Posted on July 14, 2020
Kuala Lumpur nanti akan dipancari kilauan yang menggamit ingatan kita pada kehebatan Jean Schlumberger, si pereka barang kemas Perancis yang pernah berkhidmat untuk Tiffany & Co. suatu ketika dahulu. Ya! Tiffany & Co. bakal membawa himpunan koleksi barang kemas yang merai inovasi serta kesenian Jean Schlumberger – yakni koleksi The Legendary Designs of Jean Schlumberger – pada awal bulan Ogos ini.
Dan… Malaysia menjadi destinasi Asia Pasifik pertama sekali yang akan mempamerkan koleksi ini di Pavilion Kuala Lumpur!
Anting-anting Nest yang diilhamkan daripada sarang burung
Siapa dia Jean Schlumberger? Buat yang tak mengenali Jean, dia adalah artis juga pereka barang kemas asal Perancis yang pernah diambil bekerja untuk Tiffany & Co. oleh Walter Hoving, mantan pengerusi Tiffany & Co. Kemasyhuran Jean tersebar luas pada abad ke-20, kerana karya-karya rekaannya yang banyak membabitkan penghargaan buat flora dan fauna sebagai tunjang ilham dan dikenali ramai. Sehingga pernah meraih permintaan tinggi di kalangan nama-nama besar termasuklah Diana Vreeland juga Jacqueline Kennedy.
Jean bak arcawan modenis seperti Robert Morris, dia berani dan bijak mencipta atau mengeluarkan idea bersandarkan flora dan fauna menerusi penerokaan. Matanya tajam, mindanya berputar ligat dan tangannya tak lelah dalam bereksperimen, sungguhpun inspirasinya hanyalah berasaskan pemerhatian ke atas alam semulajadi. Kekuatan Jean adalah dayanya yang mampu mengubah inspirasi tersebut dengan celupan imaginasi, fantasi dan diperkukuhkan lagi oleh sifat ingin tahu yang bertambah sewaktu menghasilkan barang kemasnya.
Lantas, setiap hasilannya begitu distingtif. Sementelahan pula Jean begitu tak gentar menggunakan batu permata berbeza rona dan berlian Tiffany yang bersinar-sinar, menjadikan hasilan-hasilannya itu diperkaya oleh nada rekaan yang ekspresif serta daya inovasi tertinggi – terutama sekali dalam dunia high jewelry design.
Kerongsang Bird on The Rock
Jean menggondol beberapa anugerah sebagai penghargaan ke atas bakatnya. Anugerah-anugerah dalam lapangan seni dan fesyen yang diterima oleh Jean termasuklah Coty American Fashion Critics’ Award pada 1958 – di mana Jean adalah pereka barang kemas pertama yang mendapat anugerah tersebut – juga “Un Diamant dans la Ville” yang dikurniakan oleh Musee des Arts Decoratifs di Paris.
Kehilangan Jean pada 33 tahun yang lalu meninggalkan legasi di Tiffany & Co. Pemergiannya terasa, namun kehilangannya tidak dirasakan sebagai satu kerugian. Oleh itu, Tiffany & Co. mengambil inisiatif ini untuk mengembalikan semula rekaan-rekaan jean Schlumberger yakni koleksi The Legendary Designs of Jean Schlumberger dan akan membawanya ke sini… ke Kuala Lumpur!
Rantai Baguette Fringe yang dikatakan ‘centerpiece’ koleksi The Legendary Designs of Jean Schlumberger
Koleksi ini bakal menghidangkan kita dengan barisan rekaan rantai leher Baguette Fringe yang dihiasi berlian putih baguette 23 karat dan berlian putih bulat 62 karat, yang disempurnakan oleh kancing berupa nilam berona biru. Rantai baguette Fringe ini adalah ‘sorotan utama’ dalam koleksi The Legendary Designs of Jean Schlumberger. Barang kemas lain termasuklah kerongsang Shell, kerongsang Etoile de Mer, kerongsang Fish Clip, gelang tangan Cooper, anting-anting Nest, anting-anting 7 Leaves serta cincin 4 Leaves.
Kerongsang Ancolie
Apa pandangan anda?