SEARCH

Selamat Hari Raya Malaysia Yang Baharu

Selamat Hari Raya Malaysia Yang Baharu
Kemeja & skirt: Ezzati Amira

Tanggal 10 Mei 2018. Seluruh rakyat Malaysia bangun pagi dengan perasaan yang sungguh ringan. Seperti selalu, saya bangun dan terus mencapai telefon bimbit – skrol Instagram dan FB serta melihat mesej Whatsapp. Pagi itu beratus-ratus mesej Whatsapp ada dalam notifikasi telefon saya. Membaca satu persatu, awan kelabu yang menutupi seluruh langit saya rasakan berarak sedikit demi sedikit. Menampakkan langit serba biru lagi cerah berhias tompok-tompok awan putih berkepuk-kepuk.

Walaupun saya tidak lahir waktu merdeka, tapi perasaan pagi 10 Mei itu sepertikan Malaysia baru merdeka. Seluruh negara bagaikan baru terlepas daripada sumpahan sekian lama yang membuatkan bumi ini tidak subur, berselimut aura negatif, kelam dan tiada harapan. Enam puluh tahun lamanya Barisan Nasional (BN) mentadbir negara. Bukan tak pernah ia memajukan negara. Cuma lewat 10 tahun ini di bawah pemerintahan Najib Tun Razak yang tamak haloba bahana telunjuk isteri, Malaysia seolah berada di bawah pemerintahan kuku besi tanpa kita sedari.

Sudah terlalu lama kita disogok dengan ideologi-ideologi palsu. Terlalu banyak juga konspirasi dan skandal yang berlaku tetapi disembunyi secara tidak berapa teliti.

Ini juga bukti dunia digital menguasai. Kerana biar apa pun cerita dongeng yang dipersembahkan selama 10 tahun ini, kita rakyat Malaysia pasti mengetahui cerita sebenarnya. Terima kasih kepada ‘kuasa’ digital yang membuatkan semuanya tersedia di hujung jari.

Saya bangga melihat sendiri begitu banyak anak-anak muda yang keluar mengundi tahun ini berbanding pilihanraya terdahulu. Milenial. Generasi yang percaya bahawa ‘kuasa’ ada di tangan mereka. Kuasa demokrasi dan kuasa memilih pentadbiran negara. Kuasa membeli dan menentukan hala tuju pasaran dunia juga mereka yang memegangnya. Jadi pada mereka juga saya berterima kasih kerana akhirnya dapat juga kita peluang merasai pentadbiran baru di bawah Pakatan Harapan (PH).

Seperti bual pemandu Grab saya tempoh hari, “Tak apalah. Kita mesti bagi peluang juga pada orang lain memerintah. Kita mesti kasi tengok kalau mereka boleh tolong memulihkan Malaysia. Kasi currency kita naik bagus sikit. Kasi orang luar pandang Malaysia tinggi sikit.” Ya saya setuju dengan kata-katanya itu. Bukan apa, kalau pentadbiran yang kita percayai sudah 20 tahun lamanya tidak mampu lagi memberi kepuasan dan keputusan seperti yang kita idamkan, mengapa tidak kita cuba beri peluang kepada pentadibiran baru bukan? Ini baru demokrasi yang sejati.

Kepulangan Tun M Yang Dinanti

Saya ingat lagi tahun lalu perbualan saya dengan ibu teman saya. Dia bersungguh-sungguh meminta saya dan teman untuk berjuang merubah nasib negara. “You all lah orang-orang muda patut fight for our country,” katanya berkobar-kobar. Jawab saya padanya, “Aunty, kita ni perlukan seseorang. Satu individu. Seorang personaliti dan ketua kalau kita nak merubah nasib kita. Bukan dengan mudah dan senang-senang sesiapapun boleh melakukannya,” dia terdiam seketika. Ya, untuk membawa pembaharuan mana-mana negara pun dalam sejarah sudah membuktikan setiap satu memerlukan satu sosok yang boleh memimpin seluruh rakyat agar memilih pentadbiran yang betul. Pak Sukarno, Tunku Abdul Rahman, Martin Luther King, Margaret Thatcher, Barack Obama misalnya. Mereka ini individu yang punya karisma, dipercayai dan jujur dalam tanggungjawab yang diberi.

Kita bernasib baik kerana Tun Dr Mahathir Mohamed (Tun M) yang pada usianya 93 tahun, masih mampu mengepalai dan membawa arus perubahan pada negara. Pada dia juga saya berterima kasih. Kerana tenaganya, keupayaannya, kebijaksanaannya dan ketenangannya – kita mampu merasai angin baru. Biarpun saya tahu, dalam hati dan jiwanya dia sudah penat dan ada ketikanya tak larat – tetapi azamnya kental mahu membantu Malaysia.

Walau terpaksa menunggu lama untuk Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan keputusan dan terpaksa menunggu lagi hari berikutnya sampai 9.30 malam untuk upacara angkat sumpah – Tun M tegar dan menggagahkan juga diri melalui demi membela nasib pertiwi. Saya tabik Tun M dan selamanya saya terhutang dan berterima kasih padanya.

Dia bagi saya sosok yang memberi harapan, wajar dijadikan teladan.

Andai kata bila-bila masa kamu rasa penat dan malas malah untuk bangkit di pagi hari bekerja ingatilah sosok Tun M yang pada usia 93 masih mampu berkhidmat lagi, berbasikal seawal jam 7 pagi dan menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Insya Allah kamu akan berasa malu dengan diri sendiri dan akan sedayanya cuba bangkit dan mendepani hari. Tidak ada apalah pun sebenarnya yang berat sangat pada pekerjaan yang kamu kerjakan hari-hari jika mahu dibandingkan dengan apa yang Tun M harus tempuhi.

Setakat ini pun sudah banyak perubahan yang dilaksanakan Tun M. GST diturunkan ke kadar sifar peratus, beberapa tol dimansuhkan dan Menteri Komunikasi sedang dalam perbincangan menaikkan kelajuan jalur lebar pada kadar harga lebih berpatutan. Tabung Harapan yang diinisiatifkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk meminta sumbangan rakyat melangsaikan hutang negara berjaya mencecah jumlah RM30 bilion setakat lima hari dilancarkan (22 jam lalu seperti yang saya baca di internet).

Ini bukti bahawa negara yang sepakat akan mampu mengatasi apa jua masalah dalam apa cara sekalipun. Rakyat yang seia sekata akan sanggup berkorban dan membantu negaranya biar dalam apa jua situasinya. Tak sampai dua bulan pun, pentadbiran baru Malaysia sudah pun membuktikannya.

Selamat Hari Raya Malaysia Yang Baharu

Tanggal 17 Jun nanti kita bakal menyambut Aidilfitri. Mungkin Aidilfitri ini akan lebih bermakna bagi kita. Ini kali pertama kita merayakan sebagai Malaysia yang baharu. Saya teruja tentunya. Bagaimana persiapan kamu tahun ini? Saya bangga melihat banyak sekali jenama tempatan yang bersaing-saing menjual baju raya, produk kecantikan dan pelbagai lagi persiapan Aidilfitri yang lain. Itu tandanya orang kita semakin bersemangat berniaga dan berusaha bersungguh-sungguh dalam membangunkan jenama tempatan.

Ardi ada menulis tentang idea-idea look Aidilfitri yang boleh kamu cuba. Padankan antara low and high untuk stail Raya kamu tahun ini atau kamu juga boleh mendapat inspirasi daripada look-look jenama antarabangsa untuk dicuba. Pada saat saya menulis ini, kiriman Whatsapp daripada Dahlia (pengasas So.lek dan Mek by So.lek) masuk ke telefon mengkhabarkan stok-stoknya di Pasar Seloka Raya, Publika dicuri orang.

“Aduh bertabahlah D,” balas saya. “Inilah ujian di bulan Ramadan. Tak mengapa… jika kamu bersabar pasti madu hasilnya nanti akan berasa lebih manis berbanding biasa.” Ya saya juga bangga dengan teman saya yang satu ini. Dia bekerja amat kuat untuk So.lek. Dan produknya terbukti amat bagus seperti testimonial pelanggan-pelanggannya yang berpuas hati. Semoga ujian kecil ini akan lebih membuka lebih luas pintu rezeki.

Melalui ruang ini, saya mewakili STAIL.MY menghulur salam maaf zahir dan batin sekiranya ada silap dan khilaf dalam kami menulis dan perhubungan kami bersama kamu selama ini. Semoga hubungan silaturrahim kita yang terjalin ini akan kekal selamanya hingga Aidilfitri tahun hadapan dan tahun seterusnya serta tahun seterusnya lagi sampai bila-bila. Selama Hari Raya.

selamat hari raya malaysia yang baharu

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE