SEARCH

Datuk Seri Pecah Amanah Sehingga Jutaan Ringgit

Datuk Seri Pecah Amanah Sehingga Jutaan Ringgit

Datin Maimun baru sahaja hendak menyua segelas jus oren ke mulutnya, sebelum suara nyaring Rozana mengejutkan paginya yang aman itu. “Munnnn!” Teriak Rozana panjang. Hampir sahaja mahu tercampak gelas di tangan Datin Maimun ketika itu, mujur dia sempat mengawal diri. “Apa sahajalah kau ni Ana? Terjerit-jerit seperti perempuan gila pagi-pagi buta di rumah orang…” Datin Maimun menyambut kedatangan Rozana dengan jelingan tajam. “Laki kau mana? Kenapa sunyi sahaja rumah kau hari ini?” Rozana memanjangkan kepalanya, meninjau ke sekitar rumah Datin Maimun sebelum duduk di meja makan. “Waktu begini semua sudah ke pejabatlah Ana…”

Rozana mengangguk faham “Semalam Su…” kata-kata Rozana tergantung di tengah jalan bila terlihatkan bibik masuk ke dapur. “Bibik, buatkan saya air boleh?” Minta teman sekelompok Datin Maimun itu tanpa segan-silu. Rozana isteri kepada salah seorang ahli politik tempatan. Suaminya bersahabat baik dengan suami Datin Maimun. Sekali-sekala mereka berempat akan meluangkan masa untuk keluar makan malam bersama membincangkan hal-hal politik atau perniagaan mereka masing-masing. Sementara Datin Maimun dan Rozana hanya menjadi pendengar setia cerita suami-suami mereka, sekali-sakala mereka mencelah kalau ada yang menarik. Tapi selalunya mereka berdua akan menghabiskan masa dengan bercerita perihal rakan-rakan sekelompok mereka sahaja, tanpa mempedulikan kisah politik mahupun perniagaan suami masing-masing.

“Haa apa ceritanya?” Tahu sangatlah Datin Maimun akan niat kedatangan Rozana ke rumahnya, kalau tidak mahu mengadu hal suaminya yang banyak kerenah pasti adalah kisah-kisah panas kenalan mereka yang hendak dibahaskan. “Suami Su ditahan polis…” Bisik Rozana perlahan. Dua tiga hari ini memang kecoh perihal suami Datin Seri Sulaili menyalahgunakan kuasanya untuk seleweng dana dan rasuah. Tapi tidak pula Datin Maimun sangka sampai Datuk Seri Fadli sudah ditahan polis. Sangkanya hal ini akan diam selepas dua-tiga hari, biasalah khabar angin. Sudah penat orang bercakap nanti, senyaplah. Tapi kali ini, nampaknya seperti hal serius.

“Dulu katanya mereka adalah gunakan dana yayasan untuk membina madrasah dan masjid, kemudian menghantar anak-anak golongan miskin untuk sambung belajar ke luar negara. Tapi aku dengar itu semua tipu helah dia sahaja. bila dicari dekat mana madrasah dan masjid yang dibina yayasan Fadli itu, haram tak ada pun!”

“Jadi betul lah kes dia yang orang kecohkan itu?” Soal Datin Maimun, semakin berminat dengan topik perbualan hangat mereka. Rozana yang sepertinya baru mahu membuka mulut kembali diam saat bibik meletakkan secawan kopi di atas meja buatnya. “Terima kasih bik,” ucap Rozana. “Bik, pergilah berehat. Nanti kalau perlu apa-apa saya panggil” Datin Maimun tahu, Rozana tidak selesa mahu bercerita jika ada bibik di situ.

Sebaik sahaja bibik hilang daripada pandangan mereka berdua, terus Rozana membuka cerita. Katanya Datuk Seri Fadli telah menyalah gunakan kuasanya sebagai pengerusi sebuah yayasan, dia yang boleh dikira sebagai salah satu individu berpengaruh di negara ini dituduh menyeleweng dana yang telah diamanahkan kepadanya. Nilai penyelewengannya pula bukan sikit-sikit duit, boleh mencecah sehingga jutaan ringgit.

“Ini lagi satu hal, bila orang ke tapak bangunan yayasan si Fadli itu. yang ada hanya tapak kosong terbengkalai. Tak ada satu bangunan pun. Bayangkanlah yayasan yang kendalikan dana sampai berjuta ringgit tak ada pejabat sendiri? Pelik bin ajaib.”

Datin Maimun pernah juga terdengar tentang yayasan Datuk Seri Fadli itu, dulu sibuk Datin Seri Sulaili ceritakan kepadanya tentang yayasan yang dikendalikan mereka sekeluarga. Kononnya ia didirikan dengan tujuan untuk membantu golongan fakir miskin, mendirikan pusat pendidikan, rumah ibadat selain menjaga kebajikan golongan asnaf. “Satu keluarga tu makan duit yayasan macam tak ada rasa bersalah! Buat bayar bil kad kredit, makan angin dan berjoli sakan. Kita ini pun tak ada lah baik sangat Mun, tapi tak sampai hati nak buat begitu sekali,” ujar Rozana, sebelum menyambung bicara. “Dulu katanya mereka adalah gunakan dana yayasan untuk membina madrasah dan masjid, kemudian menghantar anak-anak golongan miskin untuk sambung belajar ke luar negara. Tapi aku dengar itu semua tipu helah dia sahaja. Bila dicari dekat mana madrasah dan masjid yang dibina yayasan Fadli itu, haram tak ada pun!”

“Dekat mana yayasan dia itu Ana?” Tanya Datin Maimun. “Ini lagi satu hal, bila orang ke tapak bangunan yayasan si Fadli itu. yang ada hanya tapak kosong terbengkalai. Tak ada satu bangunan pun. Bayangkanlah yayasan yang kendalikan dana sampai berjuta ringgit tak ada pejabat sendiri? Pelik bin ajaib,” Rozana meneguk perlahan kopi yang dihidang untuknya. “Patutlah keluarga Sulaili hidup serba mewah ya, anaknya juga sampai sudah tidak perlu bekerja lagi semuanya ditanggung ayah mereka. Tinggal mintak sahaja apa nak, semua ditunaikan.” Datin Maimun tidaklah begitu baik dengan keluarga Datuk Seri Fadli tapi adakalanya mereka bersua juga di majlis-majlis korporat. Masa itulah dia dia dapat berbual-bual dengan Sulaili dan mengetahui serba sedikit tentang kehidupannya.

Menurut Rozana lagi, Datuk Seri Fadli jugak kerap menerima suapan daripada pelbagai syarikat besar ketika dia memegang jawatan penting dalam kerajaan tak lama dahulu. “Aku ni tak adalah pandai sangat dalam hal-hal projek dan tender Mun, tapi dengarnya dia dibayar belasan juta ringgit hanya untuk melanjutkan kontrak syarikat-syarikat yang mahukan jalan mudah. Itu belum lagi termasuk hal pengubahan wang haram. Aku tak pasti kalau kau ada dengar, tapi baru-baru ini kecoh di kalangan teman-teman kita Sulaili beli beberapa buah banglo mewah sekaligus. Yelah rumahnya pun sudah banyak sebelum ini, hampir tidak terduduk semuanya tapi beli lagi banglo baru konon untuk dijadikan rumah singgah. Rupa-rupanya itu salah satu cara dia suami isteri untuk ‘mencuci duit’ dan mengelirukan pihak berkuasa.”

“Berani ye dia buat begitu?” Soal Datin Maimun pendek “Kalau bab duit Mun, memang ramai yang mudah gelap mata. Mungkin dia ingat perbuatan mereka tidak akan dihidu orang…” Tapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Tak kiralah macam caranya pun mereka usahakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa, semua usaha mereka itu kini seakan hanya menemui jalan buntu apabila sifat tamak dan rakus yang telah menguasai diri pasangan itu seolah-olah telah menjunamkan mereka sendiri ke dalam kebinasaan. Sekarang bersedialah untuk dipertanggungjawabkan keatas segala salah guna kuasa yang mereka telah lakukan selama ini. “Tapi kes ini baru lagi disiasat kan Ana? Kita tunggulah hasil siasatannya, mana tahu kalau-kalau mereka difitnah sahaja…” Saran Datin Maimun mahu bersangka baik. Sementara Rozana tidak menjawab sepatah pun, dia hanya segera menghabiskan saki-baki minumannya. Lepas ini dia mahu ke rumah Datin Rina pula untuk berkongsi kisah yang sama.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE