SEARCH

White Swan Menyerlah dalam Debut Swan Lake by Ballet West di Asia Tenggara

White Swan Menyerlah dalam Debut Swan Lake by Ballet West di Asia Tenggara

Swan Lake by Ballet West di Asia Tenggara

Aduh pabila mendapat tahu bahawa pementasan balet Swan Lake by Ballet West akan datang ke Malaysia bertempat di Genting Highland International Showroom, hati saya berdegup kencang. Saya sungguh teruja. Bukanlah pun saya ini peminat tegar balet sebenarnya, tetapi saya sangat meminati tarian balet. Ia seperti magis, kerana penari-penarinya seringkali cantik, tegak, tinggi lampai dan menari pula di atas hujung kaki. Saya sering membayangkan penari kecil dalam kotak muzik pabila menonton penari balet. Kerana itu saya jadi tak sabar. Mendapat pula undangan untuk menontonnya, secara formalnya dalam konteks menonton balet, Swan Lake, balet terkenal dunia bakal menjadi balet pertama akan saya tonton secara live. Ohhh… gembiranya saya tak terkira.

Sementelah ia berlangsung di Genting, saya juga memutuskan untuk menaiki glass gondola terbaru untuk naik ke puncak. Sebenarnya saya gayat cable car. Tetapi saya yakin setelah menaiki cable car beberapa kali dalam masa dua tahun ini, saya rasa saya mampu mengatasinya kali ini. Namun tak ya. Gayat dan ketakutan saya masih sama, terjerit-jerit persis perempuan gila dalam glass gondola terbaru ini. Jadi sesiapa yang menonton IG Stories Amy, @merrissae, pasti setuju bahawa sebenarnya pengalaman naik glass gondola saya jauh lebih magikal berbanding pertunjukan Swan Lake.

Tentulah tidak bagi saya. Persembahan Swan Lake lebih memukau. Di dalam buku informasi yang diberi sebelum persembahan bermula ada ditulis, “…is a celebration of the finest dancers of today’s generation. Be captivated, inspired. Fall in love…” Swan Lake pertama kali dipentaskan paa 1877 di Bolshoi Theatre, Moscow. Ia kisah dongeng bertemakan magis, cinta dan tragedi. Muzik gubahan Tchaikovsky sungguh mengusik jiwa sampai hari ini pun masih terngiang-ngiang di telinga. Memang inilah balet klasik yang wajib ditonton bukan sahaja oleh peminat tegar balet tetapi juga oleh yang baru-baru mahu mendekati.

Swan Lake by Ballet West di Asia Tenggara
Uyu Hiromoto sebagai angsa hitam
Cinta Antara Siegfried & Odette

Keseluruhan persembahan dipecahkan kepada empat babak utama. Ini kali pertama penari-penari Ballet West International Touring Company dengan kerjasama The Dance Company mempersembahkan Swan Lake di Asia Tenggara. Sebelum ini mereka pernah menjelajah Eropah dan China. Kesemua tiket habis dijual di lebih 40 kota.

Swan Lake berkisahkan tentang Putera Siegfried yang menyambut harijadinya dalam keraian yang penuh gemilang. Sebagai hadiah, permaisuri menghadiahkan puteranya sepasang panah. Permaisuri juga meminta puteranya ini memilih pasangan hidup di kalangan tetamu-tetamu yang akan hadir di majlis tari-menari keesokan hari. Putera kemudian terlihat sekumpulan angsa melintas dan sangat terpesona dengan kecantikan mereka. Dia lalu memutuskan mahu pergi memburu.

Pesisiran pantai Waldsee pula adalah kerajaan milik ahli sihir Rothbart yang menguasai Puteri Odette dan pengikutnya dalam rupa burung pemangsa. Odette dan dayang-dayangnya disumpah Rothbart menjadi angsa. Hanya pada waktu malam sahaja mereka akan bertukar menjadi manusia. Sumpahan ini hanya boleh dipatahkan dengan cinta sejati. Putera Siegfried yang sudah jatuh cinta dengan Odette bersumpah akan menjadi lelaki yang mematahkan sumpahan ini.

Di istana, majlis tari-menari sedang berlangsung. Tentunya tidak ada seorang perempuan pun yang dapat menambat hati Siegfried sehinggalah munculnya seorang bangsawan bersama anak perempuannya Odile. Siegfried menyangka Odile ialah Odetted dan Swan Lake. Rupanya bangsawan itu ialah Rothbart dan Odile pula sengaja merupai angsa hitam. Tarian antara Siegfried dan Odile membuat Siegfried jatuh dalam sihir Odile. Dia kemudian mengumumkan perkahwinannya dengan Odile di majlis tersebut. Dan kerana Siegfried telah mungkir janji, Rothbart dan Odile masih menawan Odette.

Dayang-dayang Odette cuba memujuknya kerana dia sedih mendapat tahu Siegfried akan mengahwini Odile. Siegfried kemudian tiba di tasik untuk memberitahu bahawa dia telah disihir Rothbart dan Odile. Odette memaafkan Siegfried dan cinta mereka kembali bertaut. Pun begitu dia nekad membunuh diri kerana dengan cara ini sahaja dia dapat bebas daripada sumpahan Rothbart. Siegfried memutuskan turut mati di sisi kekasihnya langsung mematahkan sumpahan Rothbart.

Swan Lake by Ballet West di Asia Tenggara
Penari di belakang pentas Swan Lake
Swan Lake by Ballet West di Asia Tenggara

Secara keseluruhan, balet ini sempurna dari segi persembahan dan muziknya. Tentunya ini tidak boleh disangkal lagi. Penari-penarinya juga sangat dedikasi dan passionate dalam persembahan. Cuma beberapa penari tergelincir di sana sini mungkin kerana tak biasa dengan lantai pentas yang baru buat mereka. Itu biasalah. Saya juga suka dengan watak angsa hitam yang diberikan kepada penari berasal Yokohama, Jepun bernama Uyu Hiromoto. Ini menampakkan sokongan Ballet West terhadap isu diversifikasi sementelah sesuai pula dengan kembara kumpulan ini di Asia. Tentunya kehadiran Uyu akan menarik minat lebih banyak penonton di Asia.

Pujian harus diberikan buat pemegang watak puteri angsa, Odette oleh penari Natasha Watson. Kecekapannya menari, gemalainya dan postur tubuhnya sungguh sempurna untuk watak ini. Dia cantik dan kurus memang sesuai sekali memegang watak angsa. Kemahirannya juga wajar dipuji kerana nyata nampak bahawa dia lebih bagus berbanding watak-watak sampingan. Saya terpesona dengan Odette. Tahniah kepada kumpulan Ballet West dan terima kasih The Dance Company kerana membawakan khas kumpulan ini di Malaysia. Usaha ini juga wajar disokong demi melihat Malaysia yang lebih terbuka dan moden serta bijak pula menghargai kepelbagaian budaya yang dapat mengayakan minda.

Jangan lepaskan peluang menonton Swan Lake by Ballet West di Genting Highland International Showroom. Ada lagi pertunjukan malam 31 Ogos dan 1 September 2018. Tiket dijual pada harga bermula RM388.

Swan Lake by Ballet West di Asia Tenggara
Dayang-dayang Odette

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE