SEARCH

Sarah Hildebrand & Hannah Delisha, Berbicara Tentang Feminisme & Pemerkasaan Wanita

Sarah Hildebrand & Hannah Delisha, Berbicara Tentang Feminisme & Pemerkasaan Wanita

Penata Gaya & Sitting Editor: Ardi Idewani Solekan & Rambut: Fendi Sani Gambar: Chuan Looi (Yipieyaya Studio) Arahan Seni: Merrissa Emilda 

Petang itu hening, saya berangkat ke dua lokasi untuk menemubual dua selebriti ini. Kebetulan kedua mereka anak kacukan. Namun bukan itu tujuan saya menemubual mereka. Sempena bulan pemerkasaan wanita ini, STAIL.MY ingin singkap perihal wanita, feminisme dan fesyen.

Isu-isu semasa yang memakai cogan kata wanita. Saya berjumpa Sarah Hildebrand di Publika dan santai di Wangsa Maju bersama Hannah Delisha. Ikuti temubual eksklusif sepetang saya bersama mereka, berbicara tentang feminisme, wanita dan fesyen, seperti yang tertera:

Sarah Hildebrand & Hannah Delisha, Berbicara Tentang Feminisme & Pemerkasaan Wanita by STAIL.MY 1
Skirt Ezzati Amira. Yang lain semuanya UNIQLO

 

SARAH HILDEBRAND, 27 – Peragawati & Pelakon

1 – Kamu mula memakai hijab sedari usia? Apa perasaan kamu ketika itu dan apa yang membuat kamu terus berhijab?

September 2015. Mulanya takut dan nervous. Saya tanam dalam diri, saya tidak boleh memakai hijab secara sesuka hati. Alhamdullilah, selepas beberapa ketika, saya rasa gembira. Senang hati. Saya rasa lebih gembira dengan imej saya sekarang. Ramai yang memuji, berkata saya lebih cantik dari sebelumnya.

Yang comelnya, jika ada lelaki yang terpandang saya, mereka cepat-cepat mengalihkan perhatian. Mereka sangat berhati-hati dan hormat saya sebagai wanita yang berhijab. Lower their gaze. Saya rasakan orang melayan saya dengan lebih baik dan penuh hormat selepas saya mengenakan hijab.

2 – Menurut kamu, wanita berhijab yang ingin berfesyen harus?

Siapa bilang wanita berhijab tidak boleh berfesyen? Kamu boleh jadi seberapa stail-lish yang kamu mahu, asalkan ia berpenampilan sederhana dan sopan (modest). Tidak boleh mengenakan hijab hanya kerana mahu berfesyen sahaja, niat kamu harus betul. Tidak salah untuk berfesyen dengan hijab, asalkan kamu tahu niat sebenar kamu mengenakannya iaitu menutup aurat.

3  –  Bagi kamu (seorang yang berhijab), kenapa segelintir wanita berhijab di luar sana, sanggup berhabisan ratusan ringgit, malahan ribuan ribuan, demi sehelai hijab?

Mungkin kerana wanita yang menjual tudung itu, yang memakai tudung itu adalah idola mereka. Saya meletak diri saya di perspektif mereka. They want to feel confident, they want to be pretty like their idol.

4 – Apakah ia patut? Beri pendapat.

“Menurut saya secara peribadinya, jika kamu mampu dan punya wang yang cukup untuk memiliki, why not?”

Namun jika kamu rasa kamu tidak berkemampuan, saya nasihatkan janganlah menghabiskan duit semata-mata mahu memakai hijab yang berjenama. Percayalah jenama itu tidak penting, yang penting adalah cara kamu menggayakannya. Hijab is hijab.

5 – Bagaimana pula kamu menerangkan pemakaian hijab pada teman/saudara bukan-Islam kamu?

Baru-baru ini saya pulang ke Amerika Syarikat untuk berjumpa dengan bapa kandung saya di sana. Itu kali pertama dia melihat saya dalam hijab. Bapa sangat berlapang dada dengan keputusan saya.

Dia pernah berkahwin dengan mak saya, tentu sahaja dia faham adat, budaya dan agama orang Melayu. Dia hormati dan anggap saya sudah dewasa untuk menentukan cara pemakaian saya sendiri.

Saya rasa orang di barat sudah mula mengenali Islam. Kalau nak dibandingkan dengan waktu dahulu, waktu sebelum ada jaringan internet, kini lebih mudah untuk menerangkan Islam kepada mereka.

6 –  Pendapat kamu, apakah wanita berhijab terbatas dalam melakukan sebarang aktiviti? Komen?

Saya sangat menyokong wanita-wanita berhijab di luar sana melakukan sebarang aktiviti-aktiviti seperti manusia biasa. Kita ada atlet-atlet kebangsaan yang berhijab. Namun, ada sedikit batasan, maksudnya kalau mahu menari, kalau ada kehadiran lelaki di situ, pergerakan kamu janganlah terlampau. Jika sederhana, saya rasa ia masih boleh diterima.

Namun, saya rasakan isu pelancaran hijab di lokasi yang sebegitu tidak wajar. Sebagai idola yang besar di negara ini, kita harus tahu batasan agama. Apa yang salah, apa yang benar. Sekiranya ia hanya untuk strategi pemasaran sekalipun, saya masih rasakan ia tidak patut” – Sarah Hildebrand

7 –  Namakan wanita yang paling memberi inspirasi dalam kehidupan kamu?

Ibu saya. Dia ibu tunggal dan banyak berkorban demi saya. Letaklah siapa pun, saya tetap akan berkata ibu lah yang paling memberi inspirasi kepada saya. She is a very strong woman.

8  – What does ‘feminism’ mean to you?

I don’t really support feminism but also not really againts it. Menurut saya, feminisme adalah gerakan yang memperjuangkan kesedaran yang wanita pun mampu melakukan apa yang lelaki lakukan. Jangan hadkan kemampuan wanita.

“Saya bukanlah seorang feminis. Saya sokong tetapi tidak obses”

9 –  Pandangan kamu terhadap patriarki?

Saya tidak merasakan ia sesuatu yang salah, tetapi yang salahnya jika kita tidak memberi peluang kepada wanita untuk menjadi pemimpin. Kita harus memberi peluang kepada semua orang tanpa mengira jantinanya. Saya tiada masalah dengan lelaki sebagai ketua, tetapi ia sesuatu yang menarik jika kita beri peluang kepada wanita pula.

10 – Hijab, wanita dan fesyen bagi kamu?

Hijab bagi saya adalah menjadi sederhana. Hijab adalah peringatan untuk saya menjadi insan yang lebih baik daripada hari ini. Saya harus menjadi muslimah yang baik. Bukan sahaja dari segi gaya pemakaian, tetapi juga dari segi tutur kata dan cara mensantuni. Fesyen pula sesuatu untuk dimainkan. Know your limit and have fun.

Sarah Hildebrand & Hannah Delisha, Berbicara Tentang Feminisme & Pemerkasaan Wanita by STAIL.MY 3
Kedua-dua menyarung TSyahmi. Dress sekuin pada Sarah Ezzati Amira

 

“Wanita adalah simbol kekuatan. Wanita adalah emosi. Wanita adalah cantik.”

Sarah Hildebrand & Hannah Delisha, Berbicara Tentang Feminisme & Pemerkasaan Wanita by STAIL.MY 4
Skirt Adila Long. Yang lain semuanya UNIQLO

 

HANNAH DELISHA, 22 – Pelakon & Penyanyi

1 – Bagi kamu, strong independent woman adalah wanita yang?

Seseorang yang baik hati. Sebab sekarang amat sukar mencari seorang yang baik hati. Bukan sahaja wanita, juga lelaki. Yang benar-benar baik hati. Ia sesuatu yang istimewa. Sesuatu yang perlu untuk dunia.

Dunia bagi saya, semakin hari semakin tenat. Walaupun teknologi bertambah bagus, kita manusia mengambil kesempatan untuk menjadi yang tidak baik, sama ada di dunia realiti mahupun persada maya.

2 – What does ‘feminism’ means to you?”

Masakini, orang melihatnya sebagai sesuatu yang tidak bagus. Feminisme adalah gerakan yang memperjuangkan hak-hak wanita. Saya faham apa yang diperjuangkan mereka. Feminisme bagi saya keadilan. Mereka hanya mahukan hak yang sama rata antara lelaki dan wanita.

Kebanyakan orang salah faham. Terutamanya lelaki dan ada juga sesetengah wanita akan konsep feminisme yang dibawa oleh feminis (orang yang memperjuangkan feminisme) ini.

Pada pendapat saya, mungkin cara sesetengah mereka (feminis dan warga net) membawa atau menyampaikan mesej feminisme dengan salah. Terlalu agresif sampai mematikan minat orang ramai untuk lebih memahami apa itu feminisme yang sebenarnya.

3 – Apakah ia sesuai untuk negara dan masyarakat patriarki seperti Malaysia? Berikan pandangan kamu? Dan apakah ia releven dengan konteks negara sekarang?

Pada hemat saya, sesuai kerana kita bercakap soal hak asasi manusia. Dalam Islam pun, lelaki ada hak dan perempuan juga ada haknya. Tanpa mengira lelaki atau perempuan, memang agama Islam sendiri mengajar kita supaya saksama bagi kedua-dua belah jantina. Jadi saya kira feminisme boleh dijalankan di Malaysia.

4 – Sudahkah Malaysia bersedia untuk mengangkat wanita sebagai pemimpin negara?

Boleh sahaja, tetapi harus melihat siapa calonnya. Saya bukanlah feminis tegar dan juga tidaklah membantah feminism. Sebenarnya, tidak kira kamu lelaki atau wanita, jika kamu layak, kamu boleh bertanding sebagai ketua negara.

5 – Tokoh wanita dalam negara yang kamu rasa layak untuk menjadi pemimpin? Kenapa?

Saya rasa saya bukan dalam posisi yang sesuai memberikan pendapat dalam soal ini. Sebagai seorang yang berasal dari Singapura, saya rasa kurang sopan untuk saya memilih nama seorang wanita yang patut menerajui Malaysia.

Namun saya boleh mencadangkan ciri-cirinya. Melihat model negara Malaysia yang lebih menjurus kepada negara Islam, saya rasa baik jika memilih tokoh wanita yang dekat dengan agama Islam sebagai pemimpin.

Siapa-siapa yang memiliki watak dan ciri-ciri seperti ini, saya rasa layak untuk menjadi pemimpin negara. Seseorang yang dipandang tinggi masyarakat, rakyat senang melihat kamu, mempunyai pendidikan yang tinggi dan daya pemikiran yang progresif. Paling utama harus mementingkan kebajikan rakyat.

“Wanita perkasa bagi saya seseorang yang baik hati dan Ikhlas.” – Hannah Delisha

6 – Isu hak sama rata antara lelaki dan wanita. Berikan langkah-langkah konkrit bagi mengatasi permasalahan (jika ada) ketidak-saksamaan jantina di Malaysia?

Ironinya, saya sedang menjalani penggambaran untuk filem yang bertajuk “Tiga Dara Manis”. Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Jo, yang bekerja sebagai jurutera pembinaan. Satu kerja yang amat jarang dikendali oleh wanita.

Jo adalah ketua projek, tetapi masalahnya semua pekerja di bawahnya lelaki dan Jo satu-satunya wanita di situ. Jo selalu dibenci dan dibuli hanya kerana dia wanita. Jadi saya boleh faham situasi ini.

Bagi saya, langkah paling utama jangan kerana jantinanya wanita, kamu tidak memberi penghormatan yang harus dia terima sebagai jurutera. Dia mungkin wanita, tapi dia tahu serba-serbi soal pembinaan. Apa yang penting kelayakan dan pendidikannya.

Tak kira, lelaki atau wanita, semua akan ambil ujian yang sama, latihan industri yang sama. Apa yang membuatkan dia tidak pantas menjadi seorang jurutera pembinaan? Semata-mata kerana dia seorang wanita? Ia tidak masuk akal, bukan?

Langkah yang sebaiknya, kita melihat pada kelayakan. Kalau dia berhak, kita tidak boleh nafikan jawatan yang disandangnya. Selain itu, minat yang mendalam juga memainkan peranan yang penting dalam mengatasi permasalahan ketidak-saksamaan jantina di Malaysia.

7 – Namakan wanita yang paling memberi inspirasi dalam kehidupan kamu?

Dee Devlin, isteri kepada Conor Mcgrevor. Dee Devlin adalah contoh wanita yang kuat. Dia menyokong Mcgrevor sedari awal kariernya. Mcgrevor sendiri mengakui tanpa Devlin, mungkin dia tidak berada di tempatnya hari ini.

8 – Kisah inspirasi itu? Kongsikan pada kami.

Saya tidaklah mengenali mereka secara peribadi tetapi saya ada terbaca tentang mereka. Pada awalnya, Mcgrevor hanyalah tukang paip dan mereka hidup susah sebelum ini. Dee Devlin sanggup berkorban dari awal karier Mcgrevorm, daripada dia bukan siapa-siapa kepada peninju bertaraf antarabangsa.

Kerana itu saya berkata lelaki dan wanita saling melengkapi. Di hal yang sama, ada sebab kenapa kita dilahirkan sebagai lelaki dan wanita. Pasti ada sebabnya. Bagi saya, kekuatan kaum wanita adalah sebagai tunjang dan sokongan kepada kaum lelaki.

Wanita sebenarnya lebih tahan lasak. Kerana itu, kami (wanita) dikurniakan tanggungjawab melahirkan anak dan lelaki tidak boleh. Must be a good reasons why (ketawa).

“Feminisme bagi saya adalah keadilan” – Hannah Delisha

9 – Sebagai seorang anak kacukan, pernah mengalami sebarang diskriminasi sepanjang hidup kamu? (perkauman, jenayah benci) dan bagaimana kamu mengatasinya?

Pernah semasa waktu kecil dan remaja, rakan-rakan akan mengejek saya ketika saya melakukan sebarang aktiviti yang berunsurknan budaya Melayu. Mereka tidak berpuas hati dan menuduh saya hanya menunjuk-nunjuk dan berlakon sahaja. “Muka mat saleh, makan belacan”, you know? that kind of thing.

Seperti beria-ria sangat mahu menjadi Melayu. Hanya kerana muka saya kacukan dan kurang nampak kemelayuan, mereka mengecam saya begitu sekali. Saya pun tidak tahu mengapa mereka kecam saya. Bagi saya ia aneh. Sekarang tidak lagi.

10  – Wanita dan fesyen bagi kamu?

Apa yang menentukan kamu wanita adalah tatasusila kamu sebagai seorang wanita. Wanita itu sifatnya gemalai. Fesyen pula untuk keterampilan dan penampilan kamu. Untuk membuat kamu kelihatan cantik. Untuk memberi kamu keyakinan. Membuat kamu hargai diri sendiri. Fesyen membantu percaya diri.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE