SEARCH

Dialog Lelaki + Perempuan = Formula Alexander McQueen 2020

Dialog Lelaki + Perempuan = Formula Alexander McQueen 2020

alexander mcqueen

Ritma dunia menswear masa kini tak seperti sebelum-sebelumnya. Kerana tidak mahu hilang pintang keterujaan, dunia menswear menggemilangkan dekonstruksi, mengubah konteks dan susun semula. Sarah Burton di Alexander McQueen ‘langkah sepijak’ mengikut apa yang berlaku dengan dunia menswear, sewaktu menghidangkan himpunan musim bunga panas 2020-nya.

Mengubah pola pakaian lelaki, tailoring tradisional yang diolah balik dan tidak takut mengkonseptualisasikan sendi menswear menjadi perhitungan Sarah untuk Alexander McQueen. Bayangkan sut yang biasa potongannya (di bahagian atas), ditukar bahagian bawahnya menjadi pola asimetri dan dimadukan dengan pola skirt berlisu lipatan? Dan sut malam yang biasa bahagian atasnya, namun di bahagian bawah disempurnakan dengan pola ala skirt penuh tampal hias cantum?

alexander mcqueen

Terbetik sejarah kod pakaian baharu lelaki di Alexander McQueen! Bukan untuk mengganyang maruah kaum lelaki… bukan. Cuma Sarah sengaja mahu bermain atau bereksperimen dengan kelainan. Bilangnya, himpunan musim bunga panas 2020 ini mencetus satu dialog antara womenswear dengan menswear – merujuk nota pertunjukannya. Ia mengikis segala perbezaan dan memateri sesuatu yang asalnya terlihat agak mustahil disatukan, tetapi bisa menjadi erat. Iyalah, siapa jangka pola skirt bersambung dengan pola sut klasik lelaki dan hasilnya membentuk gaya yang kohesif.

Mengikut pengertian kami, Alexander McQueen kali ini seakan-akan melaung kesamaan jantina – harakah yang mempengaruhi marcapada. Barangkali, in a way, Sarah menyelit mesej-mesej tersebut menerusi rekaan-rekaannya?

alexander mcqueen

Apa yang jelas, sartorial masih lagi kuat menguasai akal budi Sarah. Benar, Sarah tidak melepaskan konsep sartorial yang mendasari nada-nada rekaannya, namun dia tidak membiarkan ia terikat dengan takuk lama. Lalu, dia ubah sesetengahnya. Bukan sahaja mengahwinkan pola lelaki dengan perempuan, Sarah juga berani menggandakan dua panel pada jaket sut – pada sut yang penuh disimbah hangat rona merah jambu serta sut berjalur kecil; motif jaluran yang berbeza skalanya pada bodice asal sut dengan panel. Dan Sarah merentangi era 90an, mengembalikan signature yang pernah menjadi elemen Alexander McQueen dahulu seperti fabrik mohair berona kelabu.

alexander mcqueen

Bara mengubah pola pakaian lelaki menggelegak dalam jiwa Sarah dan dia meneruskan aspek yang sama secara subtle pada rekaan-rekaannya. Jaket tailored bercantum dengan lengan fabrik satin dan butiran-butiran jaket bomber, lengan kot wool diperbuat daripada fabrik jacquard dan pergelangan tangannya fabrik kait ribbed.

Berbicara fasal keunikan fabrik, Sarah malah menggunakan fabrik bersifat feminin seperti borderie anglaise pada kemeja dan sut kapas lelaki. Betul-betul membangkitkan kedualan feminin dan maskulin!

alexander mcqueen

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE