput kami duduk di hadapannya. Dia memakai sweater dan seluar putih amat kasual membuat kami merasa akrab dengannya. Rebekka berasal dari Denmark dan graduan dari Design School of Kolding pada 1997 bersama Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fesyen. Pada waktu ini, Rebekka tinggal di New York. Dia sebelum ini pernah menjadi Pengarah Kreatif untuk COS di London (2006-2011), Bruuns Bazaar, Copenhagen (2011-2012), GAP, New York (2012-2015) dan terakhir sebelum menyertai UNIQLO ialah Ketua Produk dan Rekaan Everlane, New York (2015-2017).

Berikut ialah temubual bersama Rebekka Bay
Tentang konsep Lifewear di UNIQLO?

Lifewear ialah segala-galanya untuk UNIQLO. Ia adalah konsep kekal untuk jenama ini. Konsep ini bertujuan membuat kehidupan manusia lebih baik. Kami merasakan kami terkedepan dalam membawa perubahan kepada kehidupan manusia.

Tentang simplicity dan functionality?

Beauty is less. Paling penting pada kami ialah menyempurnakan bentuk dan material. Tetapi kami juga tidaklah mahu memaksa estetika kami ke atas pelanggan sebaliknya lebih senang menyerahkan pilihan ini di tangan pelanggan.

Mengapa memilih New Forms Follow Function sebagai tema?

Pabila kami mula mematerikan koleksi ini, fungsi dan mencari penyelesaian baru adalah elemen penting bagi kami. Konsep New Forms Follow Function ini banyak digunakan untuk pembuatan pakaian di awal era 50-an dahulu. Cara baru membuat pakaian membolehkan bentuk-bentuk baru tercipta. Material baru mencipta bentuk yang baru juga. Di UNIQLO, kami bukan sahaja mahu mencipta pembaharuan tetapi juga mencipta fungsi baru.

Pandangan kamu tentang kategori functional dalam industry fesyen masa kini?

Akan selalu ada ruang untuk produk functional. Kita akan sentiasa mencari cara untuk mencipta fungsi yang benar-benar berfungsi. Saya sendiri sangat suka dengan idea ini. Ia relevan dengan dunia kini.

Bilakah dan apakah UNIQLO akan mencipta sneakers memandangkan inovasi adalah teras kepada jenama UNIQLO?

Kami masih belum mendapatkan resipi yang sempurna lagi.

Apakah pasaran functionality ini semakin penting hari ini?

Kami sangat teruja dengan idea bahawa makna premium dalam industri fesyen sudah berubah. UNIQLO memiliki makmal penyelidikan terbaik. Saya ingin membawa lebih banyak faktor premium ini ke dalam pasaran. Premium tapi menggunakan material functional. Bagi saya ini ialah the new luxury. Dan menjadi satu kelebihan kan untuk tidak menghabiskan terlalu banyak masa memikirkan cara untuk memakai baju.

Bagaimana pula dengan koleksi-koleksi kolaborasi UNIQLO?

Kolaborasi membenarkan kami memiliki naratif lebih romantik kepada produk-produk kami. Ia juga memberi kami peluang memahami minat konsumer.

Apakah kamu merasa kamu bersama dengan jenama yang tepat pada masa yang tepat juga? Kerana falsafah UNIQLO sangat selaras dengan perubahan dunia hari ini?

Ya, kerana ia sentiasa berinovasi. Menggabungkan antara kemahiran dan fungsi. Tentunya I’m at the right place at the right time.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE