SEARCH

Sosialit Gilakan Suami Teman Baik Sendiri

Sosialit Gilakan Suami Teman Baik Sendiri

Gambar : Pinterest

Rohana tiba di pusat kecantikan tempat biasa dia menjalani rawatan wajah sekitar jam lima petang. Seperti biasa dia terus ke kaunter pendaftaran dan memberikan butiran temu janji. “Anaaaaa!…” jerit satu suara. Rohana segera berpaling. “Ohh Nani, aku ingatkan siapalah tadi.” “Hei kau ni macam tak excited je jumpa aku,” rajuk Datin Suryani, macam budak-budak sahaja ragamnya. “Aku baru sahaja jumpa kau tiga hari lepas Nani oi! Apa yang nak di excited kan lagi?” Rohana memukul manja lengan Datin Rohani. Kedua-dua mereka ketawa girang lalu beriringan duduk di sofa tempat menunggu sementara tiba giliran masing-masing.

“Mahu bercantik-cantik buat facial ni kau nak ke mana Ana? Ke wedding anak Tengku Norliza ya?” Soal Datin Suryani. “Tak ada ke manalah, memang sebulan-sekali aku ke sini. Tapi anak Tengku Norliza yang mana lagi nak berkahwin Nani?” Rohana kebingungan. Setahu dia anak Tengku Norliza cuma tiga orang, semuanya sudah berkahwin. Yang terakhir sekali Asif anak bongsunya mendirikan rumah tangga dua tahun lalu. Rohana masih ingat kerana dia sendiri berpeluang hadir ke majlis resepsi Asif yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang di Pullman Hotel Putrajaya. Dia juga ingat isteri Asif, Dian. Orangnya manis bertudung litup. Cantik dan sangat sopan santun. Beruntung Asif dapat isteri sebegitu rupa, sejuk mata memandang.

Dian datangnya bukanlah daripada golongan atasan seperti Asif, dia cuma gadis biasa yang bertuah dipilih menjadi suri hati anak hartawan. Secara tidak langsung, dapatlah dia merasa segala kemewahan yang dimiliki Asif. Tapi dengar-dengarnya, Tengku Norliza tidak begitu berkenan dengan Dian kerana tidak sedarjat katanya, bukan keturunan diRaja dan bukan juga anak orang berpangkat. Tapi Rohana kira itu sekadar khabar angin sahajalah, selepas itu tak ada lagi berita mengenai Asif dan Dian yang dia dengar entah-entah sudah beranak-pinak sekarang ini.

“Ala anak bongsunya itu, si Asif kan nak berkahwin hujung minggu ini. Eh kenapa kau tak dijemput ke?” Datin Suryani bertanya dalam nada seakan terkejut, Tapi sekarang ini hal dijemput atau tidak sudah tidak penting lagi pada Rohana, yang dia nak tahu kenapa pula Asif nak berkahwin lagi? Sudah berceraikah dia dengan Dian? “Asif kan dah kahwin dua tahun lepas, aku ingat lagi nama isterinya Dian. Kau pun ada datang sekali kan ke majlis itu?” Soal Rohana. “Dah cerai……” “Haaa? Bila pula bercerai? Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba sahaja bercerai. Si Asif ada perempuan lain ke?” Rohana membuat andaian sendiri. 

“Kalau tak silap aku awal tahun ini mereka bercerai, alasan Asif sudah tak ada kesefahaman lagi. Tapi aku dengar dari teman-teman kita jugalah, Tengku Norliza yang tak berkenan sangat dengan Dian. Entah apa yang dia malukan sangat dengan Dian tu aku pun tak pasti, aku tengok elok je cara budak tu membawa diri” Jawab Datin Suryani. Belum sempat Rohana hendak bertanya dengan lebih lanjut, sudah tiba pula gilirannya untuk memulakan facial. Jadi dia berjanji untuk bertemu Datin Suryani semula dalam masa 45 minit lagi setelah mereka berdua selesai menjalani rawatan kecantikan. Mereka berjanji untuk bertemu di salah satu kafe yang terletak sebaris dengan pusat kecantikan tersebut. 

Fikiran Rohana dihantui dengan seribu satu pertanyaan. Bercerai kerana ibunya tak sukakah? Atau Asif ada perempuan lain? Apakah Dian yang sebenarnya tidak sebaik yang disangka? Naik pening kepala Rohana memikirkannya. Bukan apa, orang zaman sekarang ini macam-macam ragamnya. Kadang-kadang dari segi penampilan memang nampak seperti pijak semut pun tak mati tapi hakikatnya cuma bersandiwara. 

“Lama-kelamaan Tengku Norliza suka pula dekat Khalina, dia berkenan sangat nak buat menantu. Jadi dia pujuk Asif supaya terima Khalina sebagai isteri kedua. Asif pada mulanya beriya sangat tak nak, katanya sayangkan Dian”

Sebaik sahaja selesai dengan rawatan wajahnya, Rohana lekas-lekas membayar di kaunter sebelum bergerak ke kafe tempat dia berjanji mahu bertemu Datin Suryani. Perlahan-lahan Rohana menolak daun pintu kafe itu, matanya melilau ke seluruh pelosok kafe namun kelibat Datin Suryani tidak kelihatan. Barangkali dia masih belum selesai dengan rawatan wajahnya. Rohana memesan dua cawan teh panas dan dua set scones yang dihidang bersama jam untuk dibuat kudapan mereka ketika berbual nanti.

Lebih kurang 10 minit menunggu, Datin Suryani pun tiba. “Jadi mereka bercerai semata-mata sebab Tengku Norliza bencikan Dian? Ada sebab lain tak? Tak akanlah sampai hati Tengku Norliza lihat anaknya bercerai-berai?” Belum sempat punggung Datin Suryani mencecah kerusi, Rohana sudah terus menyerbunya dengan persoalan demi persoalan. “Dari apa yang I dengar, Tengku Norliza setuju Asif berkahwin dengan Dian pada awalnya sebab terpaksa sahaja. Sejak Asif berkahwin mereka tinggal serumah dengan Tengku Norliza. Lepas tu…Here’s the interesting part…” Sengaja Datin Suryani membiarkan ayatnya tergantung, dia tersenyum menyakat. “Apa dia? kau ini… Cepatlah!” ujar Rohana dalam nada geram.

“Jika Asif ada urusan kerja ke luar negara tanpa membawa Dian, Tengku Norliza akan senyap-senyap hantarkan Khalina ke negara yang sama juga, kononnya seperti terserempak di sana. Bila dah berduaan lagi senanglah perempuan gatal tu nak masuk jarum.”

Cerita Datin Suryani, Dian ada seorang teman baik. Namanya Khalina, jika nak dibandingkan Khalina dengan Dian memang macam langit dan bumi. Khalina seorang sosialit terkemuka. Namanya dikenali ramai dalam kalangan golongan atasan. Dia yang juga mempunyai kerjaya sebagai model sambilan sering berkunjung ke rumah Tengku Norliza dengan alasan mahu berjumpa Dian untuk berborak-borak. Dian pula memang naif dalam berkawan, dia tak sedar yang Khalina sebenarnya sedang cuba mengambil hati Tengku Norliza dan memikat Asif dalam masa yang sama. Fikir Khalina dia lebih layak duduk di rumah itu dan mendampingi Asif berbanding Dian.

“Lama-kelamaan Tengku Norliza suka pula dekat Khalina. Dia berkenan sangat nak buat menantu. Jadi dia pujuk Asif supaya terima Khalina sebagai isteri kedua. Asif pada mulanya beriya sangat tak nak, katanya sayangkan Dian. Tapi you know lah Tengku Norliza kan mana tahu mengalah jadi macam-macam strategi dia pasang untuk satukan Khalina dengan Asif,” Datin Suryani mencapai cawan teh lalu disua ke mulut, terasa haus pula tekak bercerita panjang.

Kemudian Datin Suryani pun menyambung lagi, “Dia ajar Khalina macam-macam cara untuk ambik hati Asif. Jika Asif ada urusan kerja ke luar negara tanpa membawa Dian, Tengku Norliza akan senyap-senyap hantarkan Khalina ke negara yang sama juga, kononnya seperti terserempak di sana. Bila dah berduaan lagi senanglah perempuan gatal tu nak masuk jarum. Lama-kelamaan Asif pun mula termakan umpan, sayangnya beralih arah kepada Khalina pula.”

Rohana yang mendengarnya jadi beremosi “Dian tu bodoh sangat ke sampai tak perasan apa yang terjadi? Sehingga lakinya sudah mahu dikebas teman baik sendiri pun masih tak tahu lagi?” Ujar Rohana penuh marah. Datin Suryani menjawab, “Itulah yang aku geram, Dian tu budaknya lurus sangat. Langsung tak ada syak yang bukan-bukan bila Khalina mula rapat dengan Asif. Dia kata dia seronok tengok Asif boleh get along dengan bestfriend nya.” 

“Tapi mujur jugalah Dian mahu bercerai ya? Tak adalah dia makan hati terpaksa berkongsi kasih dengan perempuan miang yang gilakan lakinya itu.” Kata-kata Rohana disambut dengan anggukan dari Datin Suryani. “Iyalah, kalau aku jadi dia pun memang aku minta cerai juga. Baiklah dia mulakan hidup baru sahaja, lagi pula dia masih muda dan cantik. Pasti mudah untuk dia mencari pengganti Asif.” Tak lama selepas itu, Datin Suryani pun meminta diri untuk beredar. Katanya sudah berjanji mahu makan malam bersama anak-anak takut terlambat pula nanti.

Rohana pula tidak segera pulang, dia teruskan duduk dan menikmati teh panas serta scones nya sambil mengenangkan nasib malang yang menimpa Dian. Sekarang sudah puas lah agaknya hati si Tengku Norliza itu melihatkan rumah tangga anak sendiri hancur berantakan. Puaslah hatinya bila dapat bermenantukan sosialit yang konon tergolong dalam golongan atasan. Pada Rohana tak ada gunanya menjadi sebahagian daripada golongan atasan kalau akal dan fikiran dikuasai sifat iri hati dan dengki seperti Khalina yang dalam diam cemburukan Dian sehingga sanggup mengkhianati rakan sendiri. Rohana berharap Dian akan lebih arif dalam memilih teman selepas ini. Semoga sahaja Dian tidak terlalu naif dan mudah percayakan orang bulat-bulat. Tak ada apa yang boleh Rohana lakukan untuk membantu Dian, dia hanya mampu doakan agar Dian bertemu dengan jodoh yang lebih baik di kemudian hari.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE