SEARCH

ASMR STAIL.MY – Meneliti 5 Item Pilihan Musim Luruh Dingin 2019

ASMR STAIL.MY – Meneliti 5 Item Pilihan Musim Luruh Dingin 2019
Idea & Sitting Editor : Ardi Idewani
Konsep & Arahan Seni : Ashura Hakim
Videografer : Jordi Harris

Buat julung kalinya, STAIL.MY bereksperimen dengan kesan bunyi-bunyian, bermain dengan pancaindera bagi menghilangkan rasa ‘mati’ dalam diri. Kami memperkenalkan siri ASMR STAIL.MY yang pertama, untuk mengerti atau memahami ‘anatomi’ serta rekaan item-item musim luruh dingin 2019 – menerusi sensasi sentuhan, kengiluan yang enak didengari, ketak-ketik yang memuaskan hati dan ucapan berbisik-bisik.

Ceritera rencam terbit menjadi sandaran musim luruh dingin 2019. Daripada yang mentamsilkan digniti persatuan perempuan, ke mempertinggi nilai kesenian penghulu kreatif yang telah pergi meninggalkan dunia fesyen sehinggalah yang memerihalkan hal-hal peribadi yang dekat dengan hati. Musim luruh dingin kali ini yang tidak menahan daya kreativiti masing-masing untuk melahirkan ekspresi, lalu menghidupkan kontras.

Kontras yang bukannya mencadangkan bentrokan, tetapi apa yang dimaksudkan adalah mencorakkan kepelbagaian!

Semangat ‘Sisterhood Is Global’ yang tegap bertahan menjadi pegangan Maria Grazia Chiuri di Dior meminjam gaya Teddy Girls, ikon-ikon 50an dan kuasa pemberontakan feminis. Memateri sub-budaya sebagai rangka idea rekaan-rekaan Dior musim luruh dingin 2019. Manolo Blahnik pula meresap ilham yang mendewasa bersamanya, lebih condong kepada gagasan yang bersifat peribadi. Manakala rindu kita pada rancangan hiburan mainan akal dulu-dulu sudah betah, setelah Moschino mengembalikan detik tersebut untuk musim luruh dingin 2019-nya. Nada gaya glamor dan vintaj mempengaruhi Jeremy Scott untuk berkarya, menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan.

Daripada inspirasi-inspirasi ini, kami meligatkan ‘jasmani’ item-item terpilih musim luruh dingin 2019 dengan memerihalkan coret respons meridian deria berautonomi atau ASMR. Kesemua item dilengkapi tekstur – baik yang bersifat jalinan sentuh, yang nyata terang terlihat mahupun yang understated – yang menyempurnakan aspek ASMR!

FENDI


Permukaan bulu-bulu mengumpul misteri pada karakter beg tangan ini. Bunyi bulu-bulu yang kedengaran lembut, menghilangkan resah gelisah. Ditindih lagi bunyi ketak-ketik pada gancu dan rantainya berkeletakan yang mengikat perhatian, bagai mengharmonikan rasa.

 

MOSCHINO


Bunyi yang sepertikan goresan atau gesekan ronyok yang terhasil daripada kain jaket ini. Jalinan kasar yang sungguhpun membangkitkan rasa ngilu dan menguji tahan kita, namun tidak menyesakkan diri. Mereguk nikmat setelah puas mendengarnya!

 

DIOR


Denim kasar tebal, mengimbangi bunyi-bunyian. Ketak-ketik pada permukaan keras yang kedengaran lunak, umpama satu kepuasan yang menjadi halwa telinga. Ditambah bunyi-bunyi cakar yang seakan-akan mencalar, mencabar dan mengusik pancaindera kita.

 

FENDI


Adakah ia mententeramkan jiwa? Bunyi kecil-kecilan pada manik-manik dan geseran yang terhasil dari permukaan dalam kasut ini yang sebenarnya tidak membingitkan telinga. Ketak-ketik serta ‘tingkah’ hentakan tapaknya memanjangkan bicara kasut ini dengan kamu.

 

MANOLO BLAHNIK


Tekstur Jacquard yang menggemilangkan daya tarikan. Yang terhasil adalah geseran, ketak-ketik dan detapan tapaknya. Pelbagai bunyi yang diolah hanya daripada sepasang kasut ini, yang pastinya melepaskan hati. Ia juga mengimbangi kemuncak deria kita! Kepuasannya lain macam.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE