SEARCH

Alber Elbaz Tak Lagi ‘Bertapa’, Kembali Bukti Kreativiti

Alber Elbaz Tak Lagi ‘Bertapa’, Kembali Bukti Kreativiti

Pernah saya terfikir sekali itu, “Mana pergi Alber Elbaz selepas dia meninggalkan Lanvin?” Bukan maksud saya dia mengasingkan diri, hilang entah ke mana sehingga tak boleh tercium baunya. Bukan. Saya tahu dia ada lagi, cuma tertanya-tanya apa yang dia buat akhir-akhir ini. Apakah dia sudah jemu dengan dunia fesyen? Atau merasakan hidupnya dalam arena fesyen ini sudah macet, bukan lagi seperti sebelum-sebelum ini? Lalu dia tak kisah seandainya tidak menjadi sebahagian daripada kerancakan dunia fesyen?

alber elbaz tod's

Sebenarnya, di sebalik imejnya yang berupa seakan-akan disenangi itu, Alber adalah seorang pemberontak (pendapat peribadi). Alber tidak puas hati dengan pengurusan di Lanvin, nyah dia melangkah kaki keluar daripada jenama tersebut. Bayangkan, jenama yang dia pimpin selama 15 tahun, sudah lebih sedekad, akhirnya dia lepaskan begitu sahaja. Walhal, Alber suka menggembirakan orang lain – yang tersemat menjadi objektifnya sepanjang penglibatan dalam arena fesyen – akan tetapi, dirinya sendiri tidak bahagia.

Namun, pahit getir dunia fesyen itu Alber sudah alami sebelum dia mengepalai Lanvin lagi. Isu yang paling susah dilupakan oleh Alber adalah bagaimana Tom Ford pernah membuat onar terhadapnya, sewaktu menggalas tugas sebagai pereka di Gucci. Tom meletakkan dirinya sebagai peneraju utama Gucci dan dengan tidak semena-mena menyingkir Alber. Alber pula orangnya dramatik, menyepikan diri seketika selepas kejadian tersebut dan terus memikirkan semula pilihan hidupnya, sama ada masih mahu menjadi pereka fesyen. Iyalah, Tom yang pernah dikritik teruk oleh Saint Laurent sendiri ketika mengemudi jenama Yves Saint Laurent pada 2003 lawan Alber yang menerima pujian tinggi kerana kemampuannya mengetengahkan eksperimentasi couture Lanvin musim bunga 2010, yang dia ubah dan disesuaikan dengan pasaran ready-to-wear. alber elbaz tod's

Empat tahun hilang dari radar selepas meletakkan jawatan di Lanvin, kini Alber muncul semula, ligat beraksi – fiil itu sudah sinonim dengan Alber; selepas kejadian Gucci, Alber merajuk dan menyepi selama setahun lebih; selepas kejadian Lanvin, Alber ambil masa empat tahun mengasingkan diri. Alber disunting oleh Tod’s untuk menghasilkan satu himpunan kapsul istimewa tahun ini!

Bulan Julai lepas, Tod’s ada mengeluarkan himpunan kapsul mereka bersama Alber yang digelar sebagai ‘Tod’s Happy Moments by Alber Elbaz’. Himpunan kapsul yang dikatakan oleh Alber seolah-olah mampu menghambat dugaan, menentang getir hidup dan bisa membahagiakan orang. Barangkali selepas empat tahun menyepi itu, Alber tidak mahu orang lain rasa seperti apa yang dia rasa.

Semua yang berkaitan dengan kegembiraan disuntik oleh Alber ke atas himpunan kapsul ini. Kegembiraan sewaktu bersama famili sambil menggayakan Tod’s, kegembiraan pabila menerima hadiah kasut Tod’s dan kegembiraan menari di tengah jalanan kota seraya tersarung kasut Tod’s. Alber kutip inspirasi daripada kasut memandu klasik Tod’s, menghasilkan ia dalam nada gaya yang dinamik dan berona terang bertenaga, untuk mencerminkan semangat kegembiraan. Hubungan rapat Alber dengan Diego Della Valle membawa kepada satu perubahan dalam hidupnya. Alber mengagumi cita-cita Diego dan daripada situlah dia sedar, kolaborasi ini perlu direalisasikan.

Seronok melihat Alber kembali aktif, selepas dia meninggalkan Lanvin. Tak sabar melihat apa yang bakal ditampilkan olehnya pada masa akan datang!

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE