Posted on June 10, 2020
Dior Hats adalah buku yang meneroka daya intelek dan perkembangan seni rekaan topi Dior yang bermula daripada Monsieur Christian Dior ke John Galliano, ke Raf Simons sehinggalah Maria Grazia Chiuri. Ia mengisi akal kita dengan kefahaman tentang imaginasi dan intuisi insan-insan kreatif ini dalam menggemilangkan topi sebagai simbol utama haute couture Perancis!
Monsieur Christian Dior datang membawa harapan tinggi dan cita-citanya menggergasi. Harapan dan cita-cita yang bukannya angan-angan mustahil. Namun, Monsieur Dior sebenarnya melalui kepahitan hidup sebelum mengecap kejayaan sebagai pereka fesyen ternama. Pada usia 26 tahun, dia mendepani masalah keluarga yang membabitkan abangnya dimasukkan ke institusi, masalah kewangan besar yang dihadapi oleh si ayahnya dan si ibunya pula meninggal dunia. Tambahan lagi, bila Monsieur Dior menginjak usia 30 tahun, dia tidak punya wang serta tempat tinggal. Sehinggakan terpaksa menjual lukisan kanvas oleh Raoul Duffy, demi melangsungkan kehidupannya.
Bak perut kosong, dibuat gulai, hidup senteng tersebut mencelup semangat baharu dalam jiwa Monsieur Dior. Sungguhpun lambat, tetapi usia bukan penghalang. Monsieur Dior hanya bermula menggagahkan diri untuk mengamati fesyen pada usia 32 tahun. Atas ajakan kawan rapatnya, Jean Ozenne, dia telah diperkenalkan dengan dunia fesyen dan barisan klien fesyen. Atas sebab kegigihan itulah, Monsieur Dior berjaya menjual lakaran fesyen rekaan topi-topinya kepada klien-klien yang kebanyakannya pembuat topi dan rumah fesyen couture.
Terus dia dikenali sejagat dan menempa nama sebagai pereka fesyen. Ikutkan sejarah, Monsieur Dior tidak mengasaskan perniagaan fesyennya dengan menjual pakaian. Sebetulnya, dia bermula dengan menjual idea rekaan topi. Nyata sekali, Monsieur Dior amat ‘mencintai’ topi dan menjadikan topi sebagai aksesori yang paling digemari. Dia malah menampilkan topi dalam setiap satu rekaannya pada tahun 1947 sehingga 1957. Menukilkan kata-katanya tentang aksesori topi, “It’s the best way to express your personality.”
Selepas Monsieur Dior, kejayaan jenama Christian Dior tidak terbantut. Sebaliknya, kejayaan tersebut diteruskan lagi oleh Yves Saint Laurent, Gianfranco Ferre, John Galliano, Raf Simons dan yang terbaru adalah, Maria Grazia Chiuri. Sepanjang lebih 70 dekad, kita sudah menyaksikan revolusi rekaan topi Dior yang dahulu dan sekarang. Antara yang takkan luput daripada ingatan adalah tok floral oleh Marc Bohan, topi bibiran luas lebar hasilan Gianfranco Ferre, gaya topi dramatik oleh John Galliano serta hiasan kepala berbulu-bulu rekaan Maria Grazia Chiuri.
Kesemua ini direncanakan dalam buku Dior Hats, terbitan Rizzoli NY. Buku Dior Hats ini mengunjungi semula malah merawat ingatan kita pada detik-detik topi rekaan Dior (bermula daripada Monsieur Dior, ke John Galliano sehinggalah Maria Grazia Chiuri) dan menghidangkan mata pembaca dengan siri-siri eksklusif serta fotograf-fotograf oleh Sølve Sundsbø yang tidak pernah disiarkan sebelum-sebelum ini!
Stephen Jones, selaku pembuat topi yang berkhidmat untuk Dior selama lebih 20 tahun, adalah insan yang mengumpul imej-imej topi Dior ini dalam buku Dior Hats. Stephen membawa pembaca untuk merasai pengalaman fantasi rekaan topi-topi Dior, bukan sahaja menerusi imejan-imejan, malah kata-kata yang menggambarkan setiap rekaan tersebut.
Di mana kita bisa menghayati dan menghargai nilai distingtif dan keunggulan rekaan topi-topi Dior. Kita akan disajikan lagi oleh bab-bab yang memperlihatkan betapa uniknya topi-topi Dior yang sampai ke sudah menjadi identiti utama dan melambangkan kesempurnaan kewanitaan – di mana kita akan melihat dengan lebih teliti lagi seni pembuatan topi yang dibikin dengan menggunakan woven straw, tangkai-tangkai bunga lili, taffeta, material kulit dan topi yang disertakan sekali selubung wajah.
ANTARA IMEJAN DALAM BUKU DIOR HATS
Fotografer Guy Marineau
Fotografer Solve Sundsbo
Fotografer Solve Sundsbo
Fotografer Solve Sundsbo
Apa pandangan anda?