Posted on August 12, 2020
Salvatore Ferragamo menyejarahkan jalanan kota Florence, yakni Tornabuoni sebagai ‘gelaran’ buat rangkaian baharunya. Ferragamo menyaingi ia dengan angka 1927, melengkapkan ‘gelaran’ tersebut – menjadilah ia Tornabuoni 1927 – yang merangkum aksesori rencaman si lelaki. Daripada large leather goods ke small leather goods, khas untuk gaya si lelaki, baik waktu senggangnya mahupun lepas waktu kerjanya.
Namun ada apa dengan Tornabuoni dan 1927 ini? Mengapa pentingnya lokasi jalanan kota serta angka ini buat Ferragamo?
Di tengah-tengah ‘rimba’ kota Florence yang terbangun oleh seni bina yang maha kaya dengan stail Renaissance, terdapat satu persiaran atau jalanan. Persiaran atau jalanan ini menyimpul sejarah yang memekat di balik kewujudannya. Berdasarkan bacaan kami, persiaran atau jalanan yang dipanggil Tornabuoni (via Tornabuoni) ini bukan sahaja dikenali sebagai persiaran mewah kota Florence – kerana terdiri daripada butik-butik fesyen mewah – namun namanya dicungkil daripada kisah famili Tornabuoni. Famili Tornabuoni adalah famili Florentine yang tidak asing lagi di kalangan sejarah Itali dan mereka dikatakan disatukan dengan famili Medici pada abad ke-15.
Lantaran sejarah serta kemewahan persiaran Tornabuoni, ia menjadi lokasi jenama Salvatore Ferragamo. Malah di situ jugalah terletaknya kubu kota yakni Palazzo Spini Feroni yang sudah menua selama tujuh abad lamanya dan menempatkan museo Ferragamo. Dan mengapa angka 1927 ‘dikahwinkan’ dengan nama Tornabuoni? Kerana tahun 1927 menandakan kepulangan pereka Ferragamo dari Hollywood dan menebus rindu yang berpacu terhadap jenama asal Itali ini.
Tornabuoni 1927 adalah namanya. Nama rangkaian terbaru daripada Ferragamo yang membariskan aksesori-aksesori lelaki.
Rangkaian Tornabuoni 1927 tidak hanya berpusat pada gaya lepas waktu kerja atau waktu senggang si lelaki. Rangkaian ini turut berpegang pada dua key elements : rekaan-rekaan yang berteraskan kemudaan dan mampu milik.
Large leather goods Tornabuoni 1927 terbahagi kepada tiga tema utama, yakni aksesori-aksesori seperti beg tote, clutch serta beg pelayaran sangat ringan dan memiliki permukaan lembut. Ketiga-tiga beg ini diperbuat daripada kulit rusa dan ia menampilkan logo Tornabuoni 1927 dalam cetakan timbul. Di samping itu, Tornabuoni 1927 tidak mengabaikan konsep rekaan yang menggunakan material nilon seperti beg sandang dan beg shopper-nya. Logo Ferragamo berupa getah tiga dimensi melengkapkan lagi rangkaian aksesori nilon ini.
Berbicara fasal nilon, material tersebut turut digunakan untuk himpunan small leather goods Tornabuoni 1927. Di mana ia membariskan beg sandang, beg pau, beg hands-free juga beg silang pada bahu.
Apa pandangan anda?