SEARCH

Seni Digital Bottega Veneta Berakhir Dengan Aurora & Vertigo

Seni Digital Bottega Veneta Berakhir Dengan Aurora & Vertigo

Empat cereka ‘Art Of Collaboration’ yang meriwayatkan musim bunga panas 2018 Bottega Veneta – yakni Miraggio, 196.6 MHz, Utopia dan Rebirth – akhirnya disudahi dengan dua lagi bab sandiwara baharu yakni Aurora dan Vertigo! Aurora mengusik jiwa dengan ‘metafora’ permainan cahaya terpencar dari petak bilik yang menggambarkan masa hadapan. Manakala Vertigo menyingkap peranan muzik yang mengacau diri, berimaginasi dengan rasa bebas.

Apabila alam fesyen ditimbus marcapada yang tunduk pada digital! Sehinggakan paradigma Tomas Maier pun turut beralih, menyaingi dirinya dengan digital. Bagi Tomas, terbetik satu lagi sejarah kerana jenama yang tegar keras dengan sahsiah juga tidak mencela kejatian Itali ini meloloskan diri daripada cengkaman tradisional dan mengejar ligat dunia teknologi masa kini.

Lebih dari satu dasawarsa sudah, ‘Art Of Collaboration’ yang diperkenalkan oleh Bottega Veneta sedari 2001 satu lagi adalah aspirasi Tomas untuk memuliakan kesenian insan-insan kreatif yang begitu sukses! Jadi Bottega Veneta dan Tomas kali ini melangsungkan adicita yang sama, bekerjasama dengan pengarah filem seperti Fabien Baron, artis-artis, fotografer, sinematografer, pereka set serta komposer muzik dalam merencanakan inovasi masing-masing untuk merealisasikan kempen fesyen musim bunga panas 2018.

bottega veneta art of collaboration

Tahun ini ia bermula dengan Miraggio yang merangkum kisah kehidupan serta keinginan sukma yang menggesa diri untuk berani candang melakukan sesuatu di luar jangkaan. Kemudiannya, cerita itu beranjak ke 196.6 MHz – mengutip angka 196.6 kerana tahun Bottega Veneta diasaskan adalah pada 1966 – tentang keserasian dua manusia.

Utopia dan Rebirth masing-masing bergejolak dengan sandiwara dunia khayalan – Utopia fasal apa agaknya terjadi jika dua insan bertemu di pinggiran jalanan kota dan Rebirth bermain dengan kebalikan masa.

bottega veneta art of collaboration

Akhirnya, Bottega Veneta menampilkan Aurora dan Vertigo bagi menutup bab ‘Art Of Collaboration’ musim ini. Aurora bermula dengan ghairah malam di kota kecil, dihadiri oleh sosok wanita (dilakonkan oleh model Vittoria Ceretti) dengan rambut gondrong, lemah gemalai gerak tubuhnya seraya didandani gaun panjang dan menjinjit tas tangan Bottega Veneta. Terhenti dia lalu terkasima saat memanahkan matanya pada bingkai jendela satu bilik yang mengeluarkan cahaya, menggambarkan masa hadapan.

Vertigo cukup memukau. Mengisahkan tiga individu (sekali lagi lakonan Vittoria, bersama model-model seperti Janis Ancens dan Sora Choi), bercanda dalam ruang penuh dengan muka kaca yang memperlihatkan bayang diri mereka. Seperti biasa ketiga-tiga mereka berhias dalam helaian-helaian serta aksesori-aksesori Bottega Veneta, disempurnakan dengan ragam gelombang cahaya lampu laser dan neon. Perawakan seorang wanita menari-nari perlahan, menangkap detik misteri. Ia ada satu penceritaan tentang bebaskan diri dan rasa leluasa bak mergastua menerusi imaginasi.

bottega veneta art of collaboration

 

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE