SEARCH

#STAILNewActors Spektrum Seni 6 Pelakon Milenial

#STAILNewActors Spektrum Seni 6 Pelakon Milenial

Sitting Editor Ryan Mohamad 
Arahan Seni Ashura Hakim Penata Gaya Ardi Idewani Penyelaras Mel Muzammil Tulisan Zaidi Che
Solekan Emmy Agung Rambut Miedy Daniel Gambar Chee Wei Video Erik (Octopost)
#STAILNewActors distailishkan oleh Eterna

Hari itu berlalu dengan pantas. Walaupun penggambaran bermula seawal jam 10 pagi dan tamat selewat 1 pagi (keesokan harinya), studio pada hari itu penuh gamat dengan suasana. Satu demi satu sesi pempotretan saya, Ardi, Ashura dan Ryan sudahkan.

Bezanya kali ini, kami tampilkan enam pelakon baru lelaki untuk disematkan kisahnya untuk bulan ini. Tidak seperti lawan jantina mereka, mempersiapi keenam-enam penglipur lara milenial ini tidak lah memakan masa yang lama.

Berkat sentuhan magis Emmy Agung yang mencorak warna pada muka mereka dan tangan seni Miedy Daniel yang memintal kemas rambut enam sang perjaka ini, perjalanan penggambaran berjalan dengan lancar sekali.

Tidak dinafikan industri hiburan Malaysia kini sedang rancak dengan kehadiran muka-muka baru yang mewarnai pentas lakonan. Di kesempatan ini, STAIL.MY bersama Eterna senang mempersembahkan #STAILNEWActors 6 Kisah Penglipur Lara Milenial – perihal masa, kembara lakonan dan perkembangan seni mereka.

Ikmal & Nabil Menyarung Gucci

IKMAL AMRY & NABIL AQIL

Bagi mereka yang kurang tahu, kedua-dua anak muda ini lahir daripada program pencarian Hero Remaja 2017, tahun lalu. Ikmal Amry dan Nabil Aqil nama diberi.

Baru sahaja berusia 20 tahun, Nabil atau lebih dikenali dengan nama @kidkylo ini adalah seorang yang berperwatakan manja dan mudah terhibur, berbeza pula dengan Ikmal Amry yang kelihatan lebih serius dan jantan. Sifat mereka saling bertentangan, tetapi kedua sahabat ini amat rapat seperti belangkas. Tak salah kiranya kami gandingkan mereka bersama.

“Alhamdullilah, tawaran berlakon itu selalu ada. Buat masa sekarang, saya sedang aktif berlakon untuk mini drama terbaru bertajuk ‘Ms Emoji Mr Data’ bersama Ikmal Amry selaku hero dan Farah Nabila sebagai heroin. Perasaan sangat suka semenjak bergelar pelakon. I’m enjoying the moment,” ujar Nabil sambil tersenyum lebar.

Ikmal pula menambah, “Minat saya memang dalam bidang lakonan. Namun untuk memulakan kerjaya lakonan, kamu harus dikenali terlebih dahulu. Rencana menyertai Hero Remaja adalah pentas terbaik bagi saya membina nama. Sekurang-kurangnya, orang mula mengenali saya dan sudah bina lapangan peminat tersendiri,” ujar Ikmal ringkas.

Saya tergerak hati untuk bertanyakan pula bagaimana agaknya jika mereka tidak memasuki pertandingan Hero Remaja tersebut. Siapa mereka dan apa yang bakal mereka lakukan jika tidak bergelar selebriti?

“Saya masih akan berlakon. Saya sudah menanam impian untuk menjadi pelakon sejak di bangku sekolah lagi. Saya bekas pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan. Sejujurnya, saya memang tidak berminat bidang itu. Atas dorongan rakan-rakan, mulanya saya sekadar cuba-cuba. Akhirnya, saya mula serius untuk melebarkan sayap ke bidang lakonan ini,” jelas Ikmal Amry.

Nabil seraya menjawab, “Mungkin masih belajar dalam jurusan Senireka Dalaman. Namun semenjak bergelar selebriti ini, saya perlu lebih berhati-hati melakukan sebarang perkara. Saya harus berjaga-jaga kerana ada sahaja mata-mata yang memerhati. Sama ada warganet yang menunggu untuk memuji, mahupun menunggu untuk mengecam. Itulah lumrah dunia selebriti yang terpaksa saya akur.”

Bercakap soal warganet, dengan dunia masakini yang di hujung jari. Perjalanan seni kedua pelakon muda ini tentu sahaja berbeza dengan pelakon-pelakon lama. Mereka terpaksa menempuhi zaman digital, zaman di mana kemasyhuran dan populariti diukur dari bilangan pengikut atau followers di media sosial. Belum lagi dikira cabaran menghadapi tohmahan dan kontroversi yang ada sahaja tidak kena di mata warganet.

“Kehidupan saya jauh berbeza setelah bergelar pelakon. Paling ketara, warganet sudah mula mengenali Ikmal Amry. Dahulu, apa sahaja yang dilakukan tidak sedikitpun diendah orang, tetapi sekarang saya harus lebih berjaga-jaga dalam segala hal. Peminat-peminat, bahkan haters lebih memerhati setiap gerak-geri kamu,” ujar Ikmal lagi.

Bagaimana kamu menghadapi gelombang negatif yang datang dari warganet? Tanya saya pada Nabil.

“Kalaulah saya diberi kuasa, saya mahu membuka minda mereka. Minda-minda yang tertutup, tidak dapat menerima perubahan atau yang sukar menghadam penjelasan serta kapsyen yang dimuatnaik di Instagram atau Facebook saya. Mungkin mereka sekadar membaca secara semberono dan membuat andaian sendiri. Sebagai peminat, khususnya golongan muda, saya sarankan supaya kamu berfikir secara positif dan baik-baik sahaja. Biar orang berbuat jahat kepada kita, jangan kita berbuat jahat pada orang lain.”

Eterna Kontiki Bronze Manufacture
“Kita tidak boleh menghukum dengan hanya perkara kasar yang kita nampak. Itulah nasihat saya kepada sekalian warganet semua” – Nabil AQIL

Benar kata-kata yang diluahkan kedua mereka. Terpancar sinar harapan pada mata mereka yang berkaca-kaca, bersungguh-sungguh menjelaskan dan berharap pada warganet sekalian agar memberi mereka ruang sebagai pelakon lelaki yang baru sahaja bertapak di industri lakonan ini.

“Saya nasihatkan kepada mereka yang ingin bergelar pelakon. Pengalaman buruk seperti dimarahi pengarah adalah suatu perkara biasa. Ia proses pembelajaran. Tiada siapa yang sempurna. Lama-kelamaan kamu akan belajar bagaimana untuk berlakon dengan teknik-teknik yang betul dan sempurna. Garang tanda sayang.

Perkara paling saya suka ketika berlakon adalah suasana yang dilalui sepanjang di set penggambaran. Kami rapat dengan kru dan pelakon-pelakon lain seakan keluarga. Ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Kamu akan lupa jika kamu dimarahi sebelumnya kerana ada ramai lagi yang akan menyokong kamu dari belakang dan mengajar kamu jika kamu tersilap,” terang Nabil sambil tertawa kecil.

Sedangkan Ikmal berkata, “Pengalaman yang paling saya tidak boleh lupa sepanjang bergelar pelakon adalah ketiadaan wang ringgit untuk ke set lakonan. Saya nekad ke Nilai, Negeri Sembilan untuk melakonkan watak extra dan hanya mendapat upah sebanyak RM50 sahaja. Saya fikir ini modal lakonan yang saya akan ingat sampai bila-bila. Untuk menimba ilmu dalam bidang lakonan, saya sanggup tempuhi semua ini. Bukan senang menjadi pelakon di Malaysia. Kamu perlu azam dan iltizam yang kuat,” tawa Ikmal sambil mengenang kembali saat awal dia berlakon lewat tahun lalu.

Menamakan Syafiq Kyle sebagai idola, Nabil teringin untuk melakonkan watak polis atau unit berseragam, “Kalau di Malaysia, pekerjaan-pekerjaan ini dianggap mulia oleh masyarakat. Saya membesar dengan filem-filem aksi, penyiasatan dan kepolisan. Saya mahu merasai bagaimana menjadi seorang polis. Saya mahu meletakkan diri saya dalam situasi mereka.”

Kalau kamu bergelar pengarah pula? Filem jenis apa yang akan kamu arahkan? Apa yang kamu akan lakukan? tanya saya pada Ikmal pula.

“Saya rasa akan mengarah filem bertema kolej. Tentang kisah-kisah budak asrama yang nakal. Sebab saya asalnya bersekolah asrama dan saya telah berjumpa dengan ramai pelajar serta pelbagai kisah menarik yang boleh dipentaskan dalam filem. Pelbagai cerita, cukup rempah dan warna,” jawab Ikmal ringkas.

Eterna Super Kontiki
“Saya memilih masa berbanding wang. Dengan masa kita boleh menghasilkan wang. Benarlah kata orang, masa itu emas. Ia jauh lebih berharga” – Ikmal Amry.

Sebelum menutup bab pertama ini, Nabil sempat mencelah, “Syafiq Kyle memula langkah lakonan dengan drama. Terlalu banyak drama yang telah dia lakonkan. Daripada berbadan kurus, sehingga berisi, berbalik kepada kurus semula sekarang, dia tak pernah putus semangat untuk berlakon drama.

Saya mengikuti nasihat bapa untuk mencontohi kesungguhan Syafiq Kyle, yang kebetulan adalah bapa saudara saya sendiri. Saya harap karier lakonan saya diterima sampai ke Indonesia. Sekiranya ada rezeki di lapangan ini, saya akan terus-terusan berkarya,” habisi Nabil dengan senyuman.

Jesh Thiam menyarung Prada & Raja Atiq dalam Tommy Hilfiger

ATIQ AZMAN & JESH THIAM

Pada mulanya, kami ingin menggandingkan Jesh Thiam bersama Daler Yusuf kerana mereka berdua bukan Melayu dan bukan orang Malaysia, yang pandai pula bertutur kata dalam bahasa Melayu. Daler orang Uzbekistan dan Jesh Thiam berasal dari Iran. Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan dan kekangan masa dan jadual mereka yang padat, kami injak Atiq Azman (yang sepatutnya bersama Isa Khan) bergandingan bersama Jesh Thiam.

“Saya suka memaparkan kebaikan-kebaikan yang perlu dicontohi kepada penonton, umumnya golongan belia.

Saya akan cuba sedaya upaya menyampaikan mesej-mesej positif kepada mereka. Misalnya, babak anak derhaka. Banyak pengajaran yang boleh disampaikan kepada mereka. Saya harap mereka (belia) sedar tentang kesan positif yang cuba saya sampaikan.

Juga bersedia mencuba lakonan yang lebih mencabar, yang belum pernah saya cuba seperti watak penjahat, orang kelainan upaya dan watak antagonis. Semua watak saya mahu cuba. Alhamdullilah, minat berlakon itu datang sendiri dan berkembang sehingga kini.

Kehidupan saya sebagai pelakon muda pula sama sahaja seperti dahulu. Saya gemar berkawan. Saya suka menyanyi dan merakam video, sama sahaja seperti belia-belia yang lain. Saya juga mengambil kesempatan di waktu lapang untuk berlatih bagi memantapkan lagi mutu lakonan saya. Baca skrip dan fahami mendalam jalan cerita dan dialog yang ingin disampaikan,” ujar Atiq Azman yang berada di bawah naungan Onechinoiz Studios ini.

Eterna Super Kontiki
“Tular adalah suatu perkara yang baik. Ia penting dari sudut pemasaran dan exposure. Tular juga membuatkan saya lebih dikenali” – Atiq azman

Sebelum terjun ke bidang lakonan, Jesh Thiam sudah pun berkecimpung dalam bidang peragaan sejak 2014. Menariknya, dia tidak pernah menghadiri mana-mana institusi lakonan sepanjang hidupnya, “Saya rasa mereka mendekati saya kerana saya orang Iran yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu. Saya rasa itu sebab utama kenapa mereka mengambil saya sebagai pelakon mereka. Segelintir orang beranggapan bahawa bidang lakonan ini suatu perkara yang mudah. Kerja senang, upah yang lumayan dan senang buat nama menempa populariti. Mereka salah. Bidang lakonan bukan perkara mainan.

Dalam dunia lakonan kamu harus tahu apa itu maknanya ‘berlakon’. Sama seperti peragaan, kamu harus pandai mengekspresi. Muka garang, ceria, berduka dan sebagainya. Namun selalunya kamu harus mahir beberapa riak wajah sahaja dalam satu-satu iklan komersial atau melewati pentas peragaan. Lain pula di bidang lakonan, ia lebih mendalam. Kamu perlu tahu bagaimana untuk menangis, meraung dan gembira dalam satu masa yang sama. Watak itu harus kamu bawa dengan sesungguhnya. Boleh saya katakan, bidang lakonan lebih mencabar,” jelas Jesh membuka bicara.

Mendengar jawapan Jesh dalam Bahasa Melayu dengan sedikit pelat yang comel, membuatkan saya penasaran ingin tahu bagaimana dia, seorang yang berbangsa Parsi boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan fasih dan baik sekali.

“Saya menetap di Malaysia semenjak usia 13 tahun. Saya mula mempelajari Bahasa Melayu pada usia 15 tahun kerana mempunyai ramai kawan-kawan daripada komuniti Melayu. Saya belajar dan mengamati percakapan mereka setiap kali kami melepak bersama. Saya jadi ingin tahu dengan apa yang mereka tuturkan sesama mereka. Apa yang mereka ketawakan. Itu sebab utama kenapa saya mempelajari Bahasa Melayu,” tawa Jesh.

Eterna Super Kontiki
“seorang yang amat pemalu. Lakonan memberi suatu inspirasi & membantu saya mengatasi” – Jesh Thiam

Jesh menambah, “Saya berkawan dengan Daler kerana kami berdua peragawan. Saya mengenali dia semenjak 2015 lagi. Kemudian dia menawarkan saya satu watak untuk drama yang bertajuk ‘Encik Suami Mat Salih Celup’. Dalam drama itu saya berlakon sebagai abang kepada Daler yang memegang watak utama. ‘Encik Suami Mat Salih Celup’ adalah drama pertama lakonan saya.

Krew produksi dan Hashim Rejab selaku pengarah sangat ramah. Mereka faham benar yang saya dan Daler bukan orang Melayu dan bukan berasal dari Malaysia, jadi sedikit sukar buat kami untuk menghafal skrip dalam Bahasa Melayu. Ia drama komedi, mereka tidak kisah jika kami tidak mengikut sepenuhnya skrip yang telah disediakan, asalkan ia lucu dan kena dengan babak.

Berlainan pula dengan drama saya yang kedua bertajuk “Jadikan Aku Yang Kedua” arahan Rashid Sibir di Astro Oasis. Ia drama yang lebih serius dan berunsur Islamik. Mereka terpaksa memotong beberapa rangkap skrip kerana saya mengalami kesukaran untuk menghafalnya. Ada kira-kira 30 babak yang perlu saya lakonkan. Di satu sudut, saya sampai menangis kerana tidak tertampung beban. Soalnya skrip itu dalam bahasa baku, saya tidak mempelajari Bahasa Melayu secara formal. Mujur Yana Samsudin dan kak Adibah Noor banyak membantu saya sepanjang sesi penggambaran.

Kemudian saya dilamar Erma Fatimah untuk drama ‘Mok Cun 3’. Penggambaran ini hanya mengambil masa sehari dan lima jam sahaja. Saya melakonkan watak sampingan. Yang istimewanya, produksi ini tidak memberi sebarang skrip. Mereka hanya memberi situasi. Saya berlakon secara spontan dan bersahaja. Kami menari sesuka hati.  It was fun. Erma Fatimah was so fun,” ucap Jesh tak berhenti kalimah.

Daler Yusof beraksi dalam Paul Smith & Isa Khan bersama sepersalinan Versace

DALER YUSUF & ISA KHAN

Babak ketiga untuk #STAILNewActors ini kami persembahkan gandingan Daler Yusuf dan Isa Khan.  Orangnya manis dalam senyuman dan berhidung mancung dan tinggi. Seperti Jesh Thiam, Daler Yusuf juga menceburi bidang peragaan terlebih dahulu sebelum bergelar pelakon.

“Sejak belajar di kolej lagi saya menyimpan niat untuk berlakon. Namun saya memulakan langkah seni sebagai peragawan sedari usia 18 tahun. I’ve been modelling around six, seven years.

Kemudian, barulah saya ditawarkan berlakon oleh seorang penerbit yang menghadiri salah satu pertunjukan fesyen yang dilewati saya. Dek kerana penguasaan Bahasa Melayu saya belum lagi sempurna ketika itu, saya dinasihatkan untuk mempelajarinya secara mendalam terlebih dahulu.

Setelah dua tahun, barulah saya berani untuk pergi ke sesi ujibakat untuk filem. Alhamdullilah saya dapat watak utama untuk drama yang bertajuk ‘Encik Suami Mat Salih Celup’. Ini adalah drama pertama saya sebagai hero. Sebelumnya, saya hanya berlakon sebagai watak sampingan di drama ‘Tuan Anas Mikael’ lakonan Aaron Aziz dan Zara Zya.

Ia pengalaman yang cukup berharga buat saya. Hari-hari ada penggambaran, saya harus hafal dialog dan faham apa maksud setiap perkataan itu bagi saya menyampaikan lakonan yang terbaik. Nelydia Senrose banyak membantu. Sejak itu, saya mendapat banyak tawaran berlakon,” awali Daler Yusuf.

Isa Khan pun mencelah, “Sebenarnya bermula dengan teater. Saya giat berlakon sedari usia muda. Berlakon untuk filem pendek dan iklan-iklan komersial. Kerana itu, saya memang sudah terbiasa dengan kamera. Syukur saya diberi kesempatan untuk berlakon sampai ke hari ini. Terima kasih kepada penerbit dan pengarah kerana tak berhenti sudah memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus berlakon.

Eterna Super Kontiki
“Sebagai pelakon & penyanyi, saya amat mementingkan kualiti berbanding kuantiti” – Isa Khan

Bergelar pelakon bukanlah suatu hal yang mudah. Pelakon datang dan pergi. Masing-masing punya stail dan gaya mereka yang tersendiri. Yang membezakan mereka adalah cara mereka menginspirasi. Bagaimana mereka boleh menakluki minda sang penonton dengan hanya skil lakonan mereka.

“Saya masih mencari identiti saya sebagai seorang selebriti. Bagi saya, itu sangat penting. Perkara ini mengambil masa. Untuk mendapatkan kualiti, bukan kerja sehari dua. Mereka (pelakon senior) pun mengambil masa, ada yang sampai berpuluh tahun baru berjumpa. Saya percaya suatu hari nanti saya akan jumpa identiti yang saya selesa melakonkannya.

Dan cabaran terbesar saya sebagai anak seni bermula semasa di sebuah rancangan nyanyian terkenal di negara ini beberapa tahun yang lalu. Di sini lah bermulanya karier nyanyian saya secara arus perdana di Malaysia. Sampai sekarang saya tak akan lupa. Saya terlalu mencuba.

Saya terlalu mahu menjadi juara sampai memberi tekanan kepada diri dan mutu nyanyian saya. Pada akhirnya, saya tak dapat sampaikan apa yang sepatutnya saya mampu sampaikan. Saya tidak melihat ia sebagai tanda kekecewaan, tetapi suatu pengajaran bagi saya. Satu pengajaran yang sangat bermakna,” imbas Isa Khan.

Bagi Daler Yusuf pula, cabaran terbesar yang terpaksa dipikulnya sama seperti Jesh Thiam. Sebagai bukan Melayu yang berkelana ke Malaysia sejak pengajian tinggi, Daler akur memang terdapat beberapa kesulitan untuk dia mempelajari Bahasa Melayu, sebelum dia mampu menguasainya seperti sekarang.

“Pada awalnya, saya rasa semua bahasa di dunia sukar untuk kita bertutur dengan lancar. Semua orang berkata Bahasa Melayu ini senang sahaja. Namun bagi orang luar seperti kami, kamu harus mempelajari dari dasar. Bagaimana mahu menyampaikan dialog dengan gramatis tanpa tatabahasa yang cacat cela. Semua perkara-perkara teknikal seperti itu.

Saya belajar dan beri tumpuan yang sepenuhnya untuk menguasai Bahasa Melayu. Pada mula saya belajar dengan guru Bahasa Melayu, tetapi oleh kerana dia pun bukan orang Malaysia asli, dia mengajar ada slanga yang saya rasa lebih menyukarkan. Kemudian saya belajar dengan orang tempatan, tetapi atas sebab jadual yang padat, dia selalu tiada.

Akhirnya saya nekad untuk belajar sendiri. Saya mula bergaul dengan orang Melayu untuk mendalami bahasa dan budaya mereka. Senang belajar dengan mereka. Kawan-kawan Melayu saya banyak membantu. Saya akan berbual dengan mereka dan mereka akan memperbetulkan Bahasa Melayu saya.

Saya juga menonton filem Melayu di wayang untuk mempelajari bahasa tubuh dan dengar langgam bahasa pasar yang betul. Di Youtube, saya tonton drama-drama Melayu dengan sarikata Inggeris. Saya beli majalah Melayu. Saya baca dan cuba fahamkan. Mana perkataan yang saya tidak faham, saya akan tulis semula di buku nota dan cari makna perkataan itu di kamus. Daripada situ saya belajar Bahasa Melayu,” bahas Daler Yusuf tentang pengalamannya mengenali bahasa kita.

Eterna 1856 Skeleton
“Pertama, harus punya rupa. Kedua, bakat & ketiga, tuah” – Daler Yusuf

Sebagai pelakon, mereka mempunyai pengaruh kerana mempunyai jutaan peminat dan pengikut di laman media sosial. Sebagai pekerjaan yang dikenali masyarakat, pelakon patut berikan contoh yang terbaik. Tunjukkan tauladan yang baik kepada masyarakat yang menonton agar melekat kesan dan membekas di sanubari mereka.

Memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai pelakon, Isa Khan juga bergelar penyanyi, “Sebagai pelakon, saya amat mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Kerana bagi saya populariti dan kuantiti hanya sementara. Kualiti pula akan bertahan lebih lama. Lama-lama peminat akan lihat dan hargai kualiti kamu sebagai seorang selebriti.

Namun jika kamu adalah pelakon yang terkenal tetapi tidak menunjukkan contoh baik untuk generasi mendatang, ia salah. Mereka yang menyimpan impian untuk menjadi selebriti suatu hari nanti akan terpengaruh dan beranggapan menjadi terkenal lebih penting daripada kualiti. Ini akan menyebabkan lambakan pelakon tidak bagus untuk industri Malaysia di masa hadapan.

Dan pengurusan masa sangat-sangat penting untuk pelakon dan penyanyi seperti saya. Saya akan fokus pada satu-satu pekerjaan terlebih dahulu. Misalnya, jika saya kunci bulan berkenaan untuk berlakon, saya akan tinggalkan dunia muzik seketika. Selesai semuanya, barulah saya fokus untuk pekerjaan seterusnya.

Dunia muzik dan lakonan adalah dua dunia yang berbeza. Perasaannya lain. Suasananya pun berbeza-beza. Seperti yang saya bilang sebelumnya, yang penting adalah kualiti, bukan kuantiti. Apa kata kita fokus pada satu-satu perkara supaya dapat menghasilkan suatu karya yang benar-benar berkualiti untuk semua,” ujar pelakon kacukan Pakistan di sebelah bapa dan cina di sebelah ibu ini.

Adapun industri perfileman negara dewasa ini terlihat seperti lebih mementingkan rupa berbanding bakat. Sengaja saya pancing soalan seterusnya, melihat apa jawapan yang bakal diberikan jejaka Uzbekistan ini, “Secara amnya, YA. Namun bila kita tiada bakat, lama kelamaan walaupun kamu ada rupa sekali pun, penonton akan lekas jemu dan bosan. Kita harus memberikan yang terbaik jika mahu kekal di industri ini.

Itu isu yang saya harus akui dan tidak menafikan. Pertama, kita harus punya rupa. Kedua, tentu sekali bakat. Dan ketiga, tuah. Saya melihat ramai sahaja yang memiliki rupa dan bakat tetapi tidak dikenali dan dipandang sepi. Kalau ada ketiga-tiga faktor ini, saya kira kamu ada pakej lengkap.

Rupa adalah untuk jangka masa pendek, manakala bakat lebih penting, di mana ia membawa kamu ke hadapan untuk satu jangka masa yang panjang.” – Daler Yusuf

Strategi lima tahun saya, saya mahu karier lakonan saya lebih stabil dan berada di tingkat lakonan atas. Saya mahu penguasaan Bahasa Melayu yang lebih lancar, saya boleh bicara seperti orang Malaysia. Akhir sekali, saya mahu membuktikan yang saya bukan hanya pelakon yang sekadar ada rupa, tetapi turut diperkaya dengan bakat,” akhirinya.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE