Posted on December 1, 2020
Pembabitan saya bersama organisasi HIV / AIDS bukan untung telah mencelikkan mata dan tidak menyempadani pandangan saya. Baru-baru ini, saya mendekati malah mengawani beberapa pesakit HIV / AIDS untuk menjayakan satu projek khas. Mereka datang dengan ‘sehamparan’ harapan, berkongsi kisah pancarona mereka tentang kecekalan hati dalam menjalani kehidupan seperti biasa dan menyanggah rasa pesimistik mengenai HIV / AIDS. Sungguhpun dihimpit penyakit, mereka tidak membiarkannya membelenggu diri, sebaliknya sentiasa rasa sihat seperti sediakala. Sepanjang pertemuan kami, semua kisah mereka itu merangkum jiwa saya dan mencorakkan satu kesedaran.
Secebis pinta mereka ialah mengumpul dana atau mengutip derma daripada orang ramai, yang akan disalurkan sebagai bantuan. Bantuan bagi mereka yang memerlukannya dan menurut pemahaman saya, ia juga untuk ubat rawatan second line yang lebih kuat – mengurangkan beban virus.
Segenap dunia kini menyokong, sederap melangkah mengutip dana atau derma yang bertujuan untuk membantu dan melawan AIDS. Bukan sahaja badan-badan tertentu atau organisasi-organisasi bukan untung, malah ia sudah berkembang rancak ke ‘entiti-entiti’ lain, yang juga mahu terlibat sama. Termasuklah rumah-rumah fesyen ternama. Azam semerbak di dada untuk lantas melawan AIDS turut dijulang oleh jenama Louis Vuitton. Louis Vuitton tidak menunda matlamatnya, saban hari bernama satu Disember tiba, ia membulatkan tekad untuk mahu terus berjasa di atas nama kemasyarakatan.
Louis Vuitton sekali lagi berbimbing tangan dengan organisasi bukan untung, (RED) – organisasi yang diasaskan oleh Bono dan Bobby Shriver pada tahun 2006 – untuk sama-sama menoktahi AIDS!
Kerjasama yang terjalin antara Louis Vuitton dengan (RED) tahun lalu mempertaruhkan rangkaian lilin untuk meraih dana atau derma. Kali ini, mereka menghasilkan pula rangkaian kasut getah Louis Vuitton – kasut getah Louis Vuitton lelaki yang sudah menjadi aksesori utama, sejak julung kalinya diperkenalkan oleh Pengarah Artistik Virgil Abloh di atas pentas menswear musim bunga panas 2019 – yakni Louis Vuitton I (RED) dan melalui setiap pembelian kasut tersebut, 200 dolar akan dikutip, kemudian didermakan kepada Global Fund untuk melawan AIDS.
Demi hasrat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dan menjadi sebahagian daripada pertarungan (RED) memerangi AIDS, Louis Vuitton memperkasakan lagi rekaan kasut getah ini. Ia memilih rona merah merang dalam memperbaharui rangkaian kasut getah Louis Vuitton I (RED) dan sudah tentu, pemilihan rona merah itu diumpamakan sebagai lambang ia sealiran dengan rona utama organisasi (RED) serta reben merah Hari AIDS Sedunia. Merah tersebut meronai bahagian kemasan, piping, vamp, tapak serta bahagian sokongan tumitnya dan dikatakan ‘bernada’, menyampaikan mesej tertentu kepada orang ramai. Rekaannya pula – dari aspek estetik kesukanan dan siluetnya – tidak hanya membingkaikan retrospeksi, namun juga merujuk kepada siluet kasut sukan bola keranjang. Contohnya, mengambil rekaan kasut sukan bola keranjang versi low top, bahagian lidah kasut yang tidak panjang, dengan tapak luar getah (outsole) serta sokongan pada tumit belakang yang seolah-olah menjelmakan sifat tangkas kasut sukan bola keranjang low top sebenar.
Kasut getah ini turut menampilkan motif Monogram timbul pada bahagian tepi serta toe cap dan corak bunga Monogram-nya pula (yang sinonim dengan Louis Vuitton) ‘diletakkan’ pada bahagian tapak tengah.
Bersempena Hari AIDS Sedunia hari ini, kami mahu melafazkan Happy World AIDS Day!
Kasut getah Louis Vuitton I (RED) sudah mula dijual kepada umum bermula hari ini!
Apa pandangan anda?