Posted on August 3, 2020
Minggu lalu, pada 31 Julai, Beyonce mengejutkan sejagat dengan kehadiran album terbarunya – album visual – berjudul Black Is King! Sekembalinya Beyonce daripada kesepian buat sementara waktu, dia tidak alang-alang dalam memunculkan sesuatu yang membingkaikan budaya dipertemukan dengan fesyen. Lalu, terhasilnya Black Is King yang secara eksklusif dipertontonkan menerusi saluran Disney+!
Tak terduga yang pandemik dan pertunjukan perasaan membuahkan ilham buat pengkarya-pengkarya muzik. Taylor Swift baru melepaskan album ‘surprise’ terbarunya hujung Julai yang lalu dan dirakam sepanjang pandemik COVID- 19. Dan Beyonce pula menjelmakan album yang dianggap direncanakan daripada gerakan Black Lives Matter. Beyonce mempersembahkan album Black Is King – album yang mengabadikan seriosa semangat waja budaya bangsa, kebanggaan identiti dan mesej perpaduan.
Namun, dalam pada kita sudah terlena mesra menanti album terbaru seorang biduan, secara spesifiknya, album ‘normal’ yang sudah tersusun sepuluh trek, kemudian menjentik rasa tidak sabar kita untuk memiliki album tersebut mahupun memuat turun lagunya dan seumpamanya, Beyonce memilih untuk menggazet ia dalam bentuk visual. Segala yang terkandung dalam album visual ini – atau dipanggil album filem muzikal – datangnya daripada Beyonce sendiri. Idea-idea yang bergejolak dalam mindanya, memangkin Beyonce untuk berperanan sendiri sebagai penerbit, penulis dan pengarah untuk Black Is King.
Pujian positif dihamburkan kepada Beyonce dan album visual terbarunya ini. Pengkritik memuji arahan seni Beyonce, tema yang diketengahkan, skor muzik serta sinematografi. Pujian itu dilanjutkan lagi ke atas kostum-kostum yang dipersembahkan, yang bukan sahaja membudayakan fesyen Afrocentric, malah menggemilangkan “fesyen” dalam setiap babak dan menjadikan Black Is King sebagai cereka paling stailish abad ini! Kiranya tak satu babak pun terlepas daripada elemen atau konsep “fesyen”!
Kehebatan memvisualkan “fesyen” dalam Black Is King adalah hasil gandingan Beyonce dengan penata gaya peribadinya, Zerina Akers. Rata-ratanya, Beyonce dan Zerina memilih rekaan-rekaan daripada pereka-pereka atau jenama-jenama fesyen generasi baharu – kebanyakannya, mengetengahkan pereka-pereka fesyen Afrika. Antara yang menjadi pilihan Zerina untuk Black Is King adalah jenama Area, Tongoro, Adama Paris, Marine Serre, Alonlivne dan Loza Maleombho. Namun, Beyonce dan Zerina tidak melupakan juga nama-nama yang tidak asing lagi dalam lapangan fesyen seperti Schiaparelli, Burberry, Valentino dan Mary Katrantzou.
Bukan mudah untuk menguruskan kostum daripada jenama-jenama fesyen untuk sesebuah produksi. Apalagi untuk produksi besar dengan barisan pelakon yang ramai. Pada masa yang sama, tidak mahu mengabaikan faktor “fesyen” atau “stail” dalam setiap satu konsep. Namun, Zerina berjaya menyemat “fesyen” dalam Black Is King lantas menjadikan Black Is King sebagai satu fashion statement untuk tahun 2020. Di samping mengasyikkan kita dengan elemen atau konsep “fesyen”, Zerina turut berceritera tentang seni dalam penataan gayanya. Dia memikirkan sekali kecocokan babak, prop, latar belakang serta kesesuaian dengan pelakon-pelakon tambahan. Barangkali kerana pengalaman Zerina bekerja dengan Beyonce yang sudah menggunung, memintarkan dirinya dalam mengetahui cita-cita Beyonce dalam menghasilkan sesuatu.
7 Gaya Beyonce dalam Black Is King Yang Kami Suka!
BEYONCE & PENARI-PENARI DALAM MARINE SERRE
BEYONCE DALAM MARY KATRANTZOU
BEYONCE DALAM AREA
BEYONCE DALAM ADAMA PARIS
BEYONCE DALAM TONGORO
BEYONCE DALAM ASHI STUDIO
BEYONCE DALAM ALONLIVNE
Apa pandangan anda?