Posted on December 15, 2020
Beg XS Louis Vuitton dan Shopper Bag Fendi antara beg yang mesti dipertimbangkan sang pria musim ini.
Ketika menyaksikan pertunjukan Fendi musim bunga panas 2021 di atas talian, ‘tersentak’ tiba-tiba, seraya menghela nafas dan mata sepertikan terkebil-kebil saat melihat beg shopper dijinjit oleh model-model lelakinya. Tersedik di hati, “Mungkinkah beg shopper ‘mesti milik’ kali ini?” Kerana mengenali diri, beg shopper tidak pernah pun terbayang dalam fikiran sebagai beg ‘mesti milik’ ataupun ‘mesti ada’. Selalunya beg sandang sahaja memadai dah.
Namun beg shopper Fendi ini dirasakan kelainannya. Asalnya ia diperkenalkan di atas pentas womenswear musim bunga panas 2020 yang lalu. Barangkali bila melihat sifat ringkas atau gayanya yang tidak terlalu kompleks pada masa itu melanjutkan minat padanya sehingga kini. Hadir dalam saiz berbeza dengan rekaan luarnya berbentuk segi empat, manakala bahagian dalamnya lapang menjadikan ia amat praktikal untuk dijinijt. Baik digunakan untuk kerja mahupun sebagai weekender.
Pabila beg shopper versi lelaki dikeluarkan oleh Fendi, terus bergendang tangan kerana muncul jua akhirnya! Ada dua versi beg shopper Fendi lelaki musim bunga panas 2021 kali ini – beg shopper seperti Sunshine Shopper bersaiz besar dan beg shopper bersaiz medium yang disertakan tali. Beg shopper bersaiz besar menampilkan dua rekaan berbeza dari aspek permukaannya. Seperti tekstur kanvas bersulam dan tekstur mengantaramukakan rafia yang seakan disirat. Kedua-duanya tersedia dengan beg pau bersaiz mini ekstra dan juga tali daripada material kulit. Beg shopper bersaiz medium pula muncul dalam rekaan baharu, yakni kanvas dan kulit. Sama seperti Sunshine Shopper, logo FENDI ROMA timbul ‘dicetakkan’ pada permukaan dan bahagian pemegangnya dilengkapi butiran topstitches.
Daripada sesuatu yang makro beralih kepada sesuatu yang mikro. I myself a sucker for micro bags. Sebaik sahaja persembahan Louis Vuitton menswear musim bunga panas 2021 usai, ia menggerakkan minat pada beg mikro atau bersaiz kecil. Sebagai ‘pencinta’ beg kecil, Louis Vuitton berjaya ‘membariskan’ himpunan beg mikro yang sebagaimana semestinya dimiliki!
Dalam pada manusia sekarang berkaki lincah… kata orang, melayangi kota dan mengatasi hari-hari dengan kerja mahupun keluar berpergian untuk melengahkan waktu, terkadang beg besar tidak diperlukan. Cukup sekadar utiliti atau muatan kecil yang tidak hanya melambangkan diri seorang yang on-the-go, malah juga tidak merenyahkan. Siapa perlukan beg keepall besar lagi, sedangkan ada yang bersaiz kecil dan selesa tergantung pada bahu? Siapa perlukan beg steamer besar, sedangkan sudah ada yang bersaiz kecil dan tidak lagi menudungi suku daripada tubuh kita?
Berpegang pada kata kunci ‘just enough’, beg Keepall dan Steamer Louis Vuitton diperbaharui dalam saiz XS – masing-masing disempurnakan oleh motif Monogram Macassar dan Distorted Damier. Bisa dijinjit atau diselempangkan di bahu, beg Louis Vuitton versi XS tidak mengabaikan selera anak muda semasa yang memahukan sesuatu yang keanak-anakan atau frolicsome. Louis Vuitton berkecindan dengan karakter-karakter yang diperkenalkan oleh Virgil Abloh yakni Zoooom bersama teman-temannya yang ditampilkan sebagai butiran tambahan pada beg-beg XS ini. Seperti dijadikan ‘bag charm’ yang bergayut pada bahagian tepi beg serta tampal hias yang dicantumkan di atas motif monogram.
Apa pandangan anda?