SEARCH

Wanita Kenamaan Jual Produk Pek Semula Dari China, Makan Duit Hartawan Untuk Kelangsungan Hidup

Wanita Kenamaan Jual Produk Pek Semula Dari China, Makan Duit Hartawan Untuk Kelangsungan Hidup

Sejak bertemu Norma di majlis anjuran tempat saya bekerja tempoh hari (ditulis dalam Kisah Dalam Kelambu sebelum ini), saya tidak lagi berpeluang untuk bersua muka dengan Norma selepas itu. Sekali-sekala ada juga saya terdengar Anna dan Azri menyebut-nyebut nama Norma ketika berbual di pejabat namun tidak sempat pula saya hendak memasang telinga mencari tahu butir perbualan mereka. Tak sabar rasanya hendak bertemu Norma lagi, supaya saya boleh mengorak langkah untuk mengenalinya dengan lebih dekat. 

Tengah hari itu, saya window shopping secara onlineTak ada barang spesifik yang saya mahukan, sekadar menjengah ke akaun Instagram tempatan yang menawarkan pelbagai jenis produk. Ada yang menjual kosmetik, produk pelangsingan, kanta lengkap malah produk peninggi pun ada. Gila. Sudahlah menjual produk yang tidak masuk akal, berani pula mereka sertakan testimoni palsu untuk memanipulasi pengguna Malaysia ini yang rata-ratanya mudah sangat percaya dengan tipu helah sesetengah peniaga.

Produk penjagaan wajah dan kosmetik jangan cakaplah, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Semuanya saling berlumba-lumba hendak menghasilkan produk sendiri. Jika si A tampil memperkenalkan serum maka si B juga sibuk hendak menjual serum yang ‘konon’ nya diformulasikan sendiri, padahal kita semua tahu dia cantik bukan kerana menggunakan produknya sendiri, tapi kerana dia sudah pun berhabis ribuan ringgit di klinik penjagaan kulit terkenal bagi memastikan kulitnya kekal mulus dan cerah bak kulit telur.

Sedang saya leka skrol Instagram, saya terhenti di salah satu akaun perniagaan milik wanita kenamaan. Dia mengusahakan beberapa jenis perniagaan. Ada produk penjagaan wajah, ada juga jenama bajunya sendiri dan kalau tidak silap ada lagi beberapa perniagaan lain. “I suka jenama ‘X’ ni, I pernah pakai produk dia” kata saya kepada teman sekerja, namanya Alia. Alia menoleh ke skrin telefon pintar saya “You suka? Produk ni kalau tak silap I dia hanya packing semula, ambil dari China”. Kata-kata Alia itu buatkan saya terdiam. Biar betul? Habis selama ni yang aku pakai dekat muka hari-hari tu produk China yang entah bercampur racun dan bahan kimia ke? Bisik saya dalam hati.

“Dia ambik dari China dengan kos kurang dari seringgit lepas tu jual semula dengan harga tak masuk akal,” Alia masih bercerita. Sekali lagi saya terkejut. Macam ni ke cara orang kaya buat duit? Maka tak hairanlah kalau yang kaya makin kaya, yang miskin? Terus ditipu dengan si kaya barangkali. “Mana you tahu?” Tanya saya sekadar mahukan kepastian. “Dah kecoh benda ni, orang-orang yang rapat dengan Kamsiah owner produk ‘X’ semua tahu dia ambik barang dari sana.” Saya mengangguk, namun tidak menjawab memberi ruang buat Alia meneruskan bicaranya.

“Sebelum ni ramai dah mengadu setiap kali lepas pakai produk ‘X’ kulit akan jadi kering dan menggelupas.” Terang Alia lagi setiap kali jenama ini menerima kritikan atau feedback yang kurang menyenangkan mereka akan segera memberi alasan kononnya cara penggunaan produk tidak betul, misalnya sebelum menggunakan produk ‘X’ pengguna harus skrub wajah terlebih dahulu untuk kesan yang lebih baik. Kalau alasan itu pun tidak jalan, paling senang mereka akan katakan kulit pengguna terlalu sensitif untuk produk berkenaan. Yada… Yada… itu semua hanyalah ayat-ayat klise yang sering dipraktiskan untuk mengaburi mata orang ramai.

You tau tak si Kamsiah tu bukannya berharap sangat dekat hasil jualan produk dia? Hidup dia pun sekadar menumpang harta orang lain, kalau nak harap jualan barang dia yang tak seberapa tu memang tak merasalah dia hidup mewah dan berjalan sakan ke luar negara.”

Boleh tahan juga mulut si Alia ni, saling tak tumpah macam mulut Norma bila mengumpat hal orang. Tak perlu disuruh dia sendiri sudah galak bercerita. “Haa you tak tahu kan?” Tanya Alia, saya sekadar geleng dan ketawa. Terhibur melihat kerenah Alia yang sakan hendak mengata orang lain. Kata Alia, Kamsiah cucu ahli politik terkenal. Datuknya sangat berpengaruh sehingga ramai orang-orang kaya terhutang budi dengan arwah datuknya dek kerana pertolongan arwah mendapatkan projek besar buat orang-orang kaya ini. Tapi sayang, tiada siapa dalam keluarga Kamsiah mewarisi kepintaran mahupun kehebatan arwah dtuknya dalam bidang politik.

“Okay jadi Kamsiah ni dapat duit dari mana sampai dia boleh hidup mewah macam tu?” Giliran saya pula bertanya, yelah kalau sudah meniaga pun tak begitu mendatangkan hasil, keluarga pula sudah tidak mempunyai orang berpengaruh macam mana boleh dia hidup senang-lenang. “Keluarga dia ditanggung seorang hartawan. Dulu hartawan ini pernah berjanji dengan arwah datuk Kamsiah bahawa dia akan menjaga seluruh keturunannya.” Ternganga mulut saya mendengarkan jawapan Alia, jaga seluruh keturunan? Pastinya itu bukan sikit-sikit belanja.

Kalau tidak silap, ramai di kalangan keluarga Kamsiah melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bayangkan hendak menanggung biaya pembelajaran sahaja sudah berapa ratus ribu? Itu belum lagi duit belanja mereka. Keluarga lain yang menetap di Malaysia lagi? “Setiap bulan ahli perniagaan tu akan beri duit kepada salah-seorang ahli keluarga Kamsiah, kemudian dibahagi-bahagikan kepada saudara-mara yang lain,” jelas Alia sebelum dia mengakhiri sesi ‘membawang’ pada tengah hari itu. Saya pun tidak lagi bertanya lebih-lebih selepas sesi itu tamat. Masih bingung memikirkan kekayaan hartawan tersebut, tapi sudah namanya pun hartawan tidak peliklah kalau dia mampu menampung belanja besar seperti itu.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE