Posted on October 9, 2023
RASA SELESA YANG BERJELA-JELA SEPANJANG HIDUP, TIDAK HARUS MENAGAK DIRI UNTUK BERANJUR KE FASA BAHARU. MENITIP KESEDARAN YANG PERLUNYA KEHIDUPAN KINI DIPRERHALUSI, TERTUJU KEPADA KEMATANGAN. TIDAK MAHU AMBIL LANGKAH CEPAT DAN SENANG UNTUK BERSANDAR PADA SATU JURUSAN SAHAJA. ITULAH TANGGUNGJAWAB YANG MIMI LANA USUNG SEKARANG. BAIK SEBAGAI DRAMAWAN, ANAK SENI MAHUPUN INDIVIDU BERGELAR WANITA.
Penata Gaya/Pengarah Seni : Max Mak (By Max Mak) Arahan Seni : Merrissa Emilda
Teks : Ardi Idewani Zaini Fotografer : Edmund Lee @ Studio134
Solekan : Khir Khalid Dandanan Rambut : Meichoi
Stylist Assistant : Keat Kit
Lokasi : Rumah Tangsi, Kuala Lumpur
Lingkungan kehidupan Mimi Lana kini melebar. Kehidupan baginya, bukan seperti dalam kotak yang berpenjuru. Sebaliknya, ‘kotak’ itu dibuka, tidak lagi memenjarakan diri dalam kebuntuan. Jika ada titik peralihan untuk memperbaiki, memperbaharu, mempertinggi darjat, memperelok semula sekaligus membantu untuk mematangkan diri… dia cekau sahaja peluang itu. Apalagi usia sekarang ini, orang kata, adalah usia ‘masak’. Usia terbaik untuk mendewasakan diri.
Terang Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin tentang susunan kerjayanya mengikut berperingkat-peringkat, “Saya sudah berada di fasa yang, saya hanya mahu fokus kepada membuahkan karya-karya yang bagus sahaja. Karya-karya yang membezakan antara Mimi Lana dahulu dan sekarang. Jika boleh, karya-karya yang bisa mengangkat mutu lakonan saya sehingga berbekas di kalangan audiens.” Mimi mahu melangkah keluar daripada khayalan, fikirannya tertuju kepada menjadi lebih serius.
Dinamika lakonan Mimi terbeti. Misalnya, drama siri ‘Perempuan Itu’ – yang membariskan Mimi sebagai watak utama, di samping Zul Arifin dan Siti Hariesa – berjaya meraih sambutan yang menggalakkan. Daripada plot drama yang mampu melelehkan air mata (menurut perkongsian di TikTok) sehinggalah lakonan Mimi yang dikatakan sungguh baik dan memuaskan.
“Saya mahu menjadi pelakon yang berkualiti dan bestari,” jelas Mimi, melahirkan niat hati yang telah terbentuk sedari dia berusia 18 tahun lagi. Yakni usia dia mula menceburi bidang lakonan.
Apa yang dimanifestasikan oleh Mimi ini bukan hanya berhaluan untuk menguasai dirinya seorang. Bahkan juga, ini adalah impian kencana beragaman Mimi untuk meninggalkan kesan positif kepada masyarakat. Mimi sedar bahawa itulah tugasnya. Itulah tanggungjawabnya. “Atas sebab itu, saya menyisihkan ego. Sedia menerima pendapat berbeza daripada orang lain. Tidak kisah untuk terus belajar dan belajar. Demi membina karier yang lebih sukses. Insya Allah.”
Aspek kematangan Mimi Lana dengan aturan kehidupan sekarang?
Semakin dewasa, semakin cekap dalam hal ‘menjugel’ kehidupan. Kecintaan pada bidang lakonan yang sekian lama terpateri sedari usia muda lagi – menceburi bidang lakonan ketika berusia 18 tahun – mengajar saya untuk tidak henti-henti melakukan yang terbaik. Ada sahaja ilmu baharu yang saya kutip yang bisa memperbaik atau memperkuat karier saya sebagai seorang pelakon. Selagi masih ada tenaga, selagi pancaindera mampu digunakan dengan sebaiknya, selagi itulah saya mahu terus-menerus meningkatkan mutu kehidupan.
Seperti yang dinyatakan oleh saya awal tadi, saya sekarang terarah kepada penghasilan karya-karya yang bagus. Saya mahukan story yang bagus, ada impak dan bermanfaat kepada orang ramai. Usia kini memberi ruang kepada saya untuk tahu membezakan yang mana satu ada signifikan dan yang mana satu mampu mencabar saya untuk memperhebat mutu lakonan saya.
Projek terbaharu Mimi selepas ini? Atau projek-projek yang mendatang?
Pada tahun hadapan, nantikan kemunculan saya dalam dua filem. Yakni filem berjudul The Experts, terbitan ASTRO Shaw dan filem Mencari Ramlee, terbitan Playground Pictures. As we speak, saya kini masih lagi dalam penggambaran drama siri lapan episod terbitan ASTRO Originals, berjudul Headliners – yang juga akan dipertontonkan pada tahun hadapan.
Hmm. Mencari Ramlee? Agakan kami, filem itu berkaitan dengan Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee?
Ya, betul. Mencari Ramlee adalah sebuah filem yang berlatarkan era 80-an, meriwayatkan cerekarama seorang anak seni selepas kehilangan Allahyarham Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee.
Rahsia Mimi untuk mengukuhkan staying power dalam industri ini, agar terus berkembang?
Saya sentiasa mencuba benda baharu dan always aim for something big! Namun begitu, walau apa yang saya lakukan, saya selalu berpegang pada prinsip ‘sentiasa merendah diri, sentiasa mendengar dan speak less.’
Menyentuh tentang kuasa atau keperkasaan sekali lagi, bagaimana Mimi menggunakan keberadaan diri dalam industri ini untuk memperjuangkan pemerkasaan wanita? Terutama sekali di Malaysia.
Sejujurnya, seorang pelakon atau anak seni adalah seorang tokoh masyarakat. Atau suri teladan. Dan tugas seorang tokoh masyarakat bukan hanya sebagai ‘dekorasi’ yang menyoroti mata-mata orang ramai untuk melihatnya di kaca televisyen, mahupun di wayang. Seandainya mampu menggunakan kuasa sebagai tokoh masyarakat untuk kebaikan, mengapa tidak?
Saya sentiasa menggunakan platform yang ada atau yang disediakan untuk menyuarakan apa yang saya percaya – antaranya mengistimewakan platform yang ada untuk mendukung pemerkasaan wanita. Baik menerusi bicarawara, temubual bebas, karya-karya yang dilakonkan oleh saya serta pembabitan diri dalam kerja-kerja amal. Contoh mudah adalah lakonan atau watak saya dalam drama siri Perempuan Itu. Watak saya sebagai seorang wanita yang sentiasa diuji dan memperlihatkan darjat seorang wanita diangkat tinggi, yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada wanita-wanita di luar sana. Kerana saya mahu memberi kesedaran bahawa wanita mampu memberi lebih, individu yang kuat dan tidak perlu sentiasa bergantung kepada orang lain.
Apakah kesedaran mengenai pemerkasaan wanita di Malaysia masih lagi kurang? Dibayangi ‘patriarki’? Atau adakah pemerkasaan wanita, secara umumnya, sudah disalahertikan?
Secara fizikal, memang lelaki dan perempuan dilahirkan berbeza. Kita semua sedia maklum, lelaki lebih kuat jika dibandingkan dengan perempuan. Terkadang, kita (sebagai wanita) tidak boleh mengambil alih kerja lelaki. Manakala lelaki pun tidak boleh mengambil alih kerja wanita. Pemikiran logik seharusnya sealiran atau senada dengan apa yang diperjuangkan.
Bukan hendak kata pemerkasaan wanita di sini kurang, terkacau oleh ‘patriarki’ atau disalahertikan. Tetapi bagi saya, kesedaran itu memang ada. Cumanya, pemerkasaan wanita yang diperjuangkan adalah berkaitan dengan hak sama rata atau keserataan. Masing-masing (lelaki dan perempuan) punya hak dalam hidup yang ada kalanya perlu atau harus dituntut atas sebab-sebab tertentu. Bukan atas dasar wanita mahu melebih-lebih melawan lelaki dan seumpamanya. Bukan. Pemerkasaan wanita yang bersifat adil dan bisa membangun dunia yang kebih kompromi serta mewujudkan rekonsiliasi.
Objektif pemerkasaan wanita adalah tentang keadilan, bukan?
Benar. Secara peribadinya, tidak terlintas di fikiran saya jika menyebut hal pemerkasaan wanita, matlamatnya adalah untuk mencabar, membelot atau menguasai lelaki. Tidak. Pemerkasaan wanita adalah perjuangan hak sama rata. Dari segi hak sebagai seorang wanita untuk turut sama berjaya dan memiliki hak dalam membuat keputusan. Semua ini berkaitan dengan nilai seorang wanita itu juga diangkat dan tidak disisihkan.
Contohnya, wanita yang mahu menjadi doktor, yang mahu menjawat jawatan CEO, wanita yang mahu melanjutkan pelajarannya ke tahap yang lebih tinggi. Mereka harus diberi hak yang sama, berdasarkan kelayakan mereka. Bukan disebabkan aspek jantinanya. Bukan disebabkan dia seorang ‘wanita’, maka dia tidak layak.
Pesan Mimi untuk golongan wanita atau gadis muda agar tidak hilang pemerkasaan diri?
Sentiasa siap siaga. Sebagai wanita, kita ada kelebihan tersendiri dalam pelbagai aspek. Harus tahu apa yang kita mahu! Dan jika boleh, jangan hidup terlalu bergantung kepada orang lain! Kerana kita tidak boleh ramal atau takkan tahu apa yang akan terjadi esok harinya.
Pengalaman manis Mimi dibesarkan atau terdedah dengan aspek pemerkasaan wanita.
Saya dibesarkan oleh ibu saya yang sangat-sangat kuat dan seorang yang berdikari. Sedari kecil lagi, saya sudah terbiasa melihat ahli-ahli keluarga saya – terutamanya wanita – yang kebanyakannya sangat berdikari, gigih dan punya penentuan kendiri yang tinggi. Jadi, persekitaran tersebut menggalakkan diri saya untuk bukan sahaja bijak menilai diri, bahkan juga mengajar saya pelbagai perkara tentang menjadi seorang wanita. It taught me about know your value, know myself and know what I want.
Tentang self-recovery sebagai seorang wanita? Bagaimana Mimi mengecapi ia?
Saya berdamai dengan segala perasaan yang terkandung dalam diri. Saya tidak menolak atau menafi setiap rasa itu. Contohnya, jika saya gagal sekalipun, saya akan menangis. Kerana menangis atas sebab sesuatu adalah perkara normal. Namun, saya tidak akan membiarkan lama rasa gundah itu sehingga menenggelamkan diri. Kerana daripada kegagalan, ia bertukar menjadi pendukung semangat saya untuk buat keputusan yang lebih baik.
Memahami konsep kehidupan adalah faktor terpenting untuk self-recovery. Saya percaya pada apa yang kamu dapat, itu adalah anugerah dari-Nya dan seandainya tidak berjaya memperoleh apa yang kamu mahu, itu adalah perlindungan dari-Nya. Everything happens for a reason.
“Saya sudah berada di fasa yang, saya hanya mahu fokus kepada membuahkan karya-karya yang bagus sahaja. Karya-karya yang membezakan antara Mimi Lana dahulu dan sekarang.”
Apa pandangan anda?