SEARCH

MERDEKA: KISAH HATI KITA SEMUA

MERDEKA: KISAH HATI KITA SEMUA

Merdeka

Tersebutlah kisah tiga bersaudara. Yang paling tua ialah ‘RAGU’, diikuti saudara yang lebih muda, ‘MINDA’ dan yang paling bongsu, ‘HATI’. Hati sangat disayangi oleh kedua-dua abangnya, Ragu dan Minda, sehinggakan apa yang mereka lakukan mestilah berhujung-pangkal yang satu yakni melindungi si Hati.

Namun kebanyakan masanya, Hati walaupun yang paling bongsu, mempunyai fikiran dan keputusannya sendiri. Dia tahu dia sangat mudah terluka, tetapi dia secara semula jadi meletakkan sesuatu lebih daripada dirinya. Dia tidak kisah kalau-kalau dia pecah seribu, asalkan sesuatu itu mendapat manfaat yang lebih baik daripadanya. Kelakuan dan aksi ini selalu meletakkan Hati seperti telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja Hati boleh dilukai.

Pada suatu hari, datanglah seorang laki-laki berkulit putih kepada ketiga-tiga saudara ini ingin meminta nasihat. Laki-laki kulit putih ini tahu, walaupun mereka bersaudara, tetap sahaja berlainan sifatnya. Dalam firasat, lelaki hidung tinggi ini memandang mereka tidak akan mampu hidup bersama. Lalu dia bertanya, ‘Bolehkah?”.

Ragu berbisik dalam Hati ; TIDAK.

Kamu akan tersadung dan terjatuh di pertengahan jalan.

Kamu akan keliru di persimpangan.

Kamu akan berlutut menangis akan kesukaran.

Dan kamu tidak akan mampu bertahan sampai hujung kali.

Kamu (Hati) akan pecah, dan kamu tidak akan mampu pulih seperti sediakala.

Harganya terlalu tinggi untuk dilalui.

TIDAK. Ragu berbisik lagi.

 

Minda juga berbisik pada Hati ; TIDAK.

Ragu pasti benar. Dia abang yang sulung.

Semua kesukaran yang bakal dihadapi ini bakal melebihi kemampuan kamu, oh Hati.

Dan aku sangat mengenali dirimu, dengarlah nasihat aku, si Minda yang mengawal kamu.

Jangan terjerat dengan kegagalan yang sangat dekat.

Aku tak mahu mengambil risiko menyakitimu.

Kamu wahai Hati, punya nurani yang besar,

Namun tidak sebesar bebanan yang terpaksa dikendong nanti.

Sekali kamu retak seribu, kesakitan itu seperti tak berpenghujungnya.

Mungkin rintangan, huru-hara atau kebencian bakal merudum kamu.

TIDAK. Tegas Minda berbisik sekali lagi.

 

Tetapi…

Hati berbisik: YA

Tidak kah engkau mengenali isi adikmu yang bongsu ini?

Aku sudah biasa dengan kekecewaan, penjajahan dan kehancuran.

Seluruh hidup kamu berdua seperti perjalanan mencari kepingan-kepingan aku yang hilang.

Berilah peluang, wahai abang-abangku, atau,

Kamu sendiri yang bakal memecahkan aku.

Yang mana satu pun, tidak lah peduli.

Beritahu kedua-dua abangku, tak kira betapa mereka ingin melindungiku.

Hati memang selalu akan terluka, Hati juga ditakdirkan untuk pulih semula.

Dan aku punya kawan kecil di dalamku yang bakal memperkuatkan semangatku.

Sesuatu yang kamu panggil ‘HARAPAN’.

 

Dan pada akhirnya, Hati juga yang kita semua akan ikuti. Kerana Hati adalah kunci kewujudan diri, dasar kebaikan dan pintu kepada jiwa dan sanubari.

SELAMAT HARI MERDEKA KE-59, MALAYSIA.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE