SEARCH

Tengku Tak Mahu Bermenantukan Selebriti

Tengku Tak Mahu Bermenantukan Selebriti

Tengku Maream sudah muak benar dengan perangai anak bongsunya Aiman yang sibuk mahu berkahwin di usia muda. Memang betul kata orang, benda yang baik elok dicepatkan tapi kalau iya pun sudah tidak sabar sangat nak beristeri, sekurang-kurangnya carilah yang boleh menjaga makan dan minumnya dengan baik kelak. Bukanlah perempuan tidak jelas asal usul yang hanya bermodalkan wajah cantik untuk meraih cinta lelaki. Tengku Maream tahu, kebanyakan dari perempuan-perempuan yang mahu mendampingi anaknya itu semua hanya gilakan harta keluarganya. Aiman pula memang terkenal dengan perangai mata keranjang. Pantang ada yang cantik semua hendak dia sapu.

I pening kepala melayan kerenah si Aiman, dalam tempoh setahun ini sudah empat orang perempuan yang dia bawa balik ke rumah kenalkan kepada I dan Lokman (suami Tengku Maream), penat kami nasihatkan dia untuk nikmati sahaja masa mudanya dulu tapi langsung tak diendahkan. Bila kami reject setiap pilihan hatinya nanti dalam dua-tiga bulan dia kenalkan lagi dengan pilihan yang baru,” kata Tengku Maream pada Puan Sri Aliza ketika mereka sedang minum petang di salah sebuah cafe di Bangsar. “Biarlah dia kahwin, nanti ada juga yang boleh jaga dia,” Tengku Marean mencebik mendengarkan saranan teman baiknya itu. “I tak kisah, tapi pilihan dia itu semua tak pernah ada yang elok. Semuanya perempuan-perempuan yang nampak langsung tak boleh buat kerja rumah, macam mana dia nak jaga anak I nanti? Sudahnya kena ambil orang gaji juga untuk menguruskan rumah.”

Tengku Maream memang agak cerewet dalam soal permilihan menantu, pada dia kahwin bukan hal main-main. Dia tidak mahu kelak rumah tangga anaknya berakhir di tengah jalan. Jadi dia mahukan seseorang yang benar-benar sesuai untuk Aiman, kalau boleh biarlah orangnya seperti Tengku Maream sendiri yang bijak dalam menguruskan hal rumah tangga. Dia tak perlukan pembantu rumah ketika membesarkan Aiman dan kakaknya dulu. Segala makan dan pakai keluarganya Tengku Maream uruskan sendiri sehinggalah anak-anaknya meningkat dewasa.

Yelah, kalau dengan Diana,pun tak berapa setuju juga. Lagipun kalau tidak silap dialah perempuan simpanan Datuk Johar sebelum ini kan? Kecoh juga dulu dia pernah bergaduh dengan anak gadis Datuk Johar yang dapat hidu skandal bapanya itu. Sampai mahu bercerailah Datuk Johar dan Datin Aina dulu…”t

Baru-baru ini Aiman kenalkan pula teman wanita barunya, seorang selebriti TV. Orangnya memang cantik, maka tak hairanlah kalau Aiman gila bayang sangat dengan si gadis yang dikenali sebagai Diana itu. Tapi disebabkan Tengku Maream memang tak berkenan dengan Diana, cantik macam mana sekalipun tetap nampak tak elok pada matanya. “I tak tahulah apa yang dia nak kan sangat pada si Diana itu, I malu tau nak bermenantukan selebriti yang tidak berpendidikan. Anak-anak kawan I yang lain semuanya ada isteri daripada golongan baik-baik dan berpelajaran. Sementara I bakal bermenantukan artis yang hanya berpendidikan setakat SPM sahaja, mana I nak letak muka I Liza?” Puan Sri Aliza mengangguk faham. Lagipun dia kenal akan Diana, salah seorang selebriti yang boleh dikatakan agak ‘bermasalah’. Sebelum Aiman ada ramai lagi lelaki kaya lain yang cuba digodanya bagi memastikan dia dapat hidup senang-lenang makan harta suami sahaja seandainya dia sudah tidak popular lagi nanti.

“Yalah, kalau dengan Diana I pun tak berapa setuju juga, Lagipun kalau tidak silap dialah perempuan simpanan Datuk Johar sebelum ini kan? Kecoh juga dulu dia pernah bergaduh dengan anak gadis Datuk Johar yang dapat hidu skandal bapanya itu. Sampai mahu bercerailah Datuk Johar dan Datin Aina dulu.” Darah terasa menyerbu ke wajah Tengku Maream mendengarkan kata-kata Puan Sri Aliza itu. Dia tidak pernah tahu pula kisah Diana menjadi simpanan Datuk Johar. Lagilah dia tidak senang duduk memikirkan kehendak Aiman untuk beristerikan Diana. Sudahlah dia dengan Datin Aina boleh dikira agak akrab, nanti apa pula kata Datin Aina? Risau Tengku Maream perkara ini akan menjadi buah mulut rakan-rakan sekolompoknya di kemudian hari.

“Apa I patut buat sekarang Liza? Aiman nampaknya sudah gila bayang sangat pada Diana. Siang malam mulutnya hanya bercakap tentang kahwin. Sekarang juga dia sudah sibuk mahu menempah hall untuk majlis resepsi mereka.” Tengku Maream semakin buntu. Selalunya jika dia tidak berkenan dengan pilihan hati Aiman, anaknya itu akan akur sahaja, tapi kali ini nampaknya seperti agak berbeza. Aiman bagaikan sudah kemaruk sangat pada Diana. Sementara Diana pula memang pandai mengambil kesempatan, bila dilihatnya Aiman sudah tergila-gilakan dia maka mulalah dia mengatur strategi untuk ‘ikat’ Aiman dengan cepat. Barangkali takut terlepas peluang keemasan untuk menjadi menantu keluarga kaya-raya.

Puan Sri Aliza juga sudah mati kutu, tidak tahu lagi cara macam manalah yang harus dia cadangkan pada Tengku Maream untuk menghentikan perkahwinan ini selain daripada menceritakan kepada Aiman tentang perihal skandal Diana dan Datuk Johar dulu. Mana tahu, Aiman akan sedar yang perempuan dipilihnya itu tidak lebih daripada perempuan murah yang hanya pentingkan harta benda.

Mengambil kira cadangan Puan Sri Aliza, malam itu juga Tengku Maream ceritakan pada Aiman perihal apa yang dia dengar tentang Diana. Tapi Aiman sepertinya langsung tidak terkejut. Katanya “Let bygones be bygones Ma.” Walau apa pun terjadi Aiman nekad kali ini dia tidak akan mengalah dengan ibunya. Cukuplah selama ini dia turutkan segala kehendak Tengku Maream, kesemua pilihan hatinya sebelum ini ditolak Tengku Maream mentah-mentah tapi kali ini dia tidak akan lepaskan Diana. Malah katanya, jika Tengku Maream masih berdegil tak mahu bermenantukan Diana, dia tidak akan pulang lagi berjumpa Tengku Maream selepas ini.

Jadi mahu tidak mahu terpaksalah Tengku Maream mengalah, diturutkan juga kehendak Aiman untuk mengahwini Diana. Dengan syarat majlis perkahwinan mereka perlu dijalankan secara kecil-kecilan sahaja. Tengku Maream juga tidak mahu mengundang mana-mana teman dari kelompoknya, malu kalau mereka tahu siapa gerangan isteri Aiman. Tengku Maream serahkan semua urusan perkahwinan kepada Aiman bulat-bulat tanpa ada sebarang campur tangan. Malah dia hanya hadir sekadar untuk tunjuk muka di majlis perkahwinan Aiman, tak sampai beberapa jam di majlis akad nikah Aiman dia sudah panas punggung mahu pulang. Meluat benar rasanya dia dengan Diana.

Tapi Jauh di sudut hati Tengku Maream, dia berharap ada sinar kebahagiaan untuk Aiman. Walau apapun terjadi Aiman tetap anaknya, tidak sampai hati dia mahu melihat rumah tangga Aiman berpecah-belah. Mungkin dia memang tidak mampu menerima kehadiran Diana sekarang ini, tapi mana tahu satu hari nanti hatinya terbuka untuk berbaik dengan menantunnya itu. Tengku Maream sendiri tidak pasti sebenarnya bolehkah dia berbaik-baik dengan Diana? Bagaimana pula kalau rakan-rakan Tengku Maream mula tahu tentang Diana nanti? Pusing kepala Tengku Maream memikirkannya.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE