SEARCH

Tentang Raya, Hidup Yang Singkat & Meluahkan Perasaan

Tentang Raya, Hidup Yang Singkat & Meluahkan Perasaan

Genap sudah seminggu hari Raya berlalu. Semua umat Islam di Malaysia meraikannya. Waima dalam cara paling meriah atau sederhana bergantung pada pemahaman Raya masing-masing. Ya ada yang saya tengok beria-ia beraya. Memastikan sebulan puasa itu berganti dengan sebulan juga beraya. Tapi ada juga antara kita yang sekadar meraikannya beberapa hari bersama keluarga dan sahabat handai kemudian kembali semula kepada kehidupan biasa malah ada yang terus mula berpuasa enam mengejar pahala. Alhamdulillah.

Saya tidak mahulah komen banyak berkenaan hari Raya dan cara sepatutnya meraikannya. Kerana itu tergantung cara masing-masing. Tetapi yang saya boleh beritahu hanyalah pendapat saya sahaja tentang beraya. Pada saya Raya itu biarlah berpada-pada dalam cara paling sederhana. Kerana itu Tuhan menyuruh kita berpuasa. Puasa itu mengajar kita mendisiplinkan diri, bersederhana, menahan diri daripada menurut nafsu – secara amnya mencari keseimbangan dalam hidup.

Jadi amat rugilah jika setelah sebulan kita belajar mengimbangi hidup tetapi dibalas pula dengan meraikan beria-ia dan berlebih-lebihan. Bermula dari belanja untuk membeli baju raya kemudian kepada menukar kelengkapan rumah dan belanja jamuan raya. Ini belum lagi bercakap soal makan waktu raya. Aduh… kadang-kadang saya jadi gerun melihat lauk dan makanan yang diletakkan di atas pinggan orang yang makan raya. Tidak kecutkah perut kamu selepas sebulan mencatu makan? Apakah kamu tidak belajar langsung tentang menahan nafsu makan kamu dalam masa sebulan itu?

Nah di sinilah saya rasa silapnya pemahaman raya di kalangan kita. Kerana bagi kebanyakan mereka hanya mahu merai dan merai dan merai. Sedangkan saya rasa bukan itu yang sepatutnya diamalkan. Cukuplah sehari dua beraya. Ataupun kalau benar banyak sangat undangan raya, beringatlah untuk tidak keterlaluan waktu makan. Jangan sampai terbuntang makan sampai terlalu kenyang. Ini pasti akan memudaratkan kesihatan.

Sebulan sebelum puasa pula, banyaklah jenama fesyen tempatan yang sudah mula menjual baju raya. Tidak termasuk selebriti-selebriti yang bekerjasama dengan jenama-jenama seperti Jakel, Starvilion mahupun yang membuat koleksi sendiri. Orang ramai seperti hilang punca berpusu-pusu mencari baju raya. Lagaknya seperti tak pernah beraya dan tak pernah merasa memakai baju baru. Ohhh… mengapa sampai begitu? Tentulah jenama-jenama tempatan ini semua mahu membuat untung berlipat ganda sejak berjual sebulan sebelum puasa lagi tapi kita yang ada otak ni, janganlah mudah terpedaya dan merasa terpaksa membeli. Ini tidak, sampai berebut-rebut mahu baju baru. Apa selama setahun yang lepas, tidak sekali pun kamu membeli yang baru?

Belum masuk cerita sesetengah wanita yang menempah baju raya sepertikan mahu menghadiri majlis anugerah. Ya rabbi!!! Peplum peplum peplum… tak habis-habis. Semua mahu digelembungkan. Sampai seorang teman menyebut, baju kurung peplum patut diwartakan sebagai baju kebangsaan dek kerana melihat semua wanita mahu menggayakan siluet ini. Bukan kah lebih manis mengenakan baju kurung pesak yang polos atau berbunga kecil atau kebaya ringkas dipadan sarung bercetak indah. Nah itu pun memang baju kebangsaan kita. Bukan apa, saya rasa lebih sesuai dengan cuaca di Malaysia, selesa dan mudah pula untuk ke sini sana. Inilah jadinya kalau memakai hanya untuk ambil gambar Instagram. Peplum lah menjadi pilihan.

Saya akan menanti lah dengan sabar akan tibanya hari di mana rakyat Malaysia semua memahami erti raya sebenar. Pabila semua berpandukan kesederhanaan yang diamalkan sepanjang berpuasa. Paling lama pun sehari dua sahaja beraya menandakan kemenangan menakluk nafsu dan bersederhana dalam cara pun yang paling sederhana.

Hidup Yang Singkat…

Sejak seminggu sebelum berpuasa lagi, saya mendapat berita demi berita kematian. Di kalangan teman, sanak saudara dan kenalan. Malah pagi ini juga saya diberitahu tentang kematian kakak kepada kenalan saya kerana kanser. Salah seorang instructor spinning saya di Aloha Cycle Club kehilangan adik kesayangannya pada hari raya pertama dalam kemalangan jalan raya. Dia sendiri melihat mayat adiknya ditarik keluar dari kereta (mereka sedang konvoi pulang ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru, keretanya hanya 10-15 minit di belakang).

Saya tak dapat bayangkan betapa hancurnya hati dia mengenangkan apa yang terjadi. Semoga dia redha dengan ketentuan Ilahi. Hanya dengan cara ini dia akan dapat menerima dan menghilangkan kesedihan dalam diri. Seminggu sebelum Raya pula, bekas teman serumah saya 10 tahun lalu pergi bertemu Ilahi. Saya diberitahu dia menderita ulser perut dua tahun sebelum berlaku pendarahan awal tahun ini. Kembali sihat dia kemudian koma dan akhirnya meninggal dunia.

Saya tahu tidak bagus bercerita hal-hal kematian. Kerana ia membuat kita sedih, pilu dan sayu. Tetapi daripada berita-berita kematian inilah saya membuat kesimpulan betapa singkatnya hidup kita ini sebenarnya. Kita sendiri tidak tahu bila masa Tuhan akan menjemput kita. Sebenarnya pada bila-bila masa sahaja. Jadi ia juga mengingatkan saya untuk tidak menunggu sesiapa atau apa pun. Buatlah apa sahaja yang kamu mahu buat. Apa sahaja yang terlintas di minda, asalkan tidak memudaratkan… buatlah. Apa yang terjadi, terjadilah. Kita sama sekali tidak patut hidup dalam sesalan. “Ohhh… mengapa aku tak buat ya benda tu? Ohhhh ruginya aku tidak pergi trip itu… Ohhh… rugilah aku tak ambil peluang itu…”

Waktu kamu usia 17 mungkin kamu boleh kata, “Ohh aku ada banyak lagi masa…” Walaupun sebenarnya itu pun tidak tepat. Kerana sesiapa pun sama sekali tidak tahu berapa banyak masa yang mereka ada. Apa lagi saya yang hampir mencecah 40-an. Lagilah saya tak boleh buang masa dan melepaskan apa-apa peluang sekali pun selagi ia tidak merugikan. Terlalu banyak benda yang saya belum buat. Ada beberapa impian yang belum lagi tercapai. Saya tak percaya pada bucket list tetapi adalah beberapa perkara yang saya ingin buat dan masih belum dapat.

Menyedari yang hidup ini singkat, maka saya sering mengingatkan pada diri untuk tidak berlengah lagi. Ada masanya kita perlu berhenti sejenak mungkin hanya kerana tubuh penat dan perlu rehat. Tetapi pada masa-masa lain di mana tenaga sedang mengisi diri, bangkitlah, bekerjalah, berusahalah, bantinglah tulang selagi terdaya. Andai kata sakit datang menyinggah dan tubuh sudah tak larat, walau kamu sedar kamu sepatutnya patut buat sahaja banyak benda tetapi sudah tidak berguna lagi kerana tenaga pun dah tak ada. Lebih teruk kalau waktu itu hanya menunggu masa.

Maka Luahkanlah Sahaja Perasaan…

Daripada ini juga saya sedar bahawa saya tidak mahu lagi menyimpan perasaan. Hidup terlalu singkat untuk menyimpan dan tidak menunjukkan perasaan kita terhadap sesiapa atau apa pun di dunia ini. Perasaan yang tersimpan akan menjadi beban. Biar suka atau duka, benci atau kecewa, sakit atau marah – luahkan sahaja biar hati menjadi lega. Tiada lagi persoalan, “Should I, could I, would I?” yang sering akan menjurus kepada kenyataan “Could have, should have, would have…”. Ini semua tidak bagus untuk hati dan minda. Ia akan menjadi sel-sel yang bertelingkah sesama sendiri, berkelompok dan akhirnya menjadi barah dalam tubuh.

Jadi lebih baik untuk meluahkan. Apakah yang paling teruk boleh terjadi setelah kamu meluahkan? Bergaduh? Salah faham? Membenci? Sakit hati? Terus meluahkan. Luahkan melalui komunikasi. Berbual, bercakap dan bertanya. Perbincangan akan selalu membawa kepada penyelesaian. Inilah yang dunia kini perlukan. Dunia perlukan lebih banyak manusia yang meluahkan perasaan, kemudian berkomunikasi dan berbincang tentang apa pun.

Kerana daripada situ manusia belajar, berkongsi dan berukhuwah. Melalui luahan perasaan dan perbincangan kita dapat mengasah otak. Bagaimana kamu rasa cendekiawan dan ilmuwan zaman lampau menyelesaikan permasalahan kemudian menemui pula pelbagai ciptaan dalam dunia seni mahu pun sains? Daripada perbincangan dan perkongsian pendapat dan perasaan. Jadi apa kata kita membuat kata sepakat, untuk kita sama-sama sentiasa berkomunikasi dan berkongsi tentang apa pun mulai saat ini. Dan saya percaya daripada usaha ini, dunia akan menjadi lebih harmoni.

tentang raya

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE