Posted on June 2, 2020
Jenama Polaroid yang sudah berusia lebih lapan dasawarsa, namun tak terlepas peka terhadap keadaan semasa. Sebagai jenama yang menghasilkan kaca mata, mereka mengambil insiatif untuk mengeluarkan ciptaan “keperluan” masa kini yakni kaca mata perlindungan serta pelindung muka, untuk memutuskan rantaian pandemik COVID- 19!
Polaroid memperkenalkan rangkaian koleksi Stay Safe!
Pujian buat Edwin H. Land, bukan sahaja sebagai pengasas jenama Polaroid, namun atas kecelikan dalam memikirkan sesuatu yang terkedepan. Edwin yang menempa namanya serta kariernya sebagai seorang saintis juga seorang pencipta, beroleh kejayaan dengan menerbitkan kehebatan dan daya inovasi sewaktu mencipta penapis pengutub bagi membantu kadar pencahayaan. Terbetik keluarbiasaan Edwin itu pada sekitar tahun 30-an, sehinggakan dia mengukir sejarah kerana produk-produknya dianggap satu revolusi. Sungguhpun ketiadaan Edwin sekarang dirasakan satu kehilangan, namun titipan ilmu dan kreativiti dia kepada generasi sekarang, membuatkan jenama Polaroid untuk terus mencipta juga tidak berhenti merancang inovasi yang menyaingi permintaan dari semasa ke semasa.
Oleh yang demikian, jenama Polaroid sedar akan kemelut pandemik COVID- 19 yang mengganasi dunia sekarang. Ia tidak ‘berdiam diri’, sebaliknya menjadi penyumbang untuk sama-sama menempur pandemik COVID- 19. Dalam pada menegaskan orang ramai untuk #StaySafe, Polaroid mengutip seruan ‘Stay Safe’ – diperbuat di Itali dan diedarkan oleh Safilo Group – tersebut sebagai inspirasi produk terbarunya, yakni pelindung muka dan kaca mata perlindungan. Bukan sahaja sarat dengan teknologi yang mengikut keperluan harian kita sekarang, malah produk-produk ini juga mampu milik.
Terbahagi kepada dua : STAY SAFE 1 yakni produk kaca mata yang dilengkapi teknologi perlindungan, khusus untuk mata – kerana berdasarkan laporan kesihatan, bahagian mata adalah paling sensitif atau cepat terkena jangkitan COVID- 19, menerusi titisan-titisan kecil yang dikeluarkan oleh mereka yang sudah berjangkit. Manakala STAY SAFE 2 pula adalah produk pelindung muka (face shield) yang membantu melindung keseluruhan muka, termasuk bahagian hidung dan mulut.
STAY SAFE 1 bukan sahaja dicipta khusus untuk barisan hadapan seperti pekerja-pekerja hospital atau yang berada di makmal perubatan sahaja, ia turut tersedia untuk orang umum yang mahu menggunakannya atas sebab tidak mahu dijangkiti. Termasuklah mereka yang mahu menyarung ia sewaktu keluar membeli-belah, ketika keluar jogging, pekerja-pekerja di pasaraya mahupun yang bekerja di kilang. Kaca mata ini sangat senang dipakai kerana dilengkapi tali boleh laras yang cukup menyelesakan. Tambahan lagi, bahagian visor kaca mata ini diperbuat daripada polikarbonat dan pad hidung poliamida – di mana kedua-duanya adalah PPE certified.
STAY SAFE 2 sama juga fungsinya seperti STAY SAFE 1. Namun STAY SAFE 2 adalah pelindung muka yang melindungi seluruh wajah, baik mata, hidung serta mulut. Ia bertujuan untuk perlindungan daripada faktor-faktor luaran yang memungkinkan risiko penyakit lebih tinggi. Seperti STAY SAFE 1, STAY SAFE 2 turut disertakan tali getah boleh laras untuk memudahkan pemakaian dan bahagian visor (diperbuat daripada polikarbonat) juga adalah PPE certified.
Menariknya fasal kedua-dua produk ini adalah, tali getah boleh laras tersebut menjadikan ia mudah diubah-ubah saiznya mengikut bentuk kepala si pemakai. Tanpa mengira dewasa mahupun kanak-kanak. Dan oh, Polaroid tetap tidak mengenepikan terus identitinya, dengan menambahkan elemen distingtif jenama Polaroid yakni logonya serta simbol pelangi!
Apa pandangan anda?