SEARCH

Dondang Sayang: Sejarah Peranakan di Melaka

Dondang Sayang: Sejarah Peranakan di Melaka

Saya menyusuri sepanjang deretan kedai-kedai lama yang masih kuat bau seni bina abad ke 19 dan 20 jauh sebelum negara ini Merdeka lagi.  Jalan Jonker atau lebih dikenali sebagai Jonker Street adalah salah satu tempat wajib dilawat sekiranya datang ke Melaka, negeri bersejarah ini. Namanya dipercayai berasal daripada nama “Jong” atau “kapal Cina” dan seterusnya berubah mengikut longhat British sebagai Jonker. Terdapat sebuah replika Jong tepat di hadapan pintu masuk Jalan Jonker ini.

Asap colok kuat menari-nari di depan deria. Suasana yang meriah dengan pelbagai keunikan tersedia buat halwa mata semua. Seakan-akan wujud satu perasaan berada di zaman purbakala. Seni bina yang memukau dan unik masih terjaga keasliannya. Terdapat pelbagai kedai sepanjang Jalan Jonker ini termasuklah kedai antik, cenderamata, kedai makan, malah tersergam indah bangunan Hard Rock café Melaka yang bercirikan seni bina khas Jonker yang turut berada tepat di hadapan sungai Melaka. Ada juga beberapa bangunan persatuan-persatuan kaum Cina, tokong-tokong kecil, restoran dan juga hotel singgah.

Matahari makin terik mambakar kulit, suasana meriah ini masih berterusan. Orang ramai berbondong-bondong dan makin lama makin ramai. Seolah-olah tidak menghiraukan terik matahari. Pelbagai gelagat dan ragam dapat dilihat, dari tukang roti ke penjual dim sum, dari penjual syiling lama ke anak-anak Cina yang berlari riang. Pelancong-pelancong hidung tinggi lengkap dengan kamera digital di dada, sederet pelancong lagi, mungkin dari Tanah Besar China atau negeri Taiwan tersenyum-senyum dalam barisan yang diselia pegawai agensi pelancongan. Sangat meriah.

“Mai beli, mai beli, anak muda belilah satu buat mak,” sapa seorang tua sambil menghulur satu cenderahati. Raut wajahnya berkerut-kerut, mungkin kerana panas mentari. Dari pandangan wajahnya, kental berwajah Cina dan punya iras-iras Melayu. Longhat juga sangat kental bahasa Melayu namun punya sedikit slanga. Jangan hairan, kerana rata-rata penjual di Jalan Jonker ini berketurunan Baba dan Nyonya. Sambil senyum, menolak dengan sopan pelawaan jual-beli Baba itu tadi.

Sejarah Peranakan by STAIL.MY 1
‘Molek’ by Heidi Koh
“Masyarakat Baba dan  Nyonya dikenali sebagai kaum Peranakan yang unik dan hanya ada di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, Tanah Melayu (sebelum Merdeka), khususnya di negeri Melaka. Sejarah Peranakan ini kebanyakannya berasal dari wilayah Fujian, China yang berhijrah ke Melaka sejak 600 tahun dahulu ketika Perlabuhan Melaka terkenal dan berperanan sebagai pusat perdagangan Nusantara.”

Penyesuaian dan resapan budaya Cina ke dalam suasana sosio-budaya Melayu di persekitaran mereka di zaman silam melahirkan satu kaum yang baru di Negeri-Negeri Selat ini. Terdapat juga populasi peranakan yang besar di sekitar Kepulauan Melayu seperti di Pulau Jawa, Semarang, Pekalongan dan Cirebon.

Pada kurun ke-15, Kesultanan Melayu Melaka memberi penghormatan kepada pelbagai kerajaan, yang paling utama ialah Negeri Tembok Besar, China. Hubungan diplomatik dan bilateral yang erat terbina sejak kurun ke-15, semasa pemerintahan Parameswara, apabila Laksamana Cheng Ho, seorang Laksamana Cina Muslim datang melawat Melaka.

Sejarah menuliskan pada 1459, Maharaja China menghantar Puteri Hang Li Po kepada Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka ke-6 sebagai satu tanda ikatan antara kerajaan China dengan Kesultanan Melayu Melaka. Puteri Hang Li Po tidaklah datang keseorangan tetapi ditemani sida-sida, dayang-dayang dan segerombongan orang-orang suruhan. Orang dari Kota Larangan ini berkenan untuk bersemayam di Bukit Cina, Melaka.

Penempatan ini mewujudkan hubungan asimilasi antara mereka dengan orang Melayu Melaka sekitar. Ada juga teori yang menyatakan golongan Peranakan adalah hasil perkahwinan dengan orang Melayu/pribumi pra-Islam ketika zaman itu namun masih menjadi perdebatan sehingga kini kerana kekurangan bukti yang sahih dan konkrit.

Adapun yang pasti sejak beberapa kurun, Peranakan mewujudkan satu budaya yang unik dengan mengekalkan tradisi Cina seperti tradisi perkahwinan, meraikan Tahun Baru Cina dan perayaan Tanglung, juga turut mengangkat budaya Melayu dari segi makanan dan cara pemakaian. Mereka mengekalkan kebanyakan budaya dan kepercayaan nenek moyang mereka, tetapi bahasa dan budaya Melayu juga sedikit sebanyak sudah terasimilasi.

Golongan Peranakan amat sinonim dengan ‘Dondang Sayang’ dan pemakaian baju Kebaya Nyonya. Mereka mengenakannya bersama sarong atau batik dengan motif bunga-bunga dan burung Phoenix serta sepasang kasut cantik bermanik-manik yang disebut ‘Kasut Manek’. Selain itu, Peranakan juga mengenakan pakaian tradisional Cina bagi kaum Baba. Terdapat juga tanda-tanda pengaruh budaya Belanda, British, Melayu, dan Jawa dalam budaya kaum yang unik di tengah-tengah jiwa negeri Melaka ini.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE