SEARCH

Selamat Tinggal 2016 & Senyumlah 2017

Selamat Tinggal 2016 & Senyumlah 2017

Demikian kita mendengar orang berkata bahawa 2016 tahun yang sukar buat mereka. Serba tak kena, tahun 2016 mendapat gelaran tahun terburuk dalam sejarah manusia. Bagi saya, adalah tidak adil jika membilang tahun 2016 ini sebegitu rupa. Sedarlah kita, ada sahaja kebaikan yang terjadi sepanjang tahun 2016 itu berlaku.

Misalnya, penemuan genetik NEK1, iaitu genetik negatif yang bertanggungjawab dalam menyumbang kepada penyakit A.L.S (sejenis penyakit yang menyebabkan hilang upaya mengawal otot). Penemuan bersejarah ini berkat kutipan derma melalui kempen kesedaran yang bernama “Ice Bucket Challenge” yang dijalankan sejak 2014.

“Cabaran Baldi Ais” itu disertai oleh selebriti-selebriti ternama dunia seperti Christiano Ronaldo, David Beckam, Bill Gates, Oprah, Beyoncé Knowles dan ramai lagi personaliti serta berjaya mengumpul dana derma sebesar USD$ 115 juta untuk tujuan kajian saintifik yang membawa kepada penemuan genetik NEK1 yang jahat itu tadi.

2016 juga merupakan tahun bersejarah negara kita merangkul 3 emas dari 3 Wira Emas Paralimpik Negara dan tidak lupa juga kisah-kisah inspirasi yang terjadi sepanjang Olimpik Rio 2016 berlangsung.

Sementelah mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini. Tak mengapa, masing-masing punya pandangan sendiri. Bagi saya, semua tahun sama sahaja. Apa yang membezakan tahun-tahun tersebut mungkin cara pembawaan diri kamu dan sudut pandangan kamu (positif/negatif) melihat dunia. Namun tidaklah pula saya berniat untuk menuduh-nuduh semua.

Baiklah, salah satu langkah yang boleh kamu lakukan untuk menemukan potensi terbaik dalam melihat kehidupan adalah mengawasi sikap (attitude) dan kelakuan (behavior) kamu serta peduli kesannya terhadap perhubungan rohani, prestasi kerjaya dan hubungan sesama manusia sekitar kamu.

Cuba tanya diri kamu sendiri, pernah atau tidak kamu mencerminkan diri? Melihat secara mendalam dan memperhati sendiri kelakuan kamu dalam sehari-hari? Bukan mencari salah, tetapi mencari refleksi. Mungkin soalan saya ini membingungkan. Untuk apa ya membias kelakuannya sendiri?

Nah, jawapannya supaya kamu menyedari tingkah laku kamu itu apakah benar atau tidak. Apakah salah atau tidak. Sikap adalah segalanya. Sikap memainkan peranan bagaimana kamu melihat dunia. Sama ada negatif atau positif. Semua terserah kamu sendiri sebagai pemain di pentas dunia nyata yang fana ini.

bestof20162_stailmy

Kalakian kita semua punya pilihan. Pilihan semacam monolog dalaman. Sebenarnya kita berkuasa dalam menentukan hala tuju diri. Kita boleh memilih, sama ada untuk memotivasikan diri atau mempersalahkan diri. Mengaku juara atau memutus untuk menjadi sang pecundang. Ini kuasa adiwira kita yang terkala kita sendiri tidak sedari kita miliki.

Meski itu, setiap dari kita pasti tidak terlepas dari menjalani detik-detik sukar kehidupan. Merasa sedih, emosi terganggu, semua itu mainan perasaan. Usah galau, semua ini normal dijalani setiap insani yang bernafas. Kuncinya adalah untuk kamu menyedari apa yang terjadi dan tahu caranya menangani. Itu yang lebih penting.

Sebenarnya kamu lebih hebat berbanding komputer. Kamu boleh memilih secara bebas perisian (minda) jenis apa yang kamu mahu memuat-naik ke dalamnya (otak). Sama ada perisian yang asertif (positif)? Atau yang submisif (negatif)? Perisian-perisian inilah penentu sikap dan kelakuan kamu seterusnya. Lalu, komputer itu juga bikinannya manusia. Bukan?

Arakian, ramai daripada kalangan kita hari ini berdiri sebagai produk akhir akal pemikiran. Informasi-informasi yang dicerna otak sepanjang kita membesar boleh jadi kejam dan tidak lah seratus peratus tepat kebenarannya. Realitinya, kehidupan itu bercampur-baur antara sudut positif dan negatif. Untungnya manusia mempunyai akal fikiran bagi memilih yang mana baik, yang mana buruk, yang mana benar, yang mana salah dan tidak perlu merencana kesemuanya masuk ke dalam otak.

Selain otak dan akal fikiran, kata hati pula suara yang terkuat dan paling berpengaruh dalam membentuk salasilah sesebuah pandangan. Ia boleh jadi kawan, boleh juga jadi lawan. Bergantung pada mesej (yang diterima dari otak), ia boleh terdengar optimis (cenderung positif) mahupun pesimis (cenderung berpandangan negatif). Kata hati boleh membawa kamu naik ke awan biru, atau langsung membenam kamu jatuh ke tanah. Maka, latih minda mengawal kata hati kerana kedua-duanya saling berpautan.

Sudahnya, sikap dan kelakuan buruk yang lazim adalah hasil gabungan antara pengalaman hidup dengan peristiwa kehidupan yang terjadi di masa lalu. Penyebab utama termasuk stres dan anxiety, marah dan benci, dendam dan kesumat. Sifat-sifat negatif itu ikut bergantung dalam otak kita semua. Seperti parasit, ia boleh memakan kamu.

Pada akhirnya, ia mengambil masa dan kerja keras untuk kamu mencantas semua akar-akar kebencian ini. Kerana ganjarannya sangat lumayan. Ganjaran yang berdaya seumur hidup. Ganjaran untuk diri kamu jadi lebih gembira dan mental kamu menjalani hidup yang lebih bahagia.

Sempena Tahun Baru 2017 ini, pandanglah sesuatu dengan pandangan positif. Minda kamu, harta kamu.

SELAMAT TINGGAL 2016 DAN SENYUMLAH 2017.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE