Posted on May 27, 2020
The TB Bag ilham Riccardo Tisci membawa jenama Burberry di puncak. Perjalanan Riccardo bersama Burberry, sebagai penyambung jenama yang ruang waktu usianya sudah lebih seratus tahun, telah mendukung sekali kemampuannya dalam mencipta atau mengembangkan idea. Namun Riccardo tidak merenggut jati diri Burberry.
Tinjau kembali pengalaman dua tahun dan lebih sepuluh musim koleksinya, – termasuk Pre-Fall serta Cruise – Riccardo bukan kepalang lagi membawa pembaharuan. Bermula daripada bagaimana dia mengubah logo jenama bersama Peter Saville, kepada membahagikan himpunan kepada beberapa fragmen, mengharumi jenama Burberry dengan konsep diversifikasi, menampilkan B Series juga memperkenalkan siluet terbaru yang menerbitkan gemuruh hasrat pencinta-pencinta Burberry.
Sebahagian daripada usaha Riccardo termasuklah memperkenalkan TB Bag. Beg yang serba ringkas dan minimum dari segi reka bentuk, menggemilangkan ilham yang datangnya daripada pengasas Burberry sendiri yakni Thomas Burberry. Melihat TB Bag ini mengisi akal kita tentang ketiadaan Thomas Burberry namun dirasakan kehadirannya. Ia umpama mengingatkan kita pada usaha Thomas Burberry menghidupkan jenama Burberry – kisah dia memusatkan idea dengan menghasilkan material gabardine kalis air, kemudiannya mendaftar logo serta identiti motif checks seratus tahun yang lalu sehinggalah mewujudkan definisi ‘Burberry’ dalam Oxford English Dictionary.
TB Bag hadir dalam pelbagai stail dan warna, dengan kancing beg yang diolah dalam bentuk initial TB – ‘TB’ adalah ‘Thomas Burberry’. Beg yang diperbuat secara buatan tangan di Itali ini menggunakan 28 keping atau bahagian daripada material kulit anak lembu. Setiap material kulit ini dipilih oleh artisan atau pembuat beg dan material tersebut disempurnakan dengan teknik saduran tanned krom untuk memastikan daya ketahanan warnanya. Kemudian dia diperkemaskan lagi dengan hand painted edges.
Seperkara lagi apa yang uniknya fasal TB Bag adalah ia memiliki tali beg kulit serta rantai yang mudah untuk pasang tanggal. Oh, malah kancing ‘TB’ yang dijelaskan di perenggan atas tadi pula diperbuat daripada 24 karat saduran emas dan magnet yang memberi keselesaan dari aspek buka tutup beg tersebut.
Daripada proses lakaran teknologi, ke pemilihan material kulit, kemudiannya proses pemotongan sehinggalah terhasilnya produk dalam bentuk tiga dimensi, di sini kami mahu berkongsi di sebalik tabir pembuatan sebenar Burberry TB Bag!
https://www.instagram.com/p/CAZac-SFS3j/
Apa pandangan anda?