SEARCH

Behati Sunting Ikon Fauna Hatta Dolmat & Kittie Yiyi Sebagai Subjek Musim Ini

Behati Sunting Ikon Fauna Hatta Dolmat & Kittie Yiyi Sebagai Subjek Musim Ini

Behati bergandingan bahu dengan dua pereka lokal, Hatta Dolmat dan Kittie Yiyi dalam menghasilkan koleksi kerongsang kali ini! Behati mendekati akal budi Hatta dan Kittie, memilih sesuatu yang dekat juga bersifat peribadi buat mereka berdua – mengambil ikon fauna atau serangga yakni kumbang dan lebah sebagai subjek utama rekaan kerongsang Behati musim luruh 2018.

Behati melihat falsafah di sebalik hubungan fauna dengan flora. Di mana Behati menyemat keutuhan pertalian antara serangga dan bunga yang payah untuk dipisahkan. Tanpa adanya serangga, takkan wujudlah bunga-bungaan sebagai pemolek alam. Tanpa ada kedua-duanya, matilah bumi.

Pemilihan Hatta Dolmat dan Kittie Yiyi yang pernah mentaasubi keindahan serangga sebagai sendi rekaan mereka menepati kehendak Behati. Mereka tidak teragak-agak menyunting dua nama pereka fesyen generasi semasa ini sebagai rakan kolaborasi, lalu memperkenalkan himpunan ‘Behati Bugs’ – yang menampilkan konsep kumbang ‘Hatta Beetle’ yang pernah dipertontonkan sewaktu KLFW 2015, manakala ikon lebah Kittie Yiyi pula muncul sekitar 2014 menerusi himpunan pertamanya.

behati brooches hatta dolmat kittie yiyi

Behati Brooch by Hatta Dolmat hadir dalam dua rona berbeza yakni salutan emas matte dengan kristal Aurora Borealis dan satu lagi diolah dalam rupa logam untuk mencerminkan rekaan yang sedikit edgy. Behati Brooch by Kittie Yiyi bersadur emas matte dengan kristal-kristal warna debunga.

Dalam menyemarakkan kehadiran koleksi Behati Bugs, satu acara khas yakni ‘BEHATIBACKYARD’ diadakan minggu lalu di Dr. Stitch. Acara ini menghimpun 15 fotografer serta artis tempatan dan masing-masing diberi kebebasan untuk mengeluarkan idea tersendiri dalam membuat interpretasi ke atas Behati Brooches. ‘BEHATIBACKYARD’ memperlihatkan konsep pameran yang diolah bak kawasan jemuran belakang rumah, di mana kesemua gambar foto dicetak pada fabrik dan digantung untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

‘BEHATIBACKYARD’ turut bekerjasama dengan Pusat Kanak-kanak Kreatif Tuanku Bainun dalam membantu serta memanfaatkan sumbangan amal buat badan kebajikan tersebut. Malah, pada malam berlangsungnya pelancaran ‘BEHATIBACKYARD’ di Dr. Stitch, ia telah dihoskan oleh ikon fesyen masa kini yang juga wajah utama STAIL.MY, yakni Nyonya Mansoor!

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE