SEARCH

#REAKSINETIZEN – Haneesya Hanee Dewi Neraka?

#REAKSINETIZEN – Haneesya Hanee Dewi Neraka?

Jujurnya saya bukan jenis yang mengikuti perkembangan pertandingan mencari gadis cantik ‘Dewi Remaja’ saya cuma tahu setiap tahun pasti program ini akan melahirkan wajah-wajah baru yang bakal menghiasi kaca TV kamu menerusi drama dan filem-filem tempatan. Tapi pencarian ‘Dewi Remaja’ tahun ini muncul dengan sedikit kelainan apabila mereka tampil mengetengahkan gadis berkulit gelap sebagai salah satu pesertanya. Haneesya Hanee dari awal lagi sudah berjaya mencuri perhatian ramai, netizen rata-rata mengangkat dirinya sebagai ‘standard’ kecantikkan yang baru di mana cantik bukan lagi diukur dengan kulit yang cerah atau putih melepak.

Dan ternyata keputusan berpihak kepada gadis berusia 19 tahun itu, malam ahad yang lalu Haneesya dinobatkan sebagai ‘Dewi Remaja’ yang baru bagi tahun 2018/2019. Haneesya yang kelihatan anggun memperagakan dress labuh berona merah pada malam finale itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai sepuluh ribu ringgit.

Tapi sayang, kegembiraan Haneesya tidak berpanjangan apabila dua hari selepas kemenanganya video yang memaparkan Haneesya minum di kelab malam mula tular di kalangan pengguna Twitter.

Video yang berdurasi kurang dari seminit itu khabarnya dirakamkan selepas Haneesya diumumkan sebagai juara ‘Dewi Remaja’ membuatkan ramai beranggapan bahawa dia tidak layak memegang takhta itu sama sekali. Mungkin kerana netizen beranggapan bahawa Haneesya bukan contoh yang sesuai untuk anak muda masa kini apabila meraikan kemenangan dengan cara sedemikian.

Haneesya bukan sahaja dicemuh ramai, malah dia juga dianugerahkan dengan gelaran yang baru iaitu ‘Dewi Neraka’. Pada saya penggunaan ‘Neraka’ dalam konteks seperti ini adalah sedikit keterlaluan, Haneesya memang sudah melakukan kesalahan, tapi siapa sahaja yang tidak lari dari membuat kesilapan? Tambahan pula pada usia masih belasan tahun di mana kebanyakan anak muda sedang ghairah hendak mencuba dan bereksperimentasi.

Maka tidak wajar jika kita terus menghukum dengan menggelarkannya sebagai ‘Dewi Neraka’. Sudah maksum sangatkah diri kita hingga terlalu yakin untuk mencampakkan orang lain ke nereka? Tidak pula saya menyokong perbuatan Haneesya, tapi sebagai remaja saya juga faham keinginan untuk berhibur bersama teman-teman. Cuma kali ini mungkin jenis hiburan yang dipilih Haneesya adalah kurang tepat, lebih malang lagi apabila tindakannya itu telah memakan dirinya sendiri.

Haneesya juga telah membayar harga yang setimpal di atas keterlanjurannya. Dia yang baru sahaja menyandang gelaran ‘Dewi Remaja’ untuk tempoh 72 jam telah diarahkan untuk memulangkan semula mahkota kemenangannya kepada pihak penganjur program. Makanya, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran pertandingan tersebut tiada sesiapa pun yang dinamakan sebagai pemenang. Tia Sarah dan Sherin Amiri masing-masing kekal menyandang tempat kedua dan ketiga.

Dalam sidang media yang sama, pihak penganjur menegaskan bahawa kejadian tersebut dirakamkan ketika Haneesya masih bergelar 12 finalis akhir pencarian ‘Dewi Remaja’ dan bukanlah selepas kemenangannya seperti yang digembar-gemburkan netizen. Gelaran ‘Dewi Remaja’ Haneesya ditarik balik berikutan terdapat perlanggaran kontrak serta syarat-syarat lain yang telah ditandatangani Haneesya sendiri ketika mula menyertai pertandingan ‘Dewi Remaja’.

Haneesya sendiri mengakui kesalahannya dan menerima dengan hati yang terbuka segala keputusan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjuran ‘Dewi Remaja’. “Memang saya bersalah. Tindakan mereka menarik balik gelaran itu sesuatu yang wajar dan saya terima dengan hati yang terbuka,” ujar Haneesya sayu.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE