SEARCH

Bercerai Lebih Baik Daripada Mati Di tangan Suami Kaki Pukul

Bercerai Lebih Baik Daripada Mati Di tangan Suami Kaki Pukul

Gambar : Pinterest

Perkahwinan sering diibaratkan sebagai satu perjudian, ada yang bernasib baik mampu bertahan dan kekal bahagia sehingga ke hujung nyawa. Merempuhi segala dugaan dan cabaran bersama kerana cinta yang kekal bersemarak di dalam diri mereka. Sementara ada pula yang kurang bernasib baik, apabila rumah tangga yang mulanya dibina atas dasar cinta kecundang di tengah jalan. Perpisahan atau perceraian ini adalah perkara yang paling digeruni pasangan yang sudah berkahwin mahupun individu bujang yang merancang untuk mendirikan rumah tangga, entah kenapa gelaran janda atau duda itu bagaikan sangat berat untuk dipikul. Saya percaya sebenarnya ramai yang takut akan gelaran tersebut kerana risau akan cakap-cakap orang yang tak pernah penat hendak mengata hal rumah tangga orang lain.

Benar perceraian seeloknya dielakkan, tapi kalau sampai hidup kamu sudah terseksa seperti dalam penjara maka tak perlulah kamu menjadi bodoh dengan alasan kononnya masih setia menunggu pasangan kamu berubah menjadi lebih baik. Memadailah kalau kamu berikan satu atau dua peluang sahaja. Tapi jika sudah berkali-kali dia melukai hati dan perasaan kamu, eloklah kamu angkat kaki dan tinggalkan saja si tak guna itu. Lebih kurang beginilah nasihat yang saya berikan kepada Nurin ketika dia mengadu akan perihal rumah tangganya kepada saya tak lama dahulu. Nurin sepupu saya. Kami membesar di kawasan perumahan yang sama jadi sehingga dewasa lah kami rapat dan sering bertukar cerita termasuklah hal peribadi masing-masing.

“Benar perceraian seeloknya dielakkan, tapi kalau sampai hidup kamu sudah terseksa seperti dalam penjara maka tak perlulah kamu menjadi bodoh dengan alasan kononnya masih setia menunggu pasangan kamu berubah menjadi lebih baik.”

Masih segar dalam ingatan saya detik Nurin mengumumkan perancangannya untuk berkahwin. Wajahnya berseri-seri dan terlihat gembira sekali. Saya tumpang senang, walaupun jauh di dasar hati saya tertanya-tanya apakah Nurin yakin dengan keputusannya ini? Nurin masih muda, ada masa depan yang cerah menantinya. Tapi dalam fikiran saya yang cuba bersangka baik ketika itu saya percaya meski Nurin sudah mendirikan rumah tangga dia masih mampu mencapai impiannya. Lagipun ramai sahaja kaum isteri di luar sana yang berjaya mencipta empayar mereka sendiri, masakan Nurin tidak boleh?.

Bakal suami Nurin, si Azim itu pula bukan calang-calang orang. Dulu dia pernah menempa nama dalam bidang peragaan dan pengiklanan namun tak lama selepas itu Azim nekad mahu mempunyai kerjaya yang stabil. Lalu dia membuat keputusan menerima tawaran kerja di salah sebuah syarikat terkemuka. Jawatan yang disandangnya juga boleh tahan besar. Sehingga ramai di kalangan teman-teman Nurin mula cemburukan Nurin yang berjaya menambat hati Azim.

Tak lama selepas mereka melayari alam rumah tangga bersama, Nurin sudah mula merasakan ada yang tidak kena dengan Azim “Mula-mula dia nak aku berhenti kerja. Aku turutkan sebab nak jadi isteri yang baik. Tapi selepas 5 bulan kahwin dia mula tak beri aku duit belanja.” Kata Nurin, Azim ada masalah di tempat kerjanya jadi mereka terpaksa bercatu dalam berbelanja. Kadang-kadang sampai seminggu Nurin hanya mampu masak nasi goreng dan mee segera bagi mengalas perut. Hendak beli lauk lain untuk masak dia tidak berduit. Segala duit simpanan yang ada Azim sudah keluarkan dengan alasan perlu membayar bil dan melangsaikan pelbagai hutang lain yang tertunggak. Walhal, setahu Nurin mereka tidak pernah berhutang dengan sesiapa sebelum ini tapi kerana mahu menjadi ‘isteri yang baik’ dia diamkan saja.

Azim halang Nurin daripada terus bekerja dengan alasan yang paling tak munasabah pernah saya dengar – hanya kerana dia takut lelaki lain akan mendekati Nurin. Pernah juga Nurin berkeras mahu sambung bekerja kerana risau tentang masalah kewangan yang mereka hadapi, tapi setiap kali dia berkeras maka setiap kali itu jugalah Nurin perlu bersedia untuk disepak dan diterajang Azim. Peliknya, Azim bagaikan lupa apa yang dia lakukan, jika sekejap tadi dia marah dan memukul Nurin tanpa belas kasihan tak lama kemudian dia akan kembali normal dan berkelakuan seperti tak ada apa yang terjadi. Kadang-kadang Azim memujuk Nurin untuk minta bantuan kewangan dari ibu dan ayah Nurin. Bukan sahaja untuk belanja rumah tapi untuk belanja harian Azim juga. Nurin sendiri jadi pelik mengenangkan duit gaji Azim yang entah ke mana. Entah Azim habiskan kepada perempuan lain atau dia buat berjudi.

“Pernah juga Nurin berkeras mahu sambung bekerja kerana risau tentang masalah kewangan yang mereka HADAPI, tapi setiap kali dia berkeras maka setiap kali itu jugalah Nurin perlu bersedia untuk disepak dan diterajang Azim.”

Persoalan tentang ke mana duit gaji Azim akhirnya terungkai apabila rakan sepejabat Azim menghubungi Nurin. Alangkah terkejutnya dia apabila dimaklumkan Azim sudah beberapa bulan dibuang kerja kerana disyaki terlibat dalam masalah penyalah gunaan dadah dan sering mencetuskan huru-hara di pejabat. Hal kerja memang langsung Azim tak peduli sehingga banyak yang tertangguh. Dia masuk dan keluar pejabat sesuka hatinya, seumpama dia anak tauke perusahaan itu.

Apabila Nurin mengamuk tentang perihal ketagihan suaminya, Azim hanya akan menjawab ringkas, “Kau jangan sibuk.” Jika Nurin terus mengasak Azim dengan macam-macam persoalan lain maka merasalah Nurin penumbuk dan penampar Azim. Hidup Nurin berlanjutan menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental sehinggalah mereka dikurniakan seorang cahaya mata.

Azim pula dengan penuh yakin kembali mencuba nasib untuk menceburkan diri dalam bidang peragaan. Azim rasa dia masih ada karismanya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Barangkali kerana usianya yang masih muda serta berbekalkan rupa paras yang masih segak membuatkan dia pasti masih ada ruang untuk dia dalam industri yang pernah ditinggalkan satu ketika dahulu. Percaturan Azim itu membuahkan hasil apabila dia mula menerima beberapa tawaran peragaan, tapi wang hasil kerjanya itu masih lagi dihabiskan untuk membeli dadah. Sementara Nurin pula terpaksa tebalkan muka menagih simpati orang tuanya untuk membantu dia dengan menghulurkan wang setiap bulan demi kelansungan hidup dia dan anaknya.

Tak lama selepas itu Nurin mula sedar yang dia perlu bebaskan diri dari cengkaman lelaki tak berhati perut macam Azim. Mujur sahaja Nurin tidak terlalu taasub mengejar syurga di bawah tapak kaki suami sehingga sanggup biarkan diri sendiri ditindas lagi. “Tak ada apa perlu disedihkan Nurin. Kau berhak untuk dapat kebahagiaan sendiri dan kebahagiaan kau itu bukanlah bersama Azim.” Pujuk saya yang lega mendengar keputusan Nurin itu. Saya yakin dia boleh bangkit semula membina kehidupannya yang hampir hancur sebelum ini.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE