Posted on August 5, 2020
Cukuplah gosip cinta Anwar Hadid dan Dua Lipa. Kita bercakap pula fasal sisi empati Anwar dan kerjasamanya dengan Valentino untuk membantu melawan COVID- 19. Kemudian beralih kepada kisah Alessandro Michele yang obses dengan kepala singa dan keberanian Nicola Glass menukar identiti Kate Spade untuk melambangkan ‘jatuh cintanya’. Ya, semua ini terkandung dalam khabar bulan Ogos!
Secara peribadi, bulan Ogos yang bertamu bak satu peringatan. Ia adalah bulan yang mendekatkan kita dengan penghujung tahun dan mengingatkan permulaan tahun baharu. Bulan Ogos juga menandakan masuknya musim Pre-Fall, the fashion month (September) is coming, tiba masa untuk menggayakan helaian-helaian daripada musim luruh dingin – which reminds us, masih adakah musim atau bukankah sekarang semua sudah menjadi seasonless? – dan… oh, Matchesfashion masih lagi tengah jualan murah!
Jadi, untuk merai permulaan bulan Ogos ini, apa kata kami khabarkan kamu dengan tiga ‘cerita’ menarik berkaitan dunia fesyen (yang dinyatakan awal, di atas) yakni tentang kekreatifan Pierpaolo Piccioli dalam melangsungkan idea kempen Valentino, himpunan barang kemas Gucci idea Alessandro Michele dan daun sped yang mengocakkan hati Nicola Glass.
Naomi Campbell, Anwar Hadid, Gwyneth Paltrow ‘Menyahut’ #VALENTINOEMPATHY – Projek Amal Untuk Lazzaro Spallanzani Hospital
Memakai pelitup muka, penjarakan sosial – yang kini berubah ke penjarakan fizikal – dan kebiasaan baharu menyuasanai tahun 2020. Benar, bukan sesuatu yang sedunia pinta namun inilah hakikat yang harus ditelan. Dalam pada menyedari, malah mengalami sendiri senario yang memustahilkan urusan hidup masa kini, Pierpaolo Piccioli dan Valentino mencadangkan satu inisiatif yang ‘merapatkan’ semula hubungan manusia.
Penjarakan sosial telah melakar visi atau gagasan baharu buat Pierpaolo dan Valentino dalam melahirkan kempen fesyen yang berteraskan… penjarakan sosial! Mereka memanggil rakan-rakan Valentino seperti Naomi Campbell, Janet Mock, Mustafa The Poet, Mariaclara Boscono, Laetitia Casta, Christy Turlington, Frances McDormand, Liu Wen, Anwar Hadid, Gwyneth Paltrow dan ramai lagi, untuk menghidupkan visi tersebut, lalu terhasilnya kempen fesyen baharu musim luruh dingin 2020-21.
Bukan seperti kempen fesyen yang biasa kita lihat, seperti penggambaran yang lebih terkawal di studio mahupun di lokasi, dengan model berkasi di hadapan kamera. Bukan. Kali ini, Pierpaolo menyelami kelainan. Dia membenarkan rakan-rakan Valentino ini untuk menampilkan kreativiti sendiri – di mana mereka memotret gambar di kediaman atau lokasi sendiri, meligatkan gaya serta memunculkan idea penggambaran mengikut kehendak masing-masing! Tidak ada fotografer profesional dan tidak ada produksi besar-besaran. Cukup sekadar yang tercinta, ahli keluarga atau teman yang duduk serumah berperanan sebagai ‘fotografer’ dan gambar-gambarnya pula ada yang diambil dengan menggunakan telefon pintar.
Pierpaolo menghimpun gambar-gambar ini bak koleksi potret. Potret yang menggambarkan keperibadian sebenar, ketelusan dari segi emosi dan kejujuran gaya hidup rakan-rakan Valentino. Kesemua mereka dihubung menerusi satu kata kunci, yakni empati. Lantaran itu, Valentino menamakan ia #ValentinoEmpathy. Mengapa empati? Kerana sifat empati itulah yang menyatukan manusia sejagat, tak kira latar, bangsa, status, jantina dan seumpamanya. Apatah lagi empati yang terbentuk sepanjang penularan COVID- 19.
Setiap rakan Valentino dalam kempen ini juga akan terlibat sekali dengan kerja amal untuk memutuskan rantaian wabak COVID- 19. Valentino akan menderma satu juta Euros kepada Italian Lazzaro Spallanzani Hospital di Rom, bagi membantu merawat COVID- 19 serta memudahkan perubatan. Malah Valentino juga bersetuju bekerjasama dengan Lazzaro Spallanzani Hospital untuk projek jangka masa panjang – yakni membantu hospital tersebut sekiranya berlaku berbeza-beza fasa penularan wabak.
Kepala Singa Gucci Muncul Bulan Ogos Ini!
Ingat lagi pertunjukan Gucci musim luruh dingin 2019 yang lalu di mana Alessandro Michele menyisip auman buas singa sebagai pembuka sebelum tingkah genderang menyusul kemudian. Mengapa singa? Kerana lima tahun dulu, sewaktu Alessandro menjejakkan kakinya ke Gucci dan mengubah terus hala tuju hab fesyen tersebut, dia menjadi taasub dengan singa. Sehingga mengabadikan singa sebagai kunci motif utama Gucci!
Baginya, bukan sahaja susuk jijak singa yang nampak tegap atau kuat menjadi sebab utama, namun juga kerana kepintaran dan kekentalan haiwan tersebut. Malah, bagi Alessandro lagi, singa seperti melambangkan sifat si bangsawan. Atas dasar-dasar itulah mengapa kepala singa acapkali terlihat menjadi motif pada himpunan pakaian sedia pakainya, Gucci Décor dan aksesori-aksesori seperti barang kemas. Alessandro sendiri pun sering menyarung cincin Gucci yang bertatahkan kepala singa – aksesori cincin ini debut di atas pentas Gucci menswear musim luruh dingin 2015.
Bagi meneruskan ‘legasi’ Lion Head Collection, motif singa tersebut diolah dalam kas 18 karat emas kuning juga putih dan dihasilkan menjadi anting-anting, loket rantai, cincin serta gelang tangan. Ia disempurnakan lagi dengan berlian dan batu permata berwarna-warni – motif utama kepala singa ini menggunakan berlian pada bahagian matanya dan batu permata menghiasi giginya.
Lantaran itu, di samping menjadi ketaasuban Alessandro, kepala singa ini juga adalah peringatan kepada kita dan simbolik kepada komitmen Gucci dalam memulih serta memelihara alam semula jadi. Seandainya kamu masih ingat, Gucci menyertai The Lion’s Share Fund pada bulan Februari lepas (sebelum perintah kawalan pergerakan), yakni insiatif yang membangktikan kesedaran tentang kemelut alam semula jadi, biodiverisiti dan perubahan iklim sedunia.
Sped Kate Spade Diubah Kepada “Cinta” Oleh Nicola Glass
Keberanian Nicola Glass dalam menjulang dan tidak menggoyahkan jenama Kate Spade harus dipuji. Dia berjaya melumpukkan pencinta-pencinta baharu muda Kate Spade, mengetengahkan jenama tersebut sehingga menjadi buah bibir orang dan tidak gentar dalam menggubah gaya. Setelah dua tahun mengemudi Kate Spade, Nicola yang jatuh hati pada corak daun sped, – corak yang sinonim dan signifikan buat Kate Spade – mengambil kesempatan untuk mengembang ‘subur’ ia kepada satu pembaharuan.
Jelas Nicola, “Dalam mengekalkan DNA Kate Spade, saya melihat banyak peluang untuk mengubah jenama ini dan menggunakan peluang itu sebaik-baiknya.” Lantas Nicola ambil peluang tersebut dan cuba mengubah ‘ikonografi’ Kate Spade (yakni daun sped), mengintegrasikan ia kepada pola atau bentuk berbeza-beza, butiran hiasan yang menarik dan juga sebagai kancing (closure) yang praktikal.
Visi Nicola untuk mengangkat daun sped Kate Spade berhasil jua! Setiap musim, dia tidak gagal dalam merevolusikan daun sped tersebut – menjadi motif utama pada pakaian sedia pakai, percetakan timbul pada material kulit, cut-out details, dijadikan tumit pada kasut dan hardware pada beg. Antara perkembangan idea daun sped yang menjadi kegemaran Nicola sendiri adalah kecelikannya menyatukan empat daun sped kepada satu bentuk dan ia diulang-ulang sehingga kelihatan seperti corak flora. Motif ini membangkitkan keterujaan Nicola, untuk terus mengabadikan ia sebagai fokus musim luruh dingin kali ini dan menjadikannya sebagai motif utama pada beg-beg signature Kate Spade.
Apa pandangan anda?