SEARCH

Kenali Bentuk Tubuh dan Personaliti Diri Untuk Membina Stail Peribadi

Kenali Bentuk Tubuh dan Personaliti Diri Untuk Membina Stail Peribadi

Terlalu-lalu banyak trend dan stail yang dipersembahkan untuk musim luruh ini. Lalu tanya kamu, yang mana satu patut saya cuba dan terapkan dalam stail peribadi? Nah itu salah bagi saya. Kerana pada saatnya kamu bertanya soalan begitu kepada diri atau sesiapa pun, bermakna kamu tidak kenal dan arif tentang diri sendiri. Kamu tidak tahu bentuk tubuh kamu dan apa yang sesuai digayakannya. Kamu juga tidak tahu personaliti diri lalu menerapkan hanya yang sesuai dengan aktiviti dan kerjaya serta gaya hidup kamu.

Memang dunia fesyen global saban musim amat galak mengetengahkan pelbagai idea dan trend yang boleh kamu cuba. Ini strategi pemasaran mereka. Sama ada mereka menurut permintaan atau pun mencipta permintaan itu, ini bukan masalah kita sebagai konsumer. Sebagai konsumer, kita seharusnya sama bijak dengan rumah-rumah fesyen ini dan tidak hanya menurut dan membeli semua yang mereka persembahkan. Sebaliknya seelok-eloknya kita tapis dan pastikan dulu yang mana betul-betul akan kita pakai dan berbaloi untuk dibeli, barulah kita memutuskan untuk membeli.

Saya terutamanya tertarik dengan beberapa trend di pentas musim luruh 2018. Dari minggu fesyen Milan misalnya – warna-warna terang dan skarf kepala di pentas Versace amat menarik untuk memberi kelainan pada wanita masakini. Beg-beg besar yang membebankan model di pentas peragaan juga saya minat – tapi setelah mencuba beberapa sepanjang kerjaya, mungkin tidak berapa sesuai lagi dengan personaliti saya. Gaya Medieval bertutup litup di pentas Gucci juga terbayangkan menarik untuk dicuba tetapi kurang sesuai pula saya rasa untuk cuaca panas di Malaysia. Gaya workwear wanita di Prada juga sangat ingin saya cuba.

Di Paris pula saya spot beberapa trend yang menarik seperti feminism bersama skirt-skirt berfabrik lembut dan flowy di pentas Dior. Saya juga suka dengan tali pinggang signature yang dipakaikan pada semua modelnya.

Chic tailoring di pentas Balenciaga tentunya sesuatu yang memang menjadi jati diri saya. New York pula membentangkan koleksi-koleksi yang lebih kreatif dan menjadi rujukan pereka-pereka dunia. Kota ini sepertinya menjurus ke arah cara pereka-pereka London. The Row mempersembahkan rekaan-rekaan Monastic umpama mengambil tema pameran The Met. Tentunya saya juga suka dengan koleksi Marc Jacobs yang menampilkan kot-kot berbahu besar, topi lebar dan helaian-helaian oversize yang sungguh menggoda.

Ya, ini saya bercakap dari segi trend dan stail yang saya suka. Tetapi sebenarnya dunia fesyen lebih daripada ini sahaja. Terutama sekali kalau berkenaan stail. Seperti yang saya sebut di awal tadilah, stail ialah tentang mengenali bentuk tubuh dan personaliti diri. Kamu tidak boleh sebarang-sebarang mencedok mana-mana trend yang tak kena dengan diri hanya kerana ia diperkatakan umum. Fesyen tidak wujud dalam vakum. Ia adalah refleksi kepada keadaan dunia hari ini. Koleksi musim luruh direka sewaktu pergerakan #MeToo sedang rancak berlangsung. Wanita mahu menunjukkan yang mereka juga ada hak, harus dihormati dan wajar diletakkan di tempat yang selayaknya.

Kerana itu rekaan-rekaan musim luruh banyak terdorong ke arah women empowerment. Pad bahu besar, oversize, berkuasa dan meraikan tubuh wanita. Mesej yang ingin disampaikan ialah wanita tidak gentar dalam mendepani dunia hari ini. Wanita tidak harus malu dalam memakai apa pun yang mereka mahu dan apa yang mereka rasa sesuai dengan diri mereka. Satu lagi mesej yang ingin dilaungkan kuat di pentas musim luruh ialah diversiti di mana tidak lagi hanya model berkulit putih sahaja yang mendominasi. Pereka-pereka muda kebanyakannya tidak lagi hanya menggunakan model yang nampak seperti klon sebaliknya lebih senang menggunakan cast yang lebih pelbagai dan lebih real. Bukan sahaja untuk menunjukkan bahawa helaian-helaian mereka boleh dipakai oleh pelbagai wanita tetapi juga sebagai sokongan kepada perubahan yang berlaku dalam dunia hari ini. Bersama mesej penerimaan terhadap semua saiz dan warna kulit.

Begitulah seharusnya stail kamu. Ia tidak harus berkenaa dengan trend dan what’s hot semata-mata kerana dengan berpandukan ini, percayalah kamu tidak akan memiliki stail sampai bila-bila pun.

Stail harus ada sebab dan mesej di sebaliknya. Barulah ia akan berkekalan dan menjadi signature kamu hingga dikenali, diterima dan dihormati. Samalah dengan apa-apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan ini. Semuanya harus berpandukan sebab dan niat di sebaliknya. Waima membuang sampah, keluar melepak dengan teman-teman, dalam bekerja ataupun dalam bercuti sekalipun.

Percayalah sekiranya tiada niat atau sebab khusus di sebalik setiap pekerjaan itu (seperti yang telah saya alami selama ini), pasti kamu akan merasa berat dan penat selepas setiap kali melakukannya. Pernah kah kamu bersetuju menghadiri sesuatu majlis dan kemudian kamu merasa tersangat-sangat penat pabila pulang dari majlis tersebut? Saya sering merasa sebegitu. Setelah lama baru saya sedar bahawa saya letih kerana terpaksa berdepan dengan insan-insan palsu dan melayan small talks. Biarpun niat saya menghadiri kerana menyokong teman klien dan menyaksikan pelancaran produk baru, tetapi akhirnya tidak berbaloi kerana perlu melalui persekitaran yang saya tidak rela.

Atau pernah kah kamu melepak bersama teman-teman yang kamu suka dan selesa, ditambah pula ada salah seorang daripada mereka that you’re really fond of, masa pun berlalu seakan tak terasa. Kamu pun tidak kisah mahu duduk berlama-lama malah tidak sedetik pun kamu berasa penat dan tidak sabar pula mahu melakukannya lagi saat harus berpisah. Ya, begitulah berbezanya keadaan pabila ia disertai dengan sebab dan niat yang munasabah berbanding melakukan sesuatu tanpa rela.

Jadi berbalik kepada topik saya hari ini, saya sarankan kamu fikirlah atau carilah dulu sedalam-dalamnya sebab atau niat dan mesej di sebalik stail yang kamu pilih itu.

Atau kenali lah betul-betul diri kamu sendiri dan bentuk tubuh kamu supaya kamu tahu stail apa yang paling sesuai untuk menyerlahkan penampilan diri. Kemudian baru kamu sesuaikan dengan trend semasa dunia fesyen – yang mana satu menepati kesemua kriteria kamu ini. Hanya dengan cara ini, Anna Wintour terkenal amat signature dengan stail shift dress dan kaca mata hitamnya, Anna Dello Russo terkenal dengan gaya quirky serta beraninya bersama headpiece nya, Victoria Beckham pula dengan stail minimal dan chic nya, Diana Princess of Wales sampai hari ini dikenang sebagai ikon stail baik dalam gaya streetwear, skirtsuit nya mahupun yang serba elegan dan glamor kala menghadiri majlis-majlis rasmi negara.stail peribadi

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE