Posted on September 2, 2020
Mengapa pelitup muka AIRism sesuatu yang wajib kamu miliki?
Rasa-rasanya kita semua sudah sepakat bahawa pelitup muka adalah aksesori ‘mesti ada’ tahun 2020. Bukan sniker trek atau barang kemas bungkal mahupun beg tangan ‘kaset’ dengan tekstur anyaman kembong. Bukan. Kami ulang, pelitup muka adalah aksesori tahun 2020.
Natijah yang datang daripada kesan pandemik COVID- 19 ini (hai, perkara ini barangkali tiada berkesudahan atau pasti akan terus diperkatakan tahun ini) memandu beberapa jenama fesyen umpama memeras keringat untuk menghasilkan pelitup muka dalam kadar yang pantas. Daripada jenama mewah ke jenama lokal, semua bersungguh-sungguh mengeluarkan himpunan pelitup muka.
Terkesan oleh penampilan Lady Gaga memakai pelitup muka di MTV Video Music Awards kelmarin, jelasnya sebagai tanda respect, lagilah menguatkan azam kita untuk menjadi lebih berhemat.
Namun, dalam banyak-banyak pelitup muka yang terhidang sebagai pilihan kita, – ada jenama yang menghasilkan pelitup muka berharga RM 400 lebih! – salah satu jenama yang meyakinkan kami adalah pelitup muka yang bakal dikeluarkan oleh UNIQLO nanti (pada 14 September nanti). Kriteria yang ada pada pelitup muka UNIQLO ini menampakkan kecekapan serta membuktikan keberkesanannya dalam menjamin kesihatan si pemakai.
Sebabnya? Pertama-tama, kerana teknologi Jepun yang mendasari UNIQLO selama ini adalah sesuatu yang boleh dipercayai. Keduanya adalah, pada kesempatan ini, UNIQLO menggunakan material atau fabrik AIRism dalam menghasilkan pelitup mukanya – material yang sememangnya praktikal dan punya ketinggian mutu distingtif. Kami di STAIL memiliki beberapa helaian AIRism dan mengerti benar kehebatan material tersebut. Apatah lagi bila material yang sama digunakan sebagai pelitup muka.
Tambahan pula, pelitup muka UNIQLO AIRism ini menitikberatkan tiga aspek utama : berkeupayaan untuk melindungi, mudah untuk dibasuh dan tidak merengsakan kulit. Sama sahaja seperti pakaian AIRism, begitu jugalah fungsi pelitup muka. Ia jauh lebih selesa daripada pelitup muka kain kapas atau non-woven. Yang berbezanya fasal pelitup muka UNIQLO AIRism adalah ia terdiri daripada tiga lapisan utama. Di samping lut udara dan tidak merengsakan kulit, ia memiliki penapis Nano yang menghadang 99 peratus bakteria juga bahan iritasi lain serta bahagian lapisan hadapannya ada pelindung UV UPF 50+.
Pelitup muka UNIQLO AIRism ini direka bersandarkan respon-respon konsumer di Jepun. Asalnya ia hanya dikeluarkan di Jepun sahaja, namun atas permintaan serta dukungan yang sangat menggalakkan, UNIQLO bercadang untuk memasarkan ia ke pasaran antarabangsa. Menurut respon konsumer itu juga, UNIQLO mendapati bahawa orang ramai lebih selesa menggunakan pelitup muka yang boleh diguna semula dan mudah dibasuh berkali-kali. Lantas, UNIQLO tidak menyemberonokan rekaan pelitup mukanya dan himpunan pelitup muka ini hadir dengan kebolehan untuk dibasuh berkali-kali.
Apa pandangan anda?