Posted on June 29, 2020
Akhirnya! Pertubuhan kolektif yang mendasari hak kesamaan untuk insan-insan kreatif daripada gerombolan people of colour, yakni Black In Fashion Council diwujudkan! Inisiatif baharu yang bukan sahaja membabitkan lapangan fesyen, malah bidang kecantikan ini membuka langkah pertamanya setelah bangkitnya gerakan Black Lives Matter yang menuntut bela kematian George Floyd, Ahmaud Arbery dan Breonna Taylor.
Isu COVID- 19 bagai tergencat seketika pada awal bulan ini, pabila berlakunya ketegangan di antara rakyat Amerika dengan pihak autoriti kerana ketidakadilan serta ketidakpuasan hati terhadap kematian tak terbela beberapa bangsa berkulit hitam. Tiada terbendung lagi amarah dan apa yang terpendap di dalam hati, segalanya dilepaskan! Dilepaskan dengan cara memperjuangkan harakah, mengajak orang ramai untuk menyanggah ketidakadilan tersebut. Bermula daripada gerakan itu, ia berjelapak ke hampir seluruh jiwa masyarakat sedunia sehingga mereka menjadi lantang bersuara, ‘memuntahkan’ diksriminasi serta rasisme yang selama ini terjadi dan tak disedari oleh orang ramai.
Beberapa kompeni atau syarikat menjadi tumpuan dunia setelah ada yang mengutuk keras perbuatan mereka yang menggalakkan diskriminasi dalam tempat kerja. Yang sangat terkesan? Industri fesyen dan kecantikan! Jenama fesyen Celine antara yang dikecam dan dianggap ‘tone deaf’ kerana cakap tak serupa bikin. Kononnya memperjuangkan Black Lives Matter, namun ia sendiri tidak pernah terlihat dalam berlaku adil terhadap orang-orang berkulit hitam. Selain Celine, beberapa jenama fesyen lain seperti Zimmerman, Ferragamo dan Aritzia turut diselar kerana bersikap rasis. Jenama-jenama atau syarikat-syarikat kecantikan pula seperti L’Oreal, Huda Beauty dan beberapa lagi dianggap ‘bermuka dua’ kerana sama seperti Celine, di mana mereka menegakkan Black Lives Matter, namun sebenarnya membudayakan rasisme dalam tempat kerja masing-masing.
Baru-baru ini juga, di Malaysia, institusi pendidikan Lim Kok Wing mendapat kecaman hebat pabila ketidakadilan dan diskriminasi ras dalam tempat kerjanya terbongkar. Terdedah segala kebenaran yang menunjukkan pengasas Lim Kok Wing, Tan Sri Lim Kok Wing, anaknya Tiffanee Marie Lim serta pihak pengurusan bersifat perkauman dan anti-kulit hitam.
Lantaran itu, dikhabarkan beberapa orang yang berjawatan tinggi dalam kompeni atau syarikat fesyen, kecantikan serta media secara sukarelanya mengundurkan diri dan meletakkan jawatan. Sebagai sebahagian daripada tindakan untuk menghentikan terus diskriminasi yang selama ini menjadi gaya hidup dalam tempat kerja masing-masing. Namun, tindakan sebegitu sahaja masih belum cukup. Ia mendorong pihak tertentu untuk mewujudkan satu inisiatif yang menjadi platform untuk insan-insan kreatif berkulit hitam dan people of colour.
APAKAH BLACK IN FASHION COUNCIL?
Ketua pengarang Teen Vogue, Linday Peoples Wagner, bahu-membahu dengan Sandrine Charles, yakni pengasas Sandrine Charles Consulting, menubuhkan Black In Fashion Council. Matlamat terbinanya empayar Black In Fashion Council ini adalah untuk pembaharuan dan perubahan dalam sistem lapangan fesyen juga kecantikan. Mereka menggenggam tekad misi majlis ini untuk dijadikan ruang buat insan-insan kreatif berkulit hitam dan people of colour ini bersuara, berkarya serta mendapat hak kesamaan. Menggemilangkan insan-insan kreatif berkulit hitam dan people of colour sehingga bisa mencorakkan perubahan dalam lapangan masing-masing. Ia tidak hanya memfokus pada yang berkulit hitam dan people of colour sahaja, namun menggalakkan diversifikasi. Tanpa mengira bangsa apa, usia, jantina dan latar belakang.
Lindsay dan Sandrine telah merekrut ahli-ahli majlis lain – yang terdiri daripada insan-insan kreatif dalam bidang fesyen, penataan gaya dan media fesyen – seperti penata gaya Shiona Turini dan pemangku pengarah fesyen Nikki Ogunnaike. Mereka sama-sama akan bekerja rapat dengan Human Rights Campaign, menginisiasikan serta memanfaatkan skor indeks kesamaan. Skor ini akan menjadi piawaian dalam kompeni-kompeni atau syarikat-syarikat fesyen dan kecantikan di mana ia membantu memapankan polisi dan inclusivity.
Seperti mana yang diterangkan oleh Linday dan Sandrine kepada Vogue, platform Black In Fashion Council ini adalah, “…we built out an industry standard of what we want diversity and inclusion to look like moving forward.” Tabik buat mereka kerana berani mara untuk mengubah, memperbaiki dan memulih semula industri fesyen serta kecantikan!
Apa pandangan anda?