SEARCH

PERKAHWINAN TRADISI INDIA UTARA

PERKAHWINAN TRADISI INDIA UTARA

Sering kali kita melihat perkahwinan tradisional India yang berlangsung dengan meriah dan penuh gemilang di dalam filem-filem Bollywood. Variasi rona sari berwarna-warni, emas dan intan permata yang sarat dipakai mempelai, inai yang diukir cantik-cantik, mata yang galak dan buntang dengan alis mata bercelak hitam pekat, tari-tarian dan upacara mengelilingi api.

Namun, mungkin antara kita yang kebingungan perihal negara yang memiliki budaya yang kaya dengan adat-adat berusia ribuan tahun ini. Pertama-tama, India adalah sebuah negara yang cukup besar. Besar selayaknya sebuah sub-benua. Memiliki populasi kedua paling ramai di dunia, tak hairan jika India mempunyai ratusan suku bangsa, agama, budaya dan bahasa. Setiap daerah berlainan dengan daerah yang lainnya.

Upacara, ritual dan adat perkahwinannya juga berbeza-beza mengikut aturan masyarakat dan agama masing-masing seperti Hindu, Islam, Sikh, Jain, Baha’i, Kristian dan Buddha. Majlis perkahwinan gah yang selalu kita lihat di kaca televisyen Bollywood adalah majlis perkahwinan tradisi Hindu dari India utara yang merangkumi Jammu Kashmir, Himachal Pradesh, Uttarakhand, Punjab, Rajasthan dan Haryana.

INTRO PIC

Warna merah dan emas adalah warna tradisi daerah India Utara. Bergantung pada kawasan dan adat setempat, sari pengantin selalunya dihiasi dengan aneka intan dan permata yang berkilauan. Pengantin perempuan memakai emas yang sarat di seluruh anggota badan bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan dari Dewi Lakshmi. Jenis dan rekaan perhiasan dan emas juga mestilah mengikut budaya setempat. Pengantin lelaki pula memakai pakaian tradisional Sherwani yang selalunya sedondon warna dengan sari pengantin perempuan.

Mereka turut mengenakan ‘Mehndi’, inai yang diukir halus di seluruh anggota tangan dan pergelangan kaki. Mehndi tradisional melambangkan cahaya matahari yang memancar dari dalaman si pemakai. Terdapat juga Mehndi Pakistan dan Arab yang bermotifkan flora dan ukiran Arab, yang juga turut dipakai oleh pengantin Islam, khususnya Melayu di Malaysia dan Singapura.

Perhiasan permata di tengah-tengah dahi pengantin perempuan pula diberi nama ‘Tikka’. Tikka ialah perlambangan pancaindera mata ketiga iaitu ‘Ajna Chakra’. Kemudian, pengantin lelaki dan pengantin perempuan saling bertukar ‘Jaimala’ atau ‘Varmala’, kalungan bunga-bungaan bagi melambangkan penyatuan jiwa dua insan.

Seterusnya, kedua mempelai mengeliligi unggun api yang dipanggil ‘Agni Kunda’ sebanyak tujuh kali. Selalunya, enam pusingan pertama dituntun oleh pengantin perempuan dan pusingan ketujuh atau terakhir, dipimpin oleh pengantin lelaki. Upacara yang biasa kita lihat ini bertujuan mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan antara kedua-dua merpelai. Kehangatan api ‘Havan’ dari unggun api ini menyalakan dan menghadirkan ‘Agni’, dewa api yang berperanan sebagai saksi agung kepada perkahwinan suci agama Hindu di daerah India Utara ini. Video di bawah memaparkan stail upacara perkahwinan India Utara.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE