SEARCH

Satu Keluarga Hidup Mewah Hasil Datuk Eksploitasi Anak Yatim

Satu Keluarga Hidup Mewah Hasil Datuk Eksploitasi Anak Yatim

Gambar : Pinterest

Malam tadi saya tidak berkesempatan untuk pulang berbuka puasa di rumah, terlalu sibuk dengan hal kerja sehingga tidak sedar sudah hampir masuk waktu Maghrib. Jadi saya membuat keputusan untuk singgah sahaja ke shopping mall terdekat untuk berbuka puasa terlebih dahulu sebelum pulang. Saya ke KLCC, duga saya pada hari bekerja seperti hari ini biasanya kedai-kedai makan agak kurang sesak berbanding hujung minggu, maka tak perlulah saya beratur terlebih dahulu sebelum mendapatkan tempat. Dengan penuh yakin saya terus mengatur langkah ke Nando’s. Bagaimanapun, tekaan saya salah, barisan di hadapan restoran francais tersebut sudah panjang berjela. Saya diberitahu masa menunggu dianggarkan sekitar 45 minit sehingga satu jam.

Lalu saya batalkan sahaja niat untuk makan di situ. Saya tinjau pula restoran-restoran lain. Semuanya penuh. Saya putuskan mahu ke Starbucks untuk minum dan mungkin makan sepotong kek sebagai alas perut sebelum pulang dan makan sahaja di rumah. Jadi saya terus menuju ke tingkat tiga di mana terletaknya Starbucks. Mujurlah, kedai kopi itu tidak terlalu penuh, masih ada beberapa tempat yang kosong. Tanpa berlengah saya terus memesan Caramel Frappucucino grande. Sebelum membuat pembayaran saya sempat menjeling ke chiller bersebelahan dengan kaunter kalau-kalau ada pastries yang menarik untuk saya jamah. Sayangnya, tak ada satu pun yang nampak menyelerakan. Jadi saya cuma memesan minuman untuk dibuat berbuka.

Saya duduk di sebuah sudut yang agak jauh daripada orang lain, baru sahaja saya hendak menyuakan straw ke mulut tiba-tiba datang seorang wanita menyapa saya “Eh! Kau buat apa dekat sini? Kenapa seorang sahaja?” Suara Dina kedengaran sangat nyaring, tanpa dipelawa dia terus duduk di hadapan saya “Aku singgah nak beli air sekejap, nak balik dah ni,” jawab saya. Melihatkan Dina di sini rasanya seperti mahu balik sekarang juga. Nanti kalau dia sudah mula buka cerita pasal entah siapa-siapa boleh jadi sampai ke tengah malam pun tak akan habis. Dina memang terkenal di kalangan kawan-kawan saya sebagai seorang yang sangat suka ‘bercerita’. Habis segala hal orang dia nak bercerita, senang kata Dina sebenarnya sesuai sangat untuk memegang gelaran ‘Mak Cik Bawang’ terunggul.

“Ala duduklah dulu, minum-minum dengan aku. Lagipun kau tak nak ke dengar cerita pasal bapak si K tu.” Ahh sudah mula, cepat betul ye. Langsung tak ada basa-basi Dina boleh terus membuka cerita. “K mana pula ni?” Saya kerut dahi tanda tidak faham K yang mana dimaksudkan Dina. “K ex-boyfriend akulah.” Barulah saya teringat pada K itu, tidaklah begitu kacak tapi anak orang berada.

Kalau tidak silap ayah K mempunyai pusat tahfiz sendiri, tempat untuk mengajar kanak-kanak dan remaja ilmu agama yang mana kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada golongan fakir miskin dan anak yatim. Ironinya, bapa K tidak habis-habis menekankan kepada pelajarnya bahawa mereka perlu hidup secara besederhana tapi K sendiri mangamalkan gaya hidup mewah hasil duit elaun setiap bulan yang diterima daripada bapanya Datuk Marzuki.

“Kenapa tak jadi kahwin kau dengan dia Dina? Dulu lautan api pun sanggup kau renang untuk dia kan?” Tanya saya dalam nada bergurau. Dina mencebik. “Tak nak aku kahwin dengan anak penipu itu!” Suara Dina sedikit meninggi. “Kau tahu kan bapa dia ada sekolah tahfiz sendiri? Aku dengar bapa dia guna pelajar-pelajar sekolah tahfiz dia untuk mengutip derma,” sambung DIna. Hasil daripada duit derma itu pula digunakan Datuk Marzuki untuk membeli kereta mewah, membina banglo dan berjalan ke luar negara dengan keluarganya. “Haa? Tak akan lah bapak dia sanggup buat sampai begitu sekali Dina?” Tanya saya, sebenarnya tidaklah saya terkejut sangat mendengarkan berita itu kerana kalau melihatkan gaya hidup K yang serba mewah dan liar memang tak selari dengan didikan agama yang ayahnya curahkan di sekolah tahfiz tersebut.

“Betul, memang dia gunakan budak-budak itu untuk kaut keuntungan sampai beratus ribu. Kadang-kadang bukan di KL ni sahaja ada juga pelajar tahfiz yang dia hantar kutip derma sampai ke Terengganu dan Kedah.” Modus operandi Datuk Marzuki memang mudah, berselindung di sebalik nama pusat keagamaan yang kononya mahu menjaga anak-anak kurang bernasib baik ini. Kalau tidak meminta sedekah, anak-anak ini akan disuruh untuk menjual barangan seperti seperti buku agama dan juga produk makanan seperti kismis serta kurma.

“Sampai hati ayah si K tu buat macam itu ye? Tak kesian ke dia dekat budak-budak itu Dina?” Saya benar-benar maksudkan apa yang saya katakan. Hairan saya dengan sikap tidak berhati perut Datuk Marzuki yang sepertinya sudah tidak peduli akan nasib anak-anak tahfiz di bawah jagaannya sehingga sanggup mempergunakan anak-anak ini untuk mengecapi hidup mewah. “Si K pun biarkan sahaja ayah dia buat begitu?” Tanya saya lagi. Dina ketawa, “Kau ingat dia baik sangat ke? Sama je ayah dengan anak. Dua-dua hanya tahu nak hidup senang-lenang, kalau sudah tak ada duit nanti tak boleh lah si K nak berparti dan ke club lagi.”

Menurut Dina, kesemua pelajar tahfiz ini ditempatkan di sebuah sekolah usang. Di situlah mereka tidur, makan dan belajar. Tapi kebanyakan masa mereka dihabiskan di luar untuk meminta sedekah. Anak-anak ini tidak dibenarkan pulang semula ke pusat tahfiz selagi mereka tidak berjaya mencapai ‘target’ kutipan yang ditetapkan. Biasanya jumlah yang perlu dikumpul adalah lebih kurang seratus sehinga dua ratus untuk setiap pelajar. Jika mereka gagal mendapatkan jumlah tersebut, maka bersedialah untuk dirotan dan dipukul oleh tenaga pengajar yang ditugaskan Datuk Marzuki untuk menjaga mereka.

“Dalam 5-6 bulan lepas, aku dengar Datuk Marzuki nak buat album pula guna duit hasil memperhambakan budak-budak sekolah dia minta sedekah. Memang dasar orang tua gila! Sudah tua bangka mahu menyanyi apa lagi? Anak dengan bapa sama sahaja hanya tahu hendak berseronok!” Bentak Dina, geram benar agaknya dia dengan kelakuan keji Datuk Marzuki. Tapi memang patutlah kalau dia marah, siapa sahaja yang tidak geram dengan kelakuan anak-beranak tidak bertanggungjawab ini? Dikerahnya orang lain untuk mencari duit siang sampai ke larut malam, alih-alih mereka pula yang berjoli sakan.

Mujur sahaja, baru-baru ini pusat tahfiz itu pun sudah diarahkan untuk menamatkan operasi kerana tidak mempunyai sebarang lesen atau kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa. Kalau tidak entah berapa lama lagilah Datuk Marzuki itu akan terus menunggang agama demi kepentingan poket sendiri. “Eh aku sibuk bercerita, terlupa pula mak aku sedang menunggu sebenarnya. Tadi datang nak beli air sahaja niatnya tapi dah terjumpa kau ni tiba-tiba panjang pulak cerita aku.” Dina segera bangun dari duduknya, dicapainya beg tangan yang diletakkan di kerusi sebelah sebelum memeluk saya sebentar dan berlalu pergi.

Haih Dina… Dina… tadi dia yang beriya benar ajak saya minum-minum dulu tiba-tiba dia pula yang tergesa-gesa mahu pergi. Sudah itu boleh pula dia terlupa yang ibunya sudah menunggu? Geli hati saya mengenangkan perangai kawan saya yang satu ini. Sebaik sahaja Dina hilang dari pandangan mata saya, saya juga terus bangun dan mengatur langkah untuk pulang.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE